HOME     ABOUT US SERVICES STAFF MEMBERS RESEARCH ACTIVITIES PHOTO GALLERY
 
 
 
  .: Links
  WHO Collaborating Centre
  Products
  Toxicology Laboratory
  Publication/Production
  Collaborators
  News & Health Information
  Berita Kesihatan
  PRN Bulletins & Articles
  Malaysian Drug & Poison Net
  United For Tobacco Free
  Hiroshima On My Mind
  Articles by Founding Director
  Posters & Brochures
 
 
 
Contact Us
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia
 
Tel: +604-657 0099
Fax: +604-656 8417
 
Email: prnnet@usm.my
 
 

Dewan Kosmik
   
 
Bahaya Penggunaan Kosmetik (Bahagian Pertama)
  Oleh: Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Sumber: Dewan Kosmik - Jun, 1996
   
 

Kosmetik merupakan sebahagian daripada barangan dandanan diri wanita. Kebiasaannya barangan kosmetik disimpan di rumah malah merupakan sebahagian barangan utama yang sentiasa dibawa dalam tas tangan setiap wanita. Alat kosmetik merangkumi berbagai barangan termasuk barangan penjagaan rambut, mekap mata dan muka, bedak, gincu, pengilat dan pembersih kuku, minyak wangi dan sebagainya. Empat ribu tahun yang lalu, orang Mesir merupakan manusia pertama menggunakan krim pelembab yang mengandungi plumbum karbonat. Manakala wanita Rom menggunakan keladak arak merah sebagai gincu bibir. Pada kurun ke 18, sama ada wanita mahupun lelaki, kosmetik diguna setiap hari. Pada masa itu bedak diproses dengan menggunakan plumbum. Ini menyebabkan orang pada masa itu jarang kelihatan muda selepas umur 30 tahun. Malah ada yang mati akibat keracunan plumbum.

Jika dilihat dari segi sejarahnya kita dapati sejak dahulu lagi manusia menggunakan pelbagai jenis ramuan asli dan bahan kimia dalam pemprosesan barangan kosmetik. Ini termasuklah tanaman herba, lemak haiwan, dan menggunakan bahan-bahan kimia tertentu. Sehingga sekarang penggunaan alatan kosmetik masih diragui keselamatannya kepada pengguna. Disebabkan potensi kemalangan jiwa dan risiko kesihatan akibat kosmetik, maka kerajaan telah menggubal undang-undang bertujuan mengawal produk kosmetik dalam pasaran. Ini dicapai melalui pendaftaran produk kosmetik dan pelesenan syarikat yang memasarkan keluaran tersebut. Semua pengeluar dan pengimpot barangan kosmetik diwajibkan mendaftar barangan mereka supaya dapat dikenalpasti kandungan bahan-bahan yang digunakan. Ini bagi memastikan barangan tersebut bukan sahaja sesuai untuk kecantikan, tetapi selamat untuk digunakan.

Walau pun secara amnya barangan ini selamat digunakan, namun kehadiran bahan kimia tertentu boleh memberikan kesan mudarat apabila tersalah guna. Oleh itu nama kandungan bahan kimia yang tercatat pada label atau kotak kosmetik merupakan maklumat yang berguna kepada doktor untuk memudahkan rawatan dikendalikan jika berlakunya kes keracunan.

Barangan Jagaan Rambut

Syampu

Syampu merupakan bahan pencuci rambut yang baru diperkenalkan kerana sebelum ini manusia menggunakan sabun untuk mencuci rambut. Pada tahun 1930, syampu dalam bentuk cecair mula diperkenal dan dipasarkan. Seterusnya diikuti keluaran dalam bentuk krim dan krim cecair. Tujuan penggunaan syampu pelbagai, antaranya untuk rawatan rambut terbelah dihujung, kelemumur dan rambut yang bermasalah. Syampu bersabun yang dipasarkan sekarang mengandungi lebih kurang 25 peratus minyak kelapa, sedikit minyak zaiton, 15 peratus alkohol dan 50 peratus sodium lauril sulfat dan 40 peratus air. Walau bagaimanapun pada masa ini, syampu berasaskan sabun semakin kurang dikeluarkan sebaliknya digantikan dengan sabun sintetik. Syampu cecair merupakan yang paling popular. Biasanya syampu cecair mengandungi bahan pencuci seperti trietanolamin dodesilbenzin sulfonat, etanolamin laurik asid, pewangi dan air. Kandungan agen penambah (contohnya, selenium, asid salisilat dan resorsinol dalam sediaan anti kelemumur, pewarna, pewangi, pengawet) yang dirumuskan dalam syampu tidak begitu tinggi sehingga boleh menyebabkan keracunan kulit. Namun sesetengah agen berkenaan boleh mengakibatkan alergik pada kulit.

Sekiranya terminum antara 5 hingga 15 ml atau gm/kg berat, badan boleh menyebabkan keracunan yang ringan. Kerengsaan perut, mual dan muntah boleh terjadi. Susu boleh diberikan untuk mencairkan syampu di dalam perut.

Barangan peluntur rambut

Barangan peluntur rambut mengandungi pelbagai bahan kimia. Barangan jenis serbuk dan losyen dianggap sederhana bahayanya dan jika tertelan boleh menyebabkan gangguan gastrousus. Mangsa perlu bertindak dengan membasuh mulutnya dengan air yang banyak, kemudian dibawa untuk mendapat pemeriksaan doktor.

Barangan pengkerinting rambut

Pemprosesan barangan pengkeringting rambut melibatkan penggunaan berbagai bahan kimia. Bahan kimia yang boleh membahayakan adalah sulfit, bromat dan tioglikolat yang terdapat dalam losyen mengkerinting serta hidrogen peroksida yang bertindak sebagai neutralizer. Keracunan serius pernah berlaku pada kanak-kanak berusia 1.5 hingga 3 tahun yang menelan losyen kerinting rambut yang mengandungi bromat. Salah satu komplikasi yang dialami adalah buah pinggang gagal berfungsi. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian. Hidrogen peroksida yang digunakan dalam barangan pengkeringting rambut berkepekatan sebanyak 9 peratus. Pada kepekatan ini, jika tertelan, ia tidaklah membimbangkan kecuali jika melibatkan isipadu yang banyak. Hidrogen peroksida boleh membebaskan oksigen dengan banyak sehingga menyebabkan ketegangan atau pengembangan perut. Keadaan ini akan membuatkan mangsa mengalami kesakitan perut.

Barangan pelurus rambut

Barangan pelurus rambut mengandungi bahan kimia yang lebih kuat pada kepekatan yang lebih tinggi daripada barangan pengkerinting rambut. Barangan pelurus rambut biasanya mengandungi natrium hidroksida pada kepekatan 1 hingga 3 peratus dengan nilai pH 13. Arahan penggunaannya haruslah diikuti dengan teliti bagi mengelakkan iritasi atau radangan pada kulit dan mata. Jika tertelan, ia boleh membakar sistem penghadaman kita terutama di bahagian esofagus. Untuk mengatasi masalah ini, pengguna digalakkan minum air biasa atau susu untuk mencairkannya. Pemeriksaan doktor juga perlu, bagi mengelakkan komplikasi.

Penyembur rambut

Penyembur rambut digunakan untuk mengawal keadaan rambut. Ini adalah barangan penjagaan rambut yang paling digemari. Pelarut yang digunakan biasanya sejenis alkohol yang berkepekatan sehingga 95 peratus. Jika tertelan, pelarut alkohol tersebut boleh mengakibatkan seseorang mengalami pening kepala. Kesan lain adalah sama seperti kesan keracunan alkohol.

Pelembut rambut, krim pembilas dan bahan dandanan rambut

Walaupun pelembut rambut, krim pembilas dan bahan dandanan rambut mengandungi berbagai jenis bahan kimia namun secara amnya barangan ini dianggap tidak berbahaya jika tertelan. Jika kandungan alkoholnya tinggi, kesan yang mungkin dialami hanyalah berbentuk gangguan perut.


     
  Back
   
 
 
 
 

 
 
Copyright © National Poison Centre, USM 2008. All Rights Reserved