APA ITU VIAGRAWAS


Laman Web ini bertujuan untuk membantu orang ramai khasnya bagi mendapatkan maklumat-maklumat terkini berkenaan dengan ubat Viagra yang dijangka akan dipasarkan di negara ini tidak lama lagi. Ini adalah memandangkan maklumat- maklumat tentang ubat Viagra agak sukar didapati dan sebaliknya berbagai berita tentangnya dilaporkan dalam akhbar-akhbar tempatan. Sejak 27 Mac 1998 lagi, apabila Viagra mula didaftarkan di Amerika Syarikat sehinggalah 27 Oktober 1998, sekurang-kurangnya 260 berita tentang Viagra dapat dibaca melalui lima (5) akhbar umum tempatan. Sesetengah daripada berita ini tidak memberi gambaran yang lengkap, malah ada yang berat sebelah. Keadaan ini dapat mempengaruhi persepsi orang ramai tentang kegunaan ubat tersebut dan mungkin menimbulkan salah faham serta juga kekeliruan di kalangan mereka. Akibat daripada ini, beberapa tanggapan yang tidak tepat akan wujud di kalangan masyarakat dan boleh membawa kepada akibat penyalahgunaan ubat tersebut sepertimana juga dilaporkan di negara-negara lain. Amatlah dikhuatiri bahawa ubat ini akan digunakan untuk tujuan "berekreasi" terutama sekali di kalangan mereka yang masih di dalam peringkat umur yang aktif daripada segi perkembangan seks mereka. Kesudahannya penyakit kelamin termasuk HIV/AIDS akan juga turut meningkat di kalangan mereka. Apa lagi kini Viagra merupakan salah satu daripada ubat yang paling laris dijual di negara-negara di mana ianya telah didaftarkan, malah keuntungan daripada Viagra meningkat berlipat kali ganda sejak awal tahun ini (lihat rajah).

Oleh yang demikian, satu pendekatan awal yang komprehensif untuk memupuk kesedaran rakyat terhadap penggunaan ubat, termasuk Viagra, perlu dilaksanakan secepat mungkin dan PRN menyumbang ke arah ini dengan mengwujudkan Laman Web VIAGRAWAS dan VIAGRALERT, dalam Bahasa Inggeris. Setakat ini, VIAGRAWAS sedang dibangunkan untuk memuatkan berita-berita terbaru tentang Viagra daripada sumber-sumber yang berwibawa di seberang laut mahupun tempatan. Ia juga menyediakan rangkaian-rangkaian maklumat daripada laman-laman web untuk kegunaan orang awam. Satu bahagian soal-jawab dan kuiz akan juga disediakan untuk membolehkan orang ramai memahami isu-isu yang berkaitan lebih dekat lagi. Oleh yang demikian, adalah diharapkan bahawa Laman-laman ini akan bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang hal-hal berkaitan dengan ED dan rawatannya (termasuk cara-cara rawatan yang lain), tetapi sekaligus akan melibatkan mereka dalam satu proses pendidikan bagi mengenali ubat-ubatan mereka, dan membolehkan mereka berbincang dengan lebih aktif dan mendalam dengan para doktor dan farmasi untuk membuat sebarang juga keputusan yang berkaitan dengan kesihatan mereka. VIAGRALERT, dan VIAGRAWAS ini akan dikembangkan dari masa ke semasa untuk menepati tujuan tersebut.