Pusat Racun Negara | Universiti Sains Malaysia

Bahaya racun serangga

Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Utusan Malaysia, 8 Julai 1995

Tanpa disedari kita dapati pelbagai jenis racun makhluk perosak tersimpan di rumah.

Racun ini bukan sahaja digunakan di rumah tetapi juga di kebun dan ladang untuk tujuan perlindungan tanaman di samping meningkatkan kualiti dan pengeluaran.

Oleh itu kaedah penggunaan, penyimpanan dan kawalannya harus dititik beratkan terutamanya daripada kanak-kanak yang sering menjadi mangsa.

Racun makhluk perosak boleh dikelaskan kepada beberapa kumpulan iaitu racun serangga, kulat, tikus, rumpai, racun biologi bagi mengawal serangga, racun fumigasi dan racun nematoda.

Biasanya di rumah racun makhluk perosak yang disimpan di rumah terdiri daripada racun serangga (insektisid) dan racun tikus (rodentisid).

Kebanyakan racun makhluk perosak tidak sahaja toksik terhadap organisma sasaran tetapi juga terhadap manusia dan haiwan peliharaan.

Faktor utama yang perlu diberikan perhatian adalah cara racun tersebut memasuki tubuh manusia.

Racun makhluk perosak boleh memasuki badan manusia menerusi mulut, kulit dan saluran pernafasan.

Gejala keracunan yang berlaku akibat pendedahan sekali terhadap racun disebut keracunan akut. Keracunan kronik pula disebabkan pendedahan berulang kali atau penyerapan racun pada kadar yang sedikit dalam jangkamasa yang lama.

Racun serangga

Racun serangga yang biasanya digunakan di rumah terdapat dalam bentuk semburan, lingkaran dan kepingan yang terdiri daripada racun serangga piretroid.

Racun jenis ini mempunyai taraf ketoksikan yang rendah terhadap manusia yang boleh dinyahkan daripada tubuh melalui proses penguraian dan perkumuhan dan tidak begitu berbahaya kepada manusia.

Walaupun racun serangga piretroid tidak merbahaya, ia mempunyai dos-dos tertentu yang boleh menyebabkan keracunan dan kematian bergantung kepada cara ia memasuki tubuh manusia terutamanya melalui mulut.

Tanda-tanda keracunan ialah mual atau muntah serta cirit-birit. ia juga menyebabkan kerosakan sistem saraf pusat dan boleh mengakibatkan sawan, koma dan sesak nafas.

Bantuan kecemasan dilakukan supaya pesakit tersebut muntah dan mengeluarkan semula bahan racun.

Racun piretroid dihasilkan daripada sebatian semulajadi piretrum yang diperolehi daripada ekstrak bunga kekwa (chrysanthemum).

Sebatian piretrum ini mengandungi beberapa jenis bahan aktif piritrin. Bahan aktif ini kemudiannya dicampurkan dalam proses penyulingan minyak.

Proses penyulingan ini menghasilkan hidrokarbon yang boleh menyebabkan radang paru-paru jika terhidu.

Paru-paru merupakan organ utama serangan racun ini. Pesakit asma yang terhidu racun ini boleh mengalami lelah serta merta. Jika kerap kali terhidu racun ini boleh menyebabkan saluran atas pernafasan gatal-gatal, radang kerongkong, rinitis dan berlaku gerakbalas hipersensitiviti.

Mangsa yang keracunan melalui saluran pernafasan, hendaklah segera dibawa ke tempat lapang dan diberi bantuan pernafasan. Jika terkena kulit ataupun mata, ia boleh memedihkan serta menyebabkan gatal-gatal.

Dalam kes ini, bahagian badan perlu dicuci dengan air bersih yang banyak bersama cucian sabun. Bagi mata yang terkena racun, cuci dengan air bersih selama 10-15 minit. Pakaian yang terkena racun haruslah dibasuh sebelum dipakai semula.

Ubat gegat

Racun serangga dalam bentuk biji terutamanya ubat gegat mengandungi bahan kimia naftalin dan paradiklorobenzin.

Bahan kimia ini juga terdapat dalam pewangi tandas (toilet bowl deodorizers). Kedua-dua bahan kimia tersebut mengeluarkan bau yang kuat dan susah untuk menghilangkannya.

Sekarang naftalin kurang digunakan dan digantikan dengan paradiklorobenzin yang lebih rendah kesan toksiknya. Kedua-dua bahan kimia ini boleh menyebabkan kegagalan sistem penghadaman dan sistem saraf pusat.

Bagi pesakit yang mengalami kekurangan enzim glukos-6-fosfat dihidrogenase, naftalin boleh menyebabkan hemolisis (gangguan sel darah).

Setiap biji ubat gegat mengandungi 250-500 mg naftalin dan boleh menyebabkan hemolisis. Sawan atau gelugut boleh berlaku jika termakan 1-2 g naftalin (bersamaan 4-8 biji ubat gegat).

Secara perbandingan paradiklorobenzin kurang toksik daripada naftalin. Walau bagaimanapun jika termakan lebih daripada 20g boleh menyebabkan toksik bagi orang dewasa.

Paras keracunan paradiklorobenzin ialah di antara 500-5000 mg/kg. Ada laporan mengatakan bahawa keracunan serius yang terjadi pada haiwan menyebabkan tremor dan nekrosis hati.

Biasanya apabila keracunan ini berlaku kita boleh mengetahui daripada kesan bau ubat gegat tersebut pada mulut dan muntah mangsa. Walau bagaimanapun sukar untuk kita bezakan antara naftalin dan paradiklorobenzin dari segi bau dan warna.

Apabila berlaku keracunan melalui mulut, jika mangsa tersebut tidak muntah haruslah diikhtiarkan muntah misalnya dengan memasukkan jari ke dalam kerongkong.

Jika tidak dilakukan dengan segera dikhuatiri sawan terjadi. Bawa mangsa segera ke hospital agar rawatan perubatan selanjutnya dapat diberikan.

Kedua-dua bahan kimia tersebut jika terkena atau tersentuh pada mata boleh menyebabkan radang dan kemerahan mata. Naftalin boleh mencederakan kornea dan penglihatan menjadi kabur.

Rawatan awal ialah dengan mencuci mata dengan air bersih selama 15 minit. Jika radang berlanjutan dan masih sakit, harus segera berjumpa doktor bagi rawatan seterusnya.

Sentuhan dengan kulit boleh menyebabkan melecur, tetapi gejala ini jarang berlaku. Basuh dengan air yang banyak bersama cucian sabun sekiranya terkena pada kulit.


Soalan: Saya ingin bertanya tentang kesan ubat nyamuk kepada pernafasan kita. Ini adalah kerana sebagai manusia kita sering digigit nyamuk pada waktu malam. Apakah kesan ke atas manusia jika terhidu asap atau bau-bauan dari lingkaran nyamuk yang dibakar?

Jawapan:
Terhidu asap dari lingkaran atau bauan dari kepingan ubat nyamuk tidak begitu membahayakan kepada kesihatan. Racun yang terdapat dalam asap ataupun bauan tersebut mudah diserap ke saluran usus, kemudiannya akan dikeluarkan daripada tubuh kita melalui proses penguraian dan perkumuhan.

Bagaimanapun asap atau bauan itu mungkin menjadi alahan kepada pesakit asma. Mereka yang sensitif (alahan) terhadap asap boleh menyebabkan bersin, batuk, nafas menjadi cetek dan sakit di bahagian dada.

  • Hits: 4942
POISONING EMERGENCY /
INFORMATION
Monday - Friday
8.10 am - 5.10 pm : +604 6570099
(main) / +604-6572924
5.10 pm - 10.10 pm  : 012-4309499

Saturday, Sunday and Public
Holiday
8.10 am - 5.10 pm : 012-4309499

CONTACT US
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia

cont 02: +604-653 2265
cont 03: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.