Pusat Racun Negara | Universiti Sains Malaysia

Mengenal apa dia racun

Prof Dzulkifli Abdul Razak
Utusan Malaysia, 13 Mei 1995

PADA abad ke-16, seorang doktor Yunani bernama Paracelsus, pernah berkata bahawa semua bahan adalah racun. Yang membezakannya hanyalah jumlahnya ataupun amaun yang terlibat. Pada hakikatnya, kata-kata ini mempunyai kebenarannya sendiri. Dengan lain perkataan sama ada sesuatu bahan itu bertindak sebagai racun ataupun tidak, bergantung kepada bagaimana ia digunakan.

Biar pun ia ubat jika tidak digunakan dengan betul ataupun tidak mengikut arahan yang tepat, ubat itu boleh bertukar menjadi racun. Apa lagi jika bahan itu sememangnya berbahaya seperti sianida yang dibuang di Pulau Pangkor bulan Mac lalu.

Kata-kata Paracelsus ini membawa pengertian yang mendalam dan menjadi lebih relevan dewasa ini. Dalam era pembangunan yang begitu pesat, semakin banyak bahan kimia baru telah diperkenalkan.

Mengikut sesetengah sumber misalnya bilangan industri kimia baru-baru ini bertambah dengan banyaknya dan tidak kurang pula antaranya menggunakan bahan yang agak toksik.

Begitu juga dengan kes-kes pencemaran baik yang melibatkan udara, sungai maupun bumi ini secara keseluruhannya. Kesemua ini merupakan satu ancaman baru yang berkait rapat dengan arus perkembangan semasa.

Kes keracunan

Berdasarkan kepada rekod-rekod negara maju, semakin pesat pembangunan yang dihadapinya semakin banyak pula kes-kes keracunan yang dilaporkan.

Peristiwa seumpama ini boleh menjadi satu teladan bagi Malaysia yang kini sedang mengejar wawasannya tersendiri.

Tidak syak lagi, kita akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, tetapi sama ada Malaysia pada tahun 2020 akan mengalami 'penyakit' yang sama dengan negara maju lain terpulangkah kepada apa yang kita lakukan sekarang.

Oleh itu, cara paling baik untuk mencegahkan daripada perkara seumpama ini berlaku adalah dengan mewujudkan satu kesedaran baru tentang apa dia 'racun dan keracunan'.

Jika kita rasa kes-kes seperti yang berlaku di Pulau Pangkor begitu jarang sangat terjadi, ini adalah satu anggapan yang tidak betul.

Sebenarnya keracunan berlaku hampir setiap hari, tetapi kebanyakannya tidak begitu menggemparkan dan oleh itu tidak mendapat perhatian orang ramai.

Walaupun begitu penderitaan serta kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa keracunan, ataupun kaum keluarganya tidak kurang pahitnya.

Perhatikan kes keracunan yang berkaitan dengan makanan, hampir semua orang pernah mengalaminya tetapi tidak ramai yang menyedarinya, sehinggalah ada yang menghadapi maut.

Memandangkan masalah ini, perlulah disusun satu bentuk strategi untuk membangkitkan kesedaran orang ramai tentang bagaimana untuk mencegah keracunan.

Salah satu strategi yang didapati berkesan adalah dengan penubuhan pusat sumber yang berkaitan keracunan. Pusat ini dikenali sebagi Pusat Kawalan Racun, atau ringkasnya Pusat Racun.

Pusat-pusat seumpama ini banyak terdapat di negara maju. Di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, puluhan atau ratusan pusat tersebut ditubuhkan di seluruh pelusuk negara itu.

Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan perkhidmatan maklumat tentang bahan-bahan racun kepada orang ramai dan juga para profesional kesihatan.

Maksudnya apabila seseorang itu menghadapi masalah berkaitan keracunan mereka boleh menghubungi pusat tersebut untuk mendapatkan bantuan serta nasihat lanjut.

Dengan cara ini satu bentuk pertolongan dapat dihulurkan secepat mungkin dengan harapan kemalangan akibat keracunan dapat dikurangkan ataupun dicegah sama sekali.

Peranan Pusat Racun Negara

Di negara-negara membangun konsep ini masih agak baru. Bagaimanapun Malaysia agak bertuah kerana telah mengorak langkah menubuhkan pusatnya sendiri. Ia dikenali sebagai Pusat Racun Negara atau ringkasnya PRN yang bertempat di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan telah beroperasi awal tahun ini.

Sepertimana pusat racun lain, PRN menyediakan beberapa perkhidmatan tertentu bukan saja untuk para profesional tetapi juga orang ramai. Empat perkhidmatan utama disediakan oleh PRN iaitu:

  • Perkhidmatan Maklumat Ubat-ubatan dan racun

Perkhidmatan ini bertujuan memberi bantuan maklumat kepada sesiapa saja yang memerlukannya. Bahagian ini menyediakan pelbagai pangkalan data berkomputer yang boleh dirujuk jika diperlukan.

Bagi mendapatkan sebarang perkhidmatan satu talian khas, 04-6572924 disediakan dan dalam keadaan kecemasan talian 800-8099 boleh dihubungi. Setiap satu daripada panggilan ini akan dilayani oleh seorang profesional. Perkhidmatan ini buat permulaan diadakan pada waktu pejabat. Usaha sedang dibuat untuk menjadikan perkhidmatan ini 24 jam, 7 hari seminggu.

Sehingga hari ini, sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan ini adalah menggalakkan. Semasa peristiwa 'pensel merbahaya' tempoh hari PRN ada menerima anggaran 50 panggilan sehari.

  • Perkhidmatan Penyelidikan dan Dokumentasi

Perkhidmatan ini membuat kajian yang berkaitan dengan keracunan yang kemudian didokumentasikan dalam pangkalan data yang ada.

Dengan cara ini maklumat terkini dapat dikumpul dan diberikan. Bahagian ini juga menjalankan penyelidikan tertentu secara persendirian maupun secara perundingan dengan badan-badan berkaitan.

  • Perkhidmatan Pendidikan dan Pencegah Keracunan

Perkhidmatan ini mengutamakan langkah proaktif untuk mengelakkan berlakunya keracunan. Ini dilakukan secara umum dengan menyalurkan maklumat tertentu kepada orang ramai dan juga para profesional.

Setakat ini PRN telah menerbitkan dua buletin: PenawaRacun, dalam bahasa Malaysia untuk orang ramai, dan prn8099, dalam Bahasa Inggeris untuk para profesional.

Buletin ini diterbitkan selang sebulan dan diberi percuma. Sekiranya sesiapa berminat, sila hantarkan sampul surat (6 inci x 8 inci) beralamat sendiri dan bersetem kepada PRN. Selain itu PRN juga menyumbang makalah-makalah khas dengan kerjasama beberapa akhbar tempatan.

Pada masa hadapan program pendidikan dalam bentuk seminar dan ceramah juga akan dijalankan untuk sasaran tertentu.

  • Perkhidmatan Makmal Toksikologi

Perkhidmatan ini sedang dirancang. Tujuannya adalah untuk mengadakan kemudahan analisis untuk membantu dalam hal-hal keracunan.

Kesimpulannya, orang ramai mempunyai peranan penting untuk mengurangkan ataupun mencegah sama sekali kejadian keracunan di kalangan masyarakat ini.

Dengan tertubuhnya Pusat Racun Negara usaha ini akan dapat dipergiatkan lagi setara dengan visi 'memupuk kesihatan' dan misinya: Untuk mengurangkan kematian (mortaliti), kecelakaan (morbiditi), kemalangan serta kos berkaitan keracunan dengan menekankan ciri-ciri kecemerlangan, keprihatinan dan inovatif.

Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, khususnya orang ramai, visi dan misi ini dapat tercapai. Tujuan ruangan ini untuk meningkatkan kerjasama tersebut dengan mengwujudkan satu forum di mana hal berkaitan keracunan dibincangkan secara terbuka.

  • Hits: 254
POISONING EMERGENCY /
INFORMATION
Monday - Friday
8.10 am - 5.10 pm : +604 6570099
(main) / +604-6572924
5.10 pm - 10.10 pm  : 012-4309499

Saturday, Sunday and Public
Holiday
8.10 am - 5.10 pm : 012-4309499

CONTACT US
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia

cont 02: +604-653 2265
cont 03: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.