HOME     ABOUT US SERVICES STAFF MEMBERS RESEARCH ACTIVITIES PHOTO GALLERY
 
 
 
  .: Links
  WHO Collaborating Centre
  Products
  Toxicology Laboratory
  Publication/Production
  Collaborators
  News & Health Information
  Berita Kesihatan
  PRN Bulletins & Articles
  Malaysian Drug & Poison Net
  United For Tobacco Free
  Hiroshima On My Mind
  Articles by Founding Director
  Posters & Brochures
 
 
 
Contact Us
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia
 
Tel: +604-657 0099
Fax: +604-656 8417
 
Email: prnnet@usm.my
 
 

Dewan Kosmik
   
Kemoterapi - sering disalah anggap pesakit kanser (Bhgn 2)
  Oleh: Sulastri bt Samsudin
Sumber: Dewan Kosmik - Mac, 2005
   
 

7) BAGAIMANA MENGETAHUI KEBERKESANAN RAWATAN?
Doktor akan memantau tahap kesihatan anda sepanjang tempoh rawatan bagi menilai tahap keberkesanan rawatan. Terdapat beberapa jenis ujian yang perlu dilakukan termasuklah ujian darah, sinaran X dan ujian imbasan. Kesemua ujian-ujian ini bertujuan untuk memeriksa tahap kesihatan anda dan juga memeriksa kesan ubat-ubatan anti kanser terhadap anda. Ia mungkin berbeza dari seorang pesakit dengan pesakit yang lain. Penting untuk anda fahami bahawa tidak kira sama ada anda mendapat kesan sampingan atau pun tidak, ia bukanlah ukuran untuk mengukur keberkesanan rawatan anda. Oleh itu, jika anda berasa tidak pasti semasa menjalani sesuatu ujian, bertanyalah kepada doktor yang merawat anda.

8) KENAPA JADUAL RAWATAN PERLU DITUKAR?
Kadang-kala, jadual kemoterapi anda terpaksa diubah disebabkan beberapa faktor. Contohnya, jika ujian darah anda menunjukkan bilangan sel darah anda berkurangan, doktor mungkin terpaksa memutuskan supaya anda menjalani tempoh rehat yang lebih lama atau mungkin dos ubat ubat anda dikurangkan.

Jika kebanyakan keputusan ujian yang dilakukan tidak menunjukkan keputusan yang baik terhadap diri anda, ada kemungkinan doktor terpaksa menukar keseluruhan rawatan anda. Hal ini kerana, kadang-kala seseorang pesakit perlu mencuba beberapa jenis ubat-ubatan dahulu untuk mendapat yang terbaik dan paling sesuai untuk merawat kanser yang dihidapinya.

9) BAGAIMANA KEMOTERAPI DIBERIKAN?
Kaedah pemberian kemoterapi bergantung kepada jenis kanser yang anda hidapi dan juga jenis ubat yang digunakan. Biasanya, kemoterapi diberikan melalui dua cara iaitu:-
  • Melalui mulut (oral)
  • Melalui suntikan ke dalam salur darah sama ada dengan menggunakan jarum suntikan atau infusi (drip).
  • Lain-lain melalui suntikan ke dalam otot atau di bawah kulit. Kadang-kala, ia boleh disuntik ke dalam tulang belakang, paru-paru atau pundi kencing, jika rawatan tersebut diperlukan.
Anda mungkin mendapat satu atau pelbagai jenis ubat pada masa yang berbeza. Ubat-ubatan yang diberikan mungkin dalam bentuk tablet atau suntikan atau pun kedua-duanya sekali.

10) KEMOTERAPI ORAL
Sesetengah ubat boleh diambil dalam bentuk tablet atau kapsul. Ini bermakna, anda boleh meneruskan rawatan anda di rumah. Walaubagaimanapun, anda masih perlu pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan rutin tahap kesihatan anda.

Cara pengambilan ubat kemoterapi oral akan dijelaskan oleh pegawai farmasi atau pembantu farmasi semasa anda mengambil ubat. Jika anda tidak jelas dengan maklumat yang diberikan, jangan malu untuk bertanya.

Anda mungkin akan diberikan ubat yang cukup untuk satu kitaran sahaja. Dengan itu, doktor boleh menilai tahap kesihatan anda sebelum memulakan kitaran yang seterusnya.

Perlu diingat bahawa ubat-ubatan kemoterapi yang diberikan khusus kepada anda sahaja dan anda tidak boleh berkongsi dengan orang lain. Jika ubat kemoterapi masih lagi berbaki selepas tamat rawatan, pastikan anda mengembalikan ubat tersebut ke farmasi hospital. Ini kerana, ubat-ubatan kemoterapi adalah berbahaya kepada individu yang sihat.

11) KEMOTERAPI SUNTIKAN
Kemoterapi yang diberikan secara suntikan perlu menggunakan alatan tertentu dan pengawasan yang lebih rapi. Oleh itu, jika anda mendapat rawatan dalam bentuk kemoterapi suntikan, anda haruslah tinggal di hospital semasa mendapatkan rawatan. Pemberian kemoterapi ini boleh mengambil masa beberapa jam sahaja hingga beberapa hari.

Persoalan yang sering menghantui fikiran pesakit adalah sama ada pemberian ubat-ubatan anti kanser ini menyakitkan atau tidak. Biasanya, pemberian kemoterapi tidaklah begitu menyakitkan, ia sama seperti proses pengambilan darah atau pemberian ubat-ubatan jenis lain. Walau bagaimanapun, salur darah tempat ubat diberikan kadang kala boleh menjadi keras dan bengkak. Jika keadaan ini berlaku, beritahu doktor atau jururawat yang bertugas dengan segera. Dengan itu, mereka boleh mengubah ke bahagian yang lain bagi mengelakkan sebarang komplikasi dan kesakitan. Sesetengah ubat boleh menyebabkan kerosakan dan kesakitan pada tempat suntikan jika berlaku kebocoran pada saluran darah. Oleh itu, jika anda berasa sakit, mencucuk atau terbakar pada kawasan suntikan, maklumkan segera kepada doktor atau jururawat.

12) KESAN SAMPINGAN ATAU KOMPLIKASI YANG MUNGKIN BERLAKU
Ya, tetapi ia bergantung kepada jenis kemoterapi yang anda terima. Kesan sampingan adalah kesan sekunder daripada rawatan dan ia boleh berlaku dalam tempoh yang cepat (akut) atau lambat. Kesan sampingan akut boleh berlaku dengan segera semasa rawatan dan kesan sampingan yang lambat atau tertunda mungkin berlaku selepas rawatan diberikan sekian lama atau pun selepas tamat rawatan.

Ubat-ubatan kemoterapi merosakkan sel-sel yang tumbuh dengan cepat. Semasa merosakkan sel kanser, ia juga menyebabkan kerosakan sel-sel yang normal. Disebabkan kerosakan pada sel-sel normal inilah, maka berlakunya kesan sampingan. Harus diingat, setiap orang mempunyai tindak balas yang berbeza-beza terhadap kemoterapi dan ada sesetengah individu yang mungkin tidak mendapat kesan sampingan langsung. Kesan sampingan yang mungkin anda alami akan dibincang terlebih dahulu sebelum anda mendapat rawatan.

Kebanyakan kesan sampingan yang berlaku boleh dirawat , jadi pastikan anda sentiasa memberitahu doktor atau jururawat yang bertugas jika anda berasa tidak sihat semasa menerima rawatan. Penting untuk anda mengekalkan keyakinan dan kesihatan sebaik mungkin semasa rawatan. Biasanya, kesan sampingan hanya berlaku untuk sementara waktu dan akan hilang selepas rawatan anda selesai.

Ada juga beberapa kesan sampingan yang perlu dirawat dengan segera dan adalah penting untuk anda agar tidak menunggu lama untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Jika anda berasa tidak pasti sama ada gejala yang ditunjukkan memerlukan rawatan segera atau tidak, hubungi hospital atau klinik yang berdekatan bagi mendapatkan nasihat.

Hubungi segera pihak hospital jika anda mendapat sebarang gejala berikut:
  • suhu 38C atau lebih
  • menggigil yang teruk dan berulang-ulang
  • gejala seperti selsema
  • pendarahan pada gusi atau hidung (walaupun setelah diberi tekanan selama 10minit)
  • ulser pada mulut yang menghalang anda daripada makan dan minum.
  • muntah yang berterusan
  • cirit-birit yang berpanjangan.
  • kesukaran untuk bernafas.
Berikut adalah beberapa kesan yang biasa berlaku apabila anda menerima ubat-ubatan anti kanser.

13) KESAN PADA DARAH
Sesetengah ubat-ubatan kemoterapi boleh mengurangkan kadar penghasilan sel darah anda buat sementara waktu. Satu ujian darah akan dilakukan pada permulaan terapi dan setiap kali sebelum sesi rawatan. Ini bagi memastikan yang paras darah anda adalah pada tahap yang memuaskan sebelum anda menerima kemoterapi. Kesan utama kemoterapi pada sel darah anda adalah :
  • Jangkitan
  • Anemia
  • Bengkak/Lebam

Kesan sampingan / Punca

 

Gejala yang ditunjukkan

Tindakan yang perlu dibuat

Rawatan yang dicadangkan

Jangkitan (akibat pengurangan sel darah put

  • suhu badan yang tinggi

  • menggigil/gejala seperti selsema

  • sakit tekak atau batuk

  • ruam

  • demam

  • periksa suhu badan jika anda berasa tidak sihat

  • elakkan daripada melukakan kulit anda

  • rawatan antibiotik

  • pemberian faktor pertumbuhan seperti G-CSF.

Anemia (kekurangan sel darah merah /hemoglobin)

  • keletihan

  • kesukaran untuk bernafas

  • makan makanan yang kaya dengan zat besi seperti hati, ikan dan telur.

 

  • tranfusi darah

  • pemberian eritropoietin atau EPO.

Bengkak/ Lebam (kekurangan bilangan platlet)

  • pendarahan hidung/gusi.

  • bintik-bintik kecil berwarna merah-unggu dalam kumpulan pada kulit

  • elakkan mengambil ubat seperti aspirin.

  • gunakan berus gigi yang lembut.

  • berhati-hati agar tidak melukakan diri.

  • transfusi platlet.

  • panjangkan tempoh rehat.

  • mengubah dos ubat.

 


14) KESAN PADA SISTEM PENGHADAMAN
Sesetengah ubat-ubatan anti-kanser boleh memberi kesan pada permukaan sistem penghadaman anda yang menyebabkan kesan-kesan yang berikut:
  • sakit mulut
  • perubahan rasa
  • mual dan muntah
  • perubahan selera
  • cirit-birit atau sembelit
Agen-agen yang biasa dikaitkan dengan kesan ini antaranya ialah fluorouracil, doxorubicin dan methotrexate.

Kesan sampingan/ punca

Gejala yang ditunjukkan

Tindakan yang perlu

Rawatan yang dicadangkan

Sakit mulut

  • mulut dan tekak berasa kering.

  •  sakit pada mulut dan tekak.

  • pendarahan pada gusi, mulut atau tekak.

  • minum lebih air.

  • selalu bilas mulut dengan ubat kumur atau air garam.

  • bersihkan gigi selalu.

  • pastikan bibir anda sentiasa lembab.

  • rawatan dengan analgesik topikal seperti lidocaine.

 

Perubahan rasa

  • perubahan pada rasa makanan dan minuman.

 

  • hisap gula-gula yang berperisa kuat.

 

 

Mual dan muntah

  • rasa mual

  • muntah-muntah

 

  • rawatan dengan ubat-ubatan anti-mual/muntah.

 

Perubahan selera

  • hilang selera makan.

 

  • minum lebih air.

  • makan lebih kerap tetapi dalam kuantiti yang kecil.

 

Sembelit atau cirit-birit

  • kerap/kurang membuang air besar.

  • tidak dapat mengawal pembuangan najis.

 

  • Minum lebih air.

  • Makan lebih makanan berserat.

  • rawatan dengan ubat-ubatan.

 

 

15) KESAN PADA RAMBUT
Keguguran rambut adalah kesan sampingan yang biasa berlaku akibat kemoterapi. Tetapi, tidak semua ubat-ubatan anti kanser akan menyebabkan keguguran rambut yang teruk. Sesetengah drug cuma menyebabkan penipisan dan kerosakan sedikit  pada rambut sahaja.

Keguguran rambut kadang-kala boleh menyebabkan tekanan pada sesetengah pesakit, walau bagaimana pun, ia biasanya berlaku hanya untuk sementara waktu sahaja dan rambut anda akan tumbuh semula selepas tamat rawatan.

Kesan sampingan /punca

Gejala yang di tunjukkan.

Tindakan yang perlu

Keguguran rambut

  • keguguran rambut sepenuhnya

  • penipisan lapisan ramput

  • rambut menjadi rapuh dan mudah rosak.

  • gunakan syampu pada pH neutral dan perapi.

  • Kurangkan aktiviti pembasuhan rambut.

  • Elakkan dari menggunakan bahan kimia seperti pewarna rambut atau meluruskan rambut.

  • Gunakan scalp tourniquet atau rawatan cryotherapy .

 

16) KESAN PADA KULIT
Sesetengah ubat-ubatan anti kanser boleh menyebabkan tangan dan kaki anda berasa kering dan sakit. Ada juga ubat yang boleh menyebabkan kuku anda menjadi gelap daripada biasa dan mempunyai garis-garis putih.

Semasa rawatan dan mungkin beberapa bulan selepas itu, kulit anda akan menjadi lebih sensitif kepada cahaya matahari dan mudah terbakar.

 

Kesan sampingan/punca

Gejala yang di tunjukkan.

Tindakan yang perlu

Perubahan kulit

  • tangan dan kaki menjadi kering dan sakit.

  • kuku menjadi gelap daripada biasa.

  • kuku menjadi ridges dan bergaris-garis putih.

  • gunakan pelembab seperti krim akues pada kulit yang kering.

  • lindungi kulit anda daripada cahaya matahari.

 

17) KESAN PADA KESUBURAN
Ada di antara ubat-ubatan kemoterapi yang boleh merosakkan ovari atau testis, menyebabkan peningkatan risiko berlakunya ketidaksuburan/kemandulan dan bagi wanita, menopause yang awal.

Kemoterapi boleh mempengaruhi organ seksual dan fungsinya dalam pelbagai cara. Anda mungkin mengalami perubahan terhadap keinginan seksual atau juga mungkin tiada perubahan yang berlaku.

Hilang keinginan seksual merupakan perkara biasa berlaku sama ada pada pesakit lelaki atau perempuan. Namun begitu, kemoterapi sendiri biasanya tidak mempengaruhi keupayaan seksual atau menyebabkan mati pucuk. Tekanan akibat penyakit atau jadual rawatan mungkin yang menyebabkan anda berasa penat daripada hari-hari biasa.


Kesan sampingan/punca

Gejala yang di tunjukkan.

Tindakan yang perlu

Perubahan pada kesuburan

  • menopause lebih awal (wanita)

  • kemandulan (lelaki & wanita)

  •  sesetengah drug boleh menyebabkan kerosakan pada perkembangan DNA janin.

Lelaki

  • bank sperma (jika perlu)

Wanita

  • pembekuan embrio

  • pembekuan telur

  • pembekuan tisu ovari

  • ubat untuk melindungi ovari

Lelaki & wanita

  • gunakan kaedah kontraseptif yang berkesan.


18) LAIN-LAIN KESAN
Sesetengah ubat-ubatan kemoterapi mungkin atau jarang sekali memberikan kesan-kesan seperti berikut:
a) Mata
Mata anda akan menjadi kering, sakit dan berair.

b) Pendengaran
Ada ubat-ubatan kemoterapi yang boleh menyebabkan tinnitus ( bunyi berdengung di dalam telinga) atau hilang pendengaran pada frekuensi yang tinggi.

c) Sistem Saraf
Ada juga yang menyebabkan masalah pada saraf dalam badan yang disebut sebagai neuropati periferal. Ia boleh menyebabkan rasa seperti kebas, terbakar atau mencucuk pada tangan dan/atau kaki.

d) Paru-paru
Sesetengah ubat-ubatan anti kanser seperti bleomycin boleh mempengaruhi tisu paru-paru anda. Kesan ini adalah serius dan memerlukan rawatan yang khas. Oleh itu, segera laporkan pada doktor, jika anda mengalami batuk-batuk dan kesukaran bernafas.

e) Otot Jantung
Kesan ini jarang-jarang berlaku tetapi secara kebetulan akan terjadi dengan penggunaan yang berpanjangan ubat anti kanser tertentu terutamanya doxorubicin dan epirubicin. Maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai sejarah masalah jantung dan jika anda mendapat sakit dada atau kesukaran bernafas semasa rawatan.

f) Pundi Kencing
Sesetengah ubat-ubatan anti kanser boleh menyebabkan perubahan warna pada air kencing anda selepas mendapat rawatan. Sebagai contoh, air kencing anda akan bertukar menjadi warna merah jingga atau merah sehingga 24 jam selepas setiap rawatan.

Kadang kala, ada ubat yang menyebabkan iritasi pada pundi kencing kerana ia dikeluarkan melalui air kencing. Oleh itu, anda perlu minum lebih banyak air dalam tempoh 24 jam selepas suntikan.

Selain daripada kesan-kesan yang telah dibincangkan, anda juga boleh membuat aduan atau memberitahu doktor atau jururawat yang bertugas tentang sebarang kesan yang berlaku. Jika anda mengalami sesuatu yang luar biasa , hubungi segera hospital untuk mendapatkan nasihat. Lebih cepat anda berbuat demikian, lebih cepat tindakan dapat diambil dan membantu menenangkan anda. Jika tidak, anda mungkin terlewat untuk mendapat rawatan.


     
  Back
   
 
 
 
 

 
 
Copyright © National Poison Centre, USM 2008. All Rights Reserved