Pusat Racun Negara | Universiti Sains Malaysia

Kesan racun bahan pencuci

Dr. Rahmat Awang
Utusan Malaysia, 27 Mei 1995

SERBUK pencuci, kosmetik, bahan terbitan petroleum, racun serangga, tanaman dan ubat-ubatan merupakan antara jenis bahan yang terdapat di rumah.

Kerana itu 80 peratus daripada kemalangan keracunan di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa membabitkan bahan ini berlaku di rumah.

1. Sabun dan Serbuk Pencuci
Sabun dan serbuk pencuci memang mudah didapati di rumah. Sesetengah bahan ini tidak berbahaya jika ditelan dan terkena mata berbanding bahan lain.

Menurut definisinya, sabun adalah garam asid lemak dan hanya mengakibatkan keradangan (iritasi) ringan jika ditelan dan dengan itu rawatan yang diperlukan dengan meminum air biasa ataupun air susu sahaja.

Sabun pekat jarang sekali dijual secara komersil dan telahpun digantikan dengan lain-lain bahan memandangkan sabun cepat bertindak balas dengan galian yang didapati dalam air paip dan membentuk keledak yang cenderung melunturkan pakaian.

Terdapat beberapa serbuk pencuci yang terdiri daripada ejen aktif permukaan (surfaktan) sintetik untuk menggantikan sabun-sabun biasa.

Surfaktan negatif dan tidak berion merupakan komponen utama dalam kebanyakan sabun pencuci buku, cecair pencuci pinggan dan sesetengah sabun pakaian.

Jika banyak sabun cecair (1 atau 2 auns) ditelan, pesakit mungkin mengalami sedikit keradangan pada mukosa mulut, muntah-muntah serta cirit-birit.

Walaupun bahan ini tidak merbahaya, seseorang itu masih perlu menghubungi Pusat Racun Negara untuk mendapatkan nasihat kerana ada sesetengah bahan yang mengandungi garam beralkali. Garam-garam ini adalah garam natrium karbonat atau fosfat.

Silika yang melembutkan air dan meningkatkan keupayaan mencuci juga sering terdapat dalam sabun.

Fosfat merupakan pemukal yang paling kerap dimasukkan ke dalam serbuk pencuci. Fosfat telah dipastikan penyebab pencemaran air dan mempercepatkan pertumbuhan alga.

Ini menyebabkan pengharaman penggunaan fosfat dalam kebanyakan sabun pencuci pakaian.

Sesetengah jenama masih mengandungi fosfat tetapi indeks ketoksikannya adalah rendah berbanding lain-lain pemukal. Radangan setempat pada mukosa mulut dan muntah merupakan kesan utama jika tertelan sabun pencuci berfosfat.

Berkumur dan mencairkan isi perut dengan air atau susu sudah mencukupi untuk merawatnya. Jika mata terkena sabun pencuci jenis ini mata pesakit harus dibasuh dengan air selama 10-15 minit. Jika terdapat radangan, mata pesakit harus diperiksa oleh doktor.

Garam yang beralkali seperti natrium karbonat, natrium silikat dan natrium metasilikat boleh didapati dalam pencuci mesin basuh.

Dialami

  • Jika pencuci ini terkena mata, radangan teruk boleh dialami. Dalam keadaan begini, jangan berlengah untuk mencuci mata dengan air selama 10-15 minit diikuti dengan pemeriksaan perubatan.
  • Jika tertelan serbuknya, bahagian mulut, esofagus dan perut menunjukkan keadaan seperti terbakar. Susu atau air perlu diminum segera.
  • Sabun pencuci bercas positif seperti benzalkanium klorida adakalanya digunakan di rumah sebagai disinfektan dan kegunaan sanitasi.
  • Pada kepekatan tertinggi, ia merupakan ciri-ciri menghakis sama seperti pemukal alkali. Tambahan ini, mempunyai kesan sistemik seperti melemahkan otot dan gelugut.
  • Maut boleh berlaku jika terminum satu auns larutan berkepekatan 10 peratus. Walaupun sabun pencuci bercas positif mungkin menghakis, rawatan mengeluarkan sabun dengan cara membuat seseorang itu muntah mungkin perlu jika banyak sabun yang ditelan.


2. Bahan Peluntur dan Amonia
Bahan peluntur memang sudah dikenali ejen kakis kuat. Kebanyakan bahan peluntur yang digunakan di rumah mengandungi natrium hipoklorit pada kepekatan lebih kurang 5 peratus dan sebenarnya tidaklah mempunyai sifat terlalu alkali. Pada kepekatan ini, jika diminum segelas susu sudah mencukupi sebagai rawatan.

Kemungkinan radangan mulut dan esofagus berlaku adalah tipis sekiranya tidak banyak bahan peluntur ini ditelan.

Jika ditelan kesannya adalah lebih berat dan radangan lebih teruk dialami.

Percampuran bahan peluntur yang mengandungi natrium hipokrot dengan lain-lain bahan pencuci boleh mangakibatkan kesan yang lebih buruk.

Campuran peluntur dengan bahan pencuci tandas berasid kuat akan melepaskan gas klorin yang amat toksik pada selapuk mukosa terutama sekalipada saluran pernafasan.

Kesan
Begitu juga, jika dicampurkan bahan peluntur dengan amonia akan mengeluarkan gas kloramin yang mempunyai kesan toksik yang sama seperti gas klorin.

Pesakit dinasihatkan supaya berjumpa doktor jika radangan salur pernafasan dan mata berterusan.

Amonia yang dijual untuk kegunaan di rumah biasanya dalam bentuk larutan amonia cair dan mempunyai tahap ketosikan rendah.

Larutan amonia yang digunakan dalam industri adalah lebih pekat dan mempunyai sifat kakis.

3. Bahan Pencuci Khas
Beberapa disinfektan dan pencuci mengandungi minyak pine ada dijual di pasaran. Minyak pine dikelaskan sebagai minyak meruap terdiri daripada alkohol terpin, eter dan hidrokarbon.

Jika bahan sedemikian tertelan, kesannya bukan setakat radangan teruk pada sistem gastrousus malahan pernafasan tertekan dan konvulsi akan dialami. Maut pernah terjadi dengan meminum satu auns minyak pine pekat.

Bahan pencuci cermin kereta mengandungi metil alkohol (metanol) pada kepekatan tinggi. Ia mempunyai sifat membersih dan menghalang pembekuan.

Metanol dimetabolismekan kepada metabolit toksik boleh mengakibatkan kerosakan sistemik serius termasuk mata menjadi buta dengan meminum paling sedikit lima hingga sepuluh mililiter. Tindakan dengan muntah boleh diatasi.

Pencuci keledak cerek air mengandungi bahan-bahan sama seperti yang terdapat pada sabun pencuci pinggan mangkuk elektrik. Ia juga memberikan kesan yang sama bila ditelan.

Dalam banyak kes, pesakit harus mendapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin jika banyak yang ditelan atau jika terdapat sebarang radangan.

  • Hits: 4177
POISONING EMERGENCY /
INFORMATION
Monday - Friday
8.10 am - 5.10 pm : +604 6570099
(main) / +604-6572924
5.10 pm - 10.10 pm  : 012-4309499

Saturday, Sunday and Public
Holiday
8.10 am - 5.10 pm : 012-4309499

CONTACT US
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia

cont 02: +604-653 2265
cont 03: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.