HOME     ABOUT US SERVICES STAFF MEMBERS RESEARCH ACTIVITIES PHOTO GALLERY
 
 
 
  .: Links
  WHO Collaborating Centre
  Products
  Toxicology Laboratory
  Publication/Production
  Collaborators
  News & Health Information
  Berita Kesihatan
  PRN Bulletins & Articles
  Malaysian Drug & Poison Net
  United For Tobacco Free
  Hiroshima On My Mind
  Articles by Founding Director
  Posters & Brochures
 
 
 
Contact Us
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia
 
Tel: +604-657 0099
Fax: +604-656 8417
 
Email: prnnet@usm.my
 
 

Smoking and Islam
   
Kontroversi Merokok Haram
  Oleh: -
Sumber: Utusan Malaysia,Jumaat, 29 Disember, 1995
   
 

JUMAAT, 29 DISEMBER 1995 KONTROVERSI berhubung hukum haram ke atas tabiat merokok timbul semula. Kali ini ekoran fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Selangor yang mewartakan hukum tersebut pada 7 Disember lalu. Tindakan tersebut disokong oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah.

Bagaimanapun, bagi pihak kerajaan Pusat, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata pihaknya tidak akan mengharamkan tabiat merokok sebaliknya bercadang memperluaskan lagi kawasan atau tempat-tempat yang dilarang merokok.

Kita berpendapat langkah tersebut lebih praktikal kerana dengan cara ini peluang dan kesempatan untuk orang ramai mengikis perlakuan tabiat merokok itu akan dapat dibendung dan dikawal.

Kita amat bersetuju dengan Dr. Mahathir bahawa amalan merokok hanya suatu perbuatan membazir sedangkan hasil dari perbuatan itu tidak memberi apa-apa pulangan berfaedah sebaliknya membahayakan kesihatan dan mencemar suasana sekeliling.

Daripada segi hukum halal haramnya pula, kita bersetuju dengan pandangan beberapa orang tokoh agama supaya Pusat Islam dapat mengeluarkan satu fatwa yang konkrit dalam menangani masalah ini.

Kita percaya Pusat Islam sebagai badan induk dalam pengurusan pentadbiran agama Islam dapat melakukan sesuatu yang positif untuk kepentingan dan perpaduan umat Islam di negara ini.

Untuk itu, Pusat Islam perlu mengadakan satu majlis muzakarah khas dengan ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga mufti-mufti negeri bagi mencari kesahihan nas, hadis atau firman jika benar-benar wujud sepanjang berhubung tabiat merokok ini dari sudut pandangan Islam. Apa yang menjadi persoalan kita ialah selama ini sudah berabad orang-orang Islam menghisap rokok malah terdapat imam dan tokoh-tokoh agama juga tidak terlepas dari tabiat ini.

Apa yang kita tahu hukum bagi amalan menghisap rokok adalah makruh iaitu perbuatan yang tidak digalakkan dalam Islam dan adalah lebih baik ditinggalkan. Namun, atas prinsip ia boleh memudaratkan kesihatan seseorang, kita ingin menarik perhatian kepada firman Tuhan supaya orang-orang yang beriman sewajarnya menghindari diri mereka dari melakukan perbuatan atau amalan yang boleh membinasakan diri sendiri.

Atas premis itu, Pusat Islam boleh mengeluarkan fatwa berhubung amalan merokok ini dan terpulanglah kepada umat Islam sama ada mereka mahu meninggalkan tabiat yang merugikan itu atau sebaliknya.

Bagi mereka yang benar-benar beriman, kita percaya sudah tentu mereka akan memberi renungan yang setimpal jika terdapat fatwa yang sahih dan konkrit.

Pusat Islam tidak perlu bimbang untuk mengeluarkan fatwa kerana sama ada umat Islam mahu patuh atau sebaliknya bergantung pada tahap keimanan dan ketakwaan seseorang.

Dalam hal ini, kita melihat masih ada orang Islam yang melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Allah dan terus melakukan kemaksiatan sedangkan Islam menganjurkan amal makruf nabi mungkar.

Kita berpendapat, dalam menangani sesuatu isu yang ada kaitan dengan amalan tradisi umat Islam, cara paling berkesan adalah dengan mentarbiahkan umat Islam supaya tahap keimanan dan ketakwaan mereka dapat ditingkatkan.


     
  Back
   
 
 

 
 
Copyright © National Poison Centre, USM 2008. All Rights Reserved