HOME     ABOUT US SERVICES STAFF MEMBERS RESEARCH ACTIVITIES PHOTO GALLERY
 
 
 
  .: Links
  WHO Collaborating Centre
  Products
  Toxicology Laboratory
  Publication/Production
  Collaborators
  News & Health Information
  Berita Kesihatan
  PRN Bulletins & Articles
  Malaysian Drug & Poison Net
  United For Tobacco Free
  Hiroshima On My Mind
  Articles by Founding Director
  Posters & Brochures
 
 
 
Contact Us
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia
 
Tel: +604-657 0099
Fax: +604-656 8417
 
Email: prnnet@usm.my
 
 

Racun
   
Cabaran baru perangi dadah
  Oleh: Prof Dzulkifli Abdul Razak
Sumber: Utusan Malaysia, 19 Februari, 2000
   
 

WALAUPUN alaf baru disambut dengan sorak-sorai dan begitu meriah sekali, pada hakikatnya masalah alaf lama masih banyak yang belum selesai. Di antara masalah ini ialah penyalahgunaan dadah.

Dalam tempoh kurang dua bulan menempuh tahun 2000, beberapa berita yang merunsingkan telah dilaporkan. Antaranya ialah beberapa orang budak sekolah telah ditahan dan didakwa di mahkamah Ipoh kerana memiliki pil Ecstasy dan ganja.

Ada juga berita tentang penyeludupan 'pil kuda' dari negara jiran untuk dijual di khalayak ramai, umumnya di utara dan Pantai Timur.

Juga berita tentang rampasan bahan-bahan dadah seperti kodein dan pil Ecstasy. Serta juga kontroversi penggunaan ganja oleh pasukan sepak takraw Malaysia yang sehingga hari ini masih belum selesai.

Di samping itu terdapat juga satu laporan menyatakan bahawa ahli-ahli farmasi di Lembah Klang menjual ubat-ubat psikotropik jenis benzodiazepin kepada wartawan yang menyamar sebagai pembeli dengan menggunakan preskripsi palsu. Selalunya ubat-ubat ini digemari oleh penagih-penagih dadah untuk menampung tabiat mereka.

Apa yang jelas daripada berita seumpama ini adalah gejala penyalahgunaan dadah di kalangan segenap lapisan masyarakat, baik yang melibatkan anak-anak di bangku sekolah sehinggalah ke peringkat ahli-ahli profesional kesihatan. Ini adalah sejajar dengan beberapa kenyataan yang telah dibuat oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) bahawa gejala dadah dalam masyarakat kita menjadi lebih ketara.

Mereka yang terjebak dengan tabiat ini dikatakan dalam peringkat umur yang lebih muda, di antara 18-35 tahun. Di samping itu, baru-baru ini terdapat juga laporan daripada Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) yang menunjukkan 85 peratus daripada penagih-penagih dadah di negara ini didapati pekerja industri-industri kecil dan sederhana (IKS).

Jika diimbas kembali, masalah dadah sudah berada di negara ini lebih 20 tahun. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan dalam usaha untuk mengatasi masalah yang pada ketika itu masih baru berkembang. Akta-akta yang berkaitan telah digubal sehinggakan undang-undang hukuman mati mandatori diperlakukan sebagai tanda betapa seriusnya usaha negara untuk membanteras masalah berkenaan.

Namun dalam tempoh dekad 90-an ini, peningkatan bilangan penagih serta juga bilangan mereka yang mengulangi tabiat menagih (selepas menjalani rawatan di pusat-pusat serenti) juga turut meningkat.

Berbanding tahun 1989, kes-kes yang telah dihadapkan ke mahkamah meningkat daripada 7,760 kepada 11,371 pada 1999. Dari segi penangkapan juga, jumlahnya meningkat daripada 3,122 [1989] kepada 14,445 [1999].

Malah sepanjang tahun lalu saja, lebih 1,500 orang telah ditahan kerana disyaki mengedar dadah yang berjumlah RM300 juta keseluruhannya.

Sejak tahun-tahun 80-an, hampir suku juta penagih telah dikesan di seluruh negara. Kini kita terbaca pula tentang beberapa rusuhan yang turut berlaku di pusat-pusat serenti. Ini bukanlah satu fenomena baru yang menunjukkan bahawa penagih-penagih dadah menjadi lebih agresif dalam tingkah laku mereka walaupun kerajaan serta masyarakat amnya telah banyak berusaha untuk 'menyelamatkan' mereka, di samping membelanjakan puluhan juta setahun.

Jelas daripada gambaran ini, keprihatinan kita terhadap gejala penggunaan dadah di peringkat negara tidak boleh diabaikan.

Tema Minggu AntiDadah Kebangsaan 2000, 'Bersatu Memerangi Dadah' mempunyai implikasi yang amat jelas dalam hal ini. Langkah membanteras dadah masih belum selesai dan memerlukan banyak lagi usaha keringat segenap lapisan masyarakat.

Dengan kata lain, masalah dadah ini memerlukan azam gigih secara berterusan oleh semua pihak. Ia tidak dapat diagih-agihkan kepada beberapa agensi sahaja ataupun kumpulan-kumpulan tertentu untuk menyelesaikannya. Ini kerana punca masalah yang kita hadapi sekarang berkait rapat dengan setiap individu di negara ini, sama ada ahli-ahli keluarga, saudara mara maupun sahabat-handai masing-masing.

Selagi ada bibit-bibit kelemahan pada mana-mana peringkat ini yang dapat memberi peluang kepada pengedaran dan penggunaan dadah, selagi itulah masyarakat kita akan terus diancam dengan gejala berkenaan.

Semua ini tidak mudah untuk dijelmakan secara berkesan selagi kesedaran mendalam tidak dihayati oleh setiap individu masyarakat.

Sudah tentu mereka yang lebih terdedah kepada risiko penyalahgunaan dadah perlu lebih berwaspada dalam melengkapkan dan mengawal diri mereka.

Kesedaran untuk memperbaiki diri _ baik dari segi pendidikan, kekeluargaan, sosial, ekonomi dan sebagainya _ adalah satu keperluan utama. Pada peringkat ini, pelbagai peluang wujud dalam usaha ke arah ini; soalnya sama ada kita bersedia atau tidak untuk menyahut cabaran tersebut.

Pergantungan kepada usaha kerajaan semata-mata telah jelas menampakkan batasan-batasan tertentu. Jika tidak, masakan masalah dadah kini terus berleluasa. Ini disedari sendiri oleh kerajaan apabila pada pertengahan 1990-an, Perdana Menteri turut mengakui hakikat ini.

*Prof. Dzulkifli Abdul Razak ialah Pengarah, Pusat Racun Negara di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.


     
  Back
   
 
 
 
 

 
 
Copyright © National Poison Centre, USM 2008. All Rights Reserved