HOME     ABOUT US SERVICES STAFF MEMBERS RESEARCH ACTIVITIES PHOTO GALLERY
 
 
 
  .: Links
  WHO Collaborating Centre
  Products
  Toxicology Laboratory
  Publication/Production
  Collaborators
  News & Health Information
  Berita Kesihatan
  PRN Bulletins & Articles
  Malaysian Drug & Poison Net
  United For Tobacco Free
  Hiroshima On My Mind
  Articles by Founding Director
  Posters & Brochures
 
 
 
Contact Us
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia
 
Tel: +604-657 0099
Fax: +604-656 8417
 
Email: prnnet@usm.my
 
 

Smoking and Islam
   
Majlis Fatwa Haramkan Merokok
  Oleh: -
Sumber: Berita Harian, Sabtu, 23 Disember 1997
   
 

KUALA LUMPUR, Jumaat – Merokok adalah haram mengikut fatwa Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Selangor, yang diwartakan oleh Kerajaan negeri itu, pada 7 Disember lalu.

Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 mendefinisikan rokok sebagai tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau lainnya.

Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, berkata, keputusan mengharamkan rokok itu dibuat selepas berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, awal bulan lalu.

Mengikut warta itu, keputusan mengharamkan rokok mengikut Sub-seksyen 31(1) dan Seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, diputuskan pada 25 Oktober lalu.

“Keputusan ini dibuat kerana merokok boleh memudaratkan kesihatan dan diakui oleh pakar perubatan. Sehubungan itu, mulai tarikh pewartaan berkenaan, umat Islam yang merokok perlu menghentikan amalan itu, selaras tuntutan enakmen dan hukum Islam”, kata Ishak ketika dihubungi, petang ini.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk tindakan dan hukuman yang diambil terhadap umat Islam melanggar enakmen berkenaan.

“Islam adalah satu-satunya agama yang menekankan kepada setiap umatnya supaya memelihara kesihatan jasmani dan rohani. Setiap yang baik dan bermanfaat direstui Islam, sebaliknya apa juga memudaratkan diharam”, katanya.

Keputusan Jawatankuasa Perunding itu adalah sama dengan pandangan Syaikh Muhammad al-Aini dalam bukunya, Fatwa Syurbi al-Dukhan (Hukum Menghisap Rokok) dan Nasihah al-Insan.

Dalam buku itu dijelaskan merokok adalah haram kerana salah satu faktor berikut:
  • Ia memudaratkan kesihatan yang disepakati oleh doktor pakar. Menurutnya, setiap yang memudaratkan kesihatan adalah haram. Ia disepakati doktor bahawa penggunaannya boleh melesukan badan sedangkan perbuatan itu dilarang berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad yang menyebut kalimah ‘muftirun’ (yang melesukan)
  • Baunya yang busuk (serta beracun boleh meresap ke otak) sehingga boleh memberi kesan kepada orang lain yang tidak merokok sama ada daripada kalangan manusia mahupun malaikat. Larangan ini berpandu kepada hadis riwayat Bukhari dan Muslim tentang perintah Nabi Muhamad supaya mengeluarkan orang yang makan bawang mentah dari masjid
  • Membazir tidak memberi faedah, malah memudaratkan. Pengharaman perkara melampau dan berbahaya itu selari dengan pendapat akal manusia. Al-Quran menyebut bahawa orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.
Syaikh Mahmud Syaltut, bekas rektor Universiti al-Azhar (Mesir) dalam bukunya Al-Islam: Aqidah wa Syari’ah berkata:

“Memang pasti bahaya merokok itu, ia tiada diharuskan berdasarkan gangguan terhadap anggota petugas gerak hidup yang terdapat dalam tubuh seseorang atau biasanya mengganggu dan menimbulkan gementar”.

Dr. Muhammad Ali al-Baar yang membuat kajian khas tentang bahaya merokok mendapati kesan amalan itu boleh menimbulkan penyakit kepada alat pernafasan, hati dan lemah jantung, usus penghadaman, barah mulut dan gigi.

Bagaimanapun, bekas Mufti Mesir, Syaikh Husain Makhlur, mengatakan hukum merokok itu asalnya harus.

Sementara itu, wartawan Berita Harian di London, Karim Sulaiman melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, berkata Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Selangor mempunyai kuasa untuk mewartakan sesuatu fatwa.

Menurut Dr. Abdul Hamid, majlis fatwa negeri-negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa tentang sesuatu perkara, termasuk merokok, selepas mengambil kira dan menimbangkan pelbagai aspek berkaitan perkara itu.

“Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk mengeluarkan fatwa mengharamkan umat Islam di Selangor merokok. Pada hemat saya, fatwa itu dikeluarkan dan diwartakan selepas mengambil kira dan menimbangkan kepentingannya untuk kesejahteraan serta kebaikan umat Islam negeri itu”, katanya.


     
  Back
   
 
 

 
 
Copyright © National Poison Centre, USM 2008. All Rights Reserved