HOME     ABOUT US SERVICES STAFF MEMBERS RESEARCH ACTIVITIES PHOTO GALLERY
 
 
 
  .: Links
  WHO Collaborating Centre
  Products
  Toxicology Laboratory
  Publication/Production
  Collaborators
  News & Health Information
  Berita Kesihatan
  PRN Bulletins & Articles
  Malaysian Drug & Poison Net
  United For Tobacco Free
  Hiroshima On My Mind
  Articles by Founding Director
  Posters & Brochures
 
 
 
Contact Us
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia
 
Tel: +604-657 0099
Fax: +604-656 8417
 
Email: prnnet@usm.my
 
 

Dewan Kosmik
   
 
Jangan jadikan makanan itu racun
  Oleh: Wan Zainal Azman Wan Abdullah & Noor Hasani Hashim
Sumber: Dewan Kosmik - Januari, 2004
   
 

Keracunan makanan sering berlaku terutamanya di negara yang agak panas seperti negara kita, Malaysia. Kes keracunan makanan juga selalu dilaporkan di dada akhbar dan media elektronik. Bukan setakat mengalami keracunan malah ada juga yang membawa kepada kematian. Dari Januari hingga Oktober 2003, sebanyak lima kes keracunan makanan berlaku membabitkan 144 orang termasuk satu kematian telah dilaporkan. Daripada jumlah tersebut, 119 mangsa terdiri dari pelajar sekolah.

Sebenarnya ramai di antara kita yang mengalami keracunan makanan sekurang-kurangnya sekali setahun. Tetapi tidak ramai yang menyedarinya. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menganggap bahawa ini sebagai satu masalah sejagat. Walhal keadaan ini mudah dielakkan jika berwaspada dan menjadikan kebersihan itu sebagai satu amalan.

Keracunan makanan boleh disebabkan oleh kuman atau mikrooganisma, racun atau toksin, dan bahan kimia. Keracunan akibat kuman khususnya, berlaku apabila keadaan persekitaran yang menggalakkan kuman tersebut hidup dan membiak, misalnya dalam cuaca yang panas, lembab dan kotor. Kuman ini boleh juga menghasilkan racun dan bahan-bahan kimianya tersendiri.  Kuman atau bakteria yang terbabit boleh menyebabkan penyakit seperti taun (kolera), kepialu (tifoid) dan hepatitis. Penyakit ini boleh dijangkiti melalui makanan sekiranya tukang masak itu sendiri menghidapi penyakit tersebut.

Bagaimana bakteria muncul dalam makanan kita?

Ini boleh berlaku melalui tiga cara:

  1. Penyediaan makanan yang kotor dan tidak teliti
  2. Makanan yang tidak dimakan dengan sempurna
  3. Makanan yang terdedah pada suhu persekitaran (30ºC)

Berikut adalah makanan yang sering dipengaruhi bakteria;

  • susu atau makanan yang bersusu seperti keju dan krim
  • masakan berlemak umpamanya nasi lemak, nasi beriani, mi dan sebagainya
  • roti, kuih-muih
  • makanan laut seperti kerang
  • daging lembu, ayam, ikan
  • makanan dalam tin yang telah kemik atau kembung pada bahagian atasnya ataupun telah berkarat.

Apakah contoh keadaan yang menggalakkan bakteria mencemari makanan?

Antara contoh yang sering berlaku, termasuklah:

  • makanan mentah
  • daging, ayam, ikan dan sebagainya tidak disimpan di tempat dingin
  • makanan beku yang dibiarkan 'cair' pada suasana panas terlalu lama
  • makanan dalam tin terdedah kepada suhu tinggi selepas dibuka
  • makanan yang basah dan berair ditinggal di tempat yang panas
  • makanan seperti buah-buahan serta sayur-sayuran yang tidak dicuci dengan baik
  • makanan yang telah tercemar semasa dimasak atau dibungkus
  • tidak menyimpan dengan serta-merta makanan yang dibeli, misalnya selepas ke pasar

Apakah tanda keracunan makanan?

Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh 48 jam setelah memakan makanan yang tercemar. Umumnya tanda keracunan makanan termasuk rasa mual, muntah, cirit-birit (diarea), pening serta gangguan perut. Ada juga yang lebih serius membabitkan keracunan sistem saraf. Keadaan ini lebih berbahaya bagi kanak-kanak.

Tanda khusus namun bergantung kepada jenis kuman dan penyakit yang terlibat. Setiap keadaan mempunyai masa mula keracunan yang agak berbeza.

Keracunan berpunca daripada bakteria

  1. ‘Campylobacterosis’ disebabkan oleh bakteria Campylobacter. Bakteria ini biasanya terdapat dalam ayam mentah, daging dan susu tidak pasteur. Tanda-tanda keracunan bermula dua hingga tiga hari selepas makan. Selain dari tanda-tanda umum, pesakit akan mengalami demam dan najis berdarah.

  2. Bakteria Escherichia coli atau E. Coli selalunya dikaitkan dengan cirit birit. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh penyediaan makanan yang tidak bersih.

  3. ‘Cereus’ disebabkan oleh bakteria Bacillus cereus. Tanda umum terjadi di antara satu hingga 18 jam selepas makan. Bagaimanapun tempoh keracunan jenis ini tidak melebihi 24 jam.

  4. ‘Cholera’ atau taun disebabkan oleh bakteria Vibro cholera. Biasanya bakteria ini terdapat dalam makanan laut seperti ikan, kerang, kupang dan siput yang ditangkap di kawasan air tercemar. Tanda keracunan bermula di antara satu hingga tiga hari selepas makan dengan cirit birit ringan dan seterusnya boleh menyebabkan kematian akibat kehilangan air daripada badan kerana cirit birit yang teruk.

  5. Penyakit Gastroenteritis disebabkan oleh Yersinia enterocolitica, sejenis bakteria yang terdapat dalam daging, air, sayur-sayuran mentah dan susu yang tidak dipasteur. Tanda keracunan bermula dua hingga lima hari selepas makan. Selain itu terdapat tanda umum, demam dan kelesuan mungkin berlaku sama seperti demam selsema. Jika tidak dirawat pesakit boleh menjadi lebih teruk lagi.

  6. Penyakit Listeriosis pula disebabkan oleh bakteria Listeria monocytogenes. Walaupun jarang berlaku ia boleh menyebabkan maut.
    Tanda penyakit termasuklah kesejukan, keracunan darah dan kelahiran bayi tidak cukup bulan bagi wanita mengandung. Dalam kes teruk, penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan otak dan saraf tunjang.

  7. ‘Shigeliosis’ atau ‘Disenteri’ disebabkan oleh bakteria Shigella sp., tanda keracunan bermula dalam masa satu hingga tujuh jam selepas makan. Selain daripada tanda-tanda umum, darah, nanah atau lendir boleh terdapat dalam najis.

  8. ‘Salmonelosis’  disebabkan oleh bakteria Salmonella yang didapati dalam ayam. Tanda umum dirasakan selepas 24 hingga 48 jam.

  9. Staphylococcus aureus sejenis bakteria yang sukar dihapuskan walaupun pada suhu tinggi. Keracunan yang disebabkan oleh bakteria ini sering kali berlaku. Tandanya dirasai dalam jangkamasa satu hingga lapan jam selepas makan, serta berlarutan selama 24 hingga 48 jam. Tanda keracunannya agak umum.

Keracunan berpunca daripada virus

  1. Hepatitis A disebabkan oleh virus yang terdapat dalam kerang dan  siput yang ditangkap di dalam air dicemari oleh air kumbahan dan sayur-sayuran mentah yang tidak dibersihkan dengan sempurna.
    Tanda keracunan bermula dari dua hingga enam minggu selepas makan dan pesakit akan mengalami demam, lemah badan, tidak berselera dan jaundis. Bagi kes yang parah, kerosakan hati boleh berlaku dan membawa maut.
  2. Norwalkvirus disebabkan oleh virus Norwalk yang didapati dalam kerang dan siput yang ditangkap di kawasan najis manusia.
    Keracunan berpunca akibat memakan siput mentah dan dimasak tidak sempurna.

Keracunan berpunca daripada protozoa

  1. Giardiasis disebabkan oleh protozoa Giardia lamblia yang terdapat dalam saluran usus dan najis manusia. Air kumbahan yang digunakan sebagai baja pada sayur dan penyedia makanan tidak membersihkan tangan merupakan punca berlakunya keracunan jenis ini.
  2. Amebiasis dikenali juga sebagai disenteri amebik dan disebabkan oleh Entamoeba histolytica. Puncanya adalah sama seperti keracunan protozoa Giardia lamblia. Tanda keracunan ialah kawasan badan di sekitar hati dan usus besar menjadi lembut, cirit-birit, rasa berdebar, kehilangan berat dan lemah badan.

Punca-punca lain keracunan

Keracunan makanan juga boleh disebabkan oleh cendawan beracun atau buah dan sayur-sayuran yang dicemari dengan racun serangga yang berkepekatan tinggi.

Toksin daripada kulat seperti aflatoksin yang terdapat pada bijirin juga salah satu punca keracunan makanan.

Bagaimana untuk mengelakkan daripada mengalami keracunan makanan?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan:

  • Membasuh tangan dengan teliti sebelum menyediakan makanan, atau semasa terhenti selepas diganggu,
  • Mengasingkan makanan yang telah dimasak dengan makanan yang belum dimasak atau mentah. Ini disebabkan makanan yang telah dimasak lebih mudah tercemar berbanding dengan makanan yang belum dimasak,
  • Pilih makanan yang telah diproses (atau dimasak) untuk menjaga keselamatan. Banyak pengambilan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana agak selamat dalam keadaan semula jadinya. Yang selainnya mungkin tidak begitu selamat jika tidak diproses.
  • Masak makanan dengan teliti kerana banyak makanan mentah tercemar dengan kuman pembawa penyakit. Contohnya, daging dan susu.
  • Makan makanan yang telah dimasak serta-merta. Apabila makanan telah menjadi sejuk, kuman lebih mudah mencemarinya. Lebih lama dibiarkan, lebih tinggi risikonya.
  • Simpan makanan yang telah dimasak dengan cermat dalam keadaan yang sesuai,  panas atau sejuk.
  • Panaskan semula makanan dengan teliti. Ini merupakan cara yang paling baik untuk menjauhi kuman yang mungkin muncul semasa dalam simpanan.
  • Jaga kebersihan dapur serta permukaan tempat masak.

Oleh itu, amalkan kebersihan dalam menu seharian kita. Kebersihan menjamin kesejahteraan kesihatan kita sekeluarga.

 


     
  Back
   
 
 
 
 

 
 
Copyright © National Poison Centre, USM 2008. All Rights Reserved