Pusat Racun Negara | Universiti Sains Malaysia

Kesan Salahguna Bahan Pelarut

Noor Hasani Hashim
Utusan Malaysia, 2 September 1995

Penyalahgunaan bahan pelarut bukan perkara baru. Menghidu bahan kimia, pewangi dan gas-gas telah didokumentasi sejak dulu lagi. Gam atau bahan perekat merupakan sebatian paling kerap disalahgunakan.

Apabila dihidu dalam kuantiti yang mencukupi ia akan menyebabkan penghidu menjadi khayal dan kesannya hampir serupa dengan intoksikasi alkohol. Ia sering diiringi dengan perubahan tahap kewarasan. Namun kini jenis sebatian yang disalahguna berubah mengikut masa.

Oleh kerana sebatian ini mempunyai toksisiti yang tinggi dan mudah didapati, maka perhatian serius diperlukan untuk mencegah gejala ini daripada berlaku berterusan.

Sejak 1971 hingga 1991, di United Kingdom sejumlah 1237 kematian disebabkan oleh penyalahgunaan pelarut. Daripada jumlah tersebut, 214 (17%) mangsa berumur 9-14 tahun, 692 (56%) berumur 15-19 tahun, 180 (15%) berumur 20-24 tahun, 85 (7%) berumur 25-34 tahun dan selebihnya 60 (5%) berumur melebihi 35 tahun.

Di Malaysia, insiden penyalahgunaan pelarut tidak banyak dilaporkan. Namun kajian yang dilakukan di Sabah dan Sarawak dalam tahun 1984 menunjukkan kebanyakan penghidu terdiri dari golongan remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun dan masih di peringkat persekolahan.


Barangan mengandungi pelarut

Inhalants adalah barangan mengandungi wap boleh dihidu untuk menghasilkan kesan intoksikasi. Ini termasuklah pelarut dan bahan penyembur yang mengandungi hidrokarbon mudah meruap (seperti aseton, benzena, toluena dan alkohol) sebagai bahan asas.

Pelarut seperti gam, petrol dan bahan penipis (thinner) atau penghapus minyak digunakan dalam persediaan industri dan juga kegunaan di rumah. Penyembur pula terdapat sebagai cecair, pepejal dan gas yang dimampatkan dan disimpan dalam bekas tertentu. Sebahagian besar daripada pelarut adalah jenis hidrokarbon.

Hidrokarbon mudah meruap boleh dikelaskan kepada beberapa kumpulan seperti alkohol, ester, keton, hidrokarbon alifatik, anestetek dan nitrit alifatik.

Barang komersial yang berkemungkinan menghasilkan kesan toksik berbahaya seperti gam/perekat, pelarut industri, larutan pencuci, penapisan cecair pembetul, pencuci pengilat kuku, cecair pemetik api, cat dan penapis cat, penyembur propelan dan gasolin (petrokimia).

drokarbon mudah meruap - kumpulan dan barangan

Mengapa wujud penyalahgunaan pelarut?

1. Pengaruh teman dan sifat ingin tahu
Pengaruh teman dan sifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang baru di kalangan kumpulan remaja merupakan faktor yang paling ketara. Rakan yang mempengaruhi unsur negatif mengujudkan sifat anti-sosial seperti penyalahgunaan pelarut.

2. Faktor individu, termasuk rasa bosan
Sesetengah remaja mempunyai pengalaman pahit sama ada di rumah atau di sekolah, konflik dan perselisihan keluarga, mutu pencapaian di sekolah lemah dan hubungan kurang baik dengan rakan serta guru. Semua ini, mengarah kepada perasaan kecewa, tertekan, putus harapan dan tidak dihargai.

Apabila kurangnya ketahanan diri, menyalahguna pelarut dipilih sebagai jalan keluar. Kebanyakan remaja memenuhi masa lapang mereka dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Bosan dan tidak dipeduli boleh mengarahkan kepada penyalahgunaan pelarut

3. Sebatian mudah didapati
Barangan yang mengandungi sebatian yang disalahguna, mudah didapati di rumah malah di kaunter kedai dengan harga yang murah. Kebanyakan barangan tersebut dibungkus dalam bentuk mudah dibawa dan disembunyikan

4. Kesan khayal yang cepat
Menghidu pelarut memberikan kesan khayal dengan cepat berbanding dengan kesan yang didapati dari penyalahgunaan dadah lain.


Bahaya penyalahgunaan pelarut

Kesan penyalahgunaan pelarut, bergantung kepada kuantiti yang diambil pada satu masa, cara pelarut diambil, individu (umur, jantina, kesihatan, berat badan, ragam, toleransi dan pengalaman) dan suasana bahan pelarut digunakan.

Wap yang dihidu daripada pelarut atau penyembur mengandungi komponen yang boleh melarut lemak dan meresap ke dalam saluran darah dengan melalui paru-paru, kemudian tersebar dengan cepat ke organ-organ yang mempunyai aliran darah yang tinggi seperti di otak dan hati. Wap tersebut juga diserap dengan pantas ke dalam sistem saraf pusat menyebabkan penyusutan fungsi badan termasuklah pernafasan dan degupan jantung.

Sesetengah hidrokarbon meruap diungkaibina dan dirembes melalui buah pinggang. Kebanyakannya dikeluarkan semula daripada badan tanpa berubah bentuk, terutama melalui paru-paru. Hidrokarbon meruap akan mengambil masa untuk dikeluarkan daripada tubuh kerana penyerapan semua dari tisu lemak ke dalam darah adalah perlahan.


Bahaya serta merta
Tanda keracunan serta merta adalah mual, muntah, cirit-birit dan hilang selera. Sistem deria menjadi kurang peka, radang mata, penglihatan berganda dan telinga berdesing. Penghidu juga akan mengalami sakit sendi dan otot, sukar bernafas, sakit dada dan degupan jantung tidak normal.

Pada amnya kesan-kesan serta merta akan dirasai dalam masa 45 minit selepas menghidu dan akan hilang dalam tempoh beberapa jam atau hari bergantung kepada kuantiti yang terlibat. Menyedut `dalam-dalam' atau menghidu berterusan dalam masa yang singkat mungkin menyebabkan kekeliruan mental serta hilang pertimbangan.

Serangan penyakit yang tiba-tiba terhadap otak boleh menyebabkan mangsa tidak dapat bergerak, kurang koordinasi otot dan refleksi tertekan. Selain itu ia juga boleh menyebabkan hidung berdarah, mata merah, sukar bernafas, `hangover' dan mengalami sakit kepala beberapa hari.


Mati mengejut
Banyak kes mati mengejut dilaporkan akibat daripada menghidu pelarut yang melibatkan penggunaan bahan penyembur (fluorokarbon), trikloroetena, karbon tetraklorida, toluena dan aseton. Sebatian ini dipercayai menyebabkan tindak balas jantung secara tidak normal terutama degupan jantung yang luar biasa.

Asfiksia atau sukar bernafas juga mengakibatkan seseorang mati mengejut. Ada juga kematian disebabkan oleh kemalangan ketika penghidu dipengaruhi oleh kesan pelarut.


Kesan jangka panjang
Ini termasuklah rasa lesu, pucat, pelupa, tidak upaya berfikir secara logik, kehausan, berat badan berkurang. Rasa tertekan, berang, ganas dan merasa diri dianiaya boleh juga berlaku, selain daripada pengurangan pembentukan sel darah dalam sum-sum tulang.

Menghidu berterusan wap yang berkepekatan tinggi untuk jangka masa panjang akan mengakibatkan kerosakan sistem saraf pusat yang tetap, juga ke atas keupayaan mental, kerosakan hati dan buah pinggang. Maut berpunca daripada degupan jantung yang luar biasa, kesukaran dan kegagalan bernafas.


Langkah rawatan segera
Dalam kes keracunan segera, pastikan mangsa mendapat banyak udara bersih. Jika mangsa pada tahap rangsang, mangsa perlu ditenteramkan dan direhatkan. Jika berlaku kesukaran bernafas dan denyutan nadi luar biasa, bawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.


Soalan :
Saya bekerja sebagai Jurupam di stesen minyak. Setiap kali saya mengisi minyak, saya terhidu bau petrol. Adakah ini akan memberi kesan kepada kesihatan saya ?

Minyak petrol adalah campuran hidrokarbon yang kompleks. Ia mengandungi banyak bahan penambah bukan hidrokarbon seperti agen anti-ketuk, antioksidan, penahan karat dan pewarna. Toksisiti minyak petrol dikaitkan dengan komposisi campuran dan ini bergantung pula pada asal usul petroleum yang menjadi sumber minyak petrol serta pembentukan struktur yang berlaku dalam proses pencerniaan. Hidrokarbon tepu (daripada C4 - C8 ) mempunyai ciri-ciri narkotik yang kuat dan boleh menyebabkan rasa mual, kesukaran bernafas dan pengsan. Hidrokarbon tak-tepu dalam campuran (seperti butilena dan isoprena) adalah agen bius yang ringan. Pendedahan pada wap petrol di kawasan terbuka seperti di stesen minyak tidak membahayakan. Walau bagaimanapun, sekiranya wap petrol tersebut sengaja dihidu dan secara berterusan, ia akan memberi kesan pada sistem badan.

  • Hits: 1193
POISONING EMERGENCY /
INFORMATION
Monday - Friday
8.10 am - 5.10 pm : +604 6570099
(main) / +604-6572924
5.10 pm - 10.10 pm  : 012-4309499

Saturday, Sunday and Public
Holiday
8.10 am - 5.10 pm : 012-4309499

CONTACT US
National Poison Centre
Universiti Sains Malaysia
11800 Penang
Malaysia

cont 02: +604-653 2265
cont 03: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.