• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Keracunan melibatkan `drug' dalam ubat batuk

Noor Hasani Hashim
Utusan Malaysia, 28 Okober 1995

SEPERTI yang dijelaskan pada siri yang lalu, terdapat pelbagai jenis drug yang digunakan dalam sesuatu jenis ubat batuk. Minggu lalu juga kita telah membincangkan bahaya ubat batuk yang mengandungi kodein. Kali ini tumpuan diberikan kepada bahaya drug lain selain kodein.

Difenhidramin ialah sejenis drug dalam kumpulan antihistamin. Ia mempunyai banyak kegunaan termasuk untuk rawatan alahan, jangkitan saluran pernafasan mabuk perjalanan dan juga sebagai sedatif.

Seperti drug lain yang terdapat dalam kumpulan ini, ia dapat menahan kesan histamin yang dibebaskan apabila berlaku sesuatu tindakbalas alahan. Walaupun selamat digunakan pada dos yang disarankan, lebihan dos boleh menimbulkan pelbagai masalah termasuk kematian.

Apabila berlaku keracunan antihistamin, fungsi otak akan tertekan, dan pesakit akan merasa mengantuk, pening dan kelihatan lesu atau tidak bermaya. Di samping itu mulut menjadi kering, anak mata tidak bergerak, muka menjadi merah dan suhu badan boleh meningkat. Kanak-kanak merupakan golongan yang sering mengalami keracunan drug antihistamin.

Bila berlaku, kanak-kanak sering mengalami keadaan seperti halusinasi, psikosis, gangguan mental sementara, sawan diikuti dengan gangguan pernafasan dan pergerakan jantung.

Dekstrometofan pula adalah satu lagi jenis drug yang dapat meredakan batuk. Ia dikatakan lebih selamat dan tidak menyebabkan ketagihan. Ciri-ciri ini meletakannya sebagai pilihan untuk menggantikan kodein. Ia juga sering kali digabungkan dengan agen antihistamin atau ubat demam seperti asetaminofen.

Bergantung
Bila berlaku keracunan, ia bergantung kepada kandungan yang dimakan. Lebihan dos yang ringan boleh menyebabkan kesukaran bernafas, tidak bermaya, rasa gelisah dan kadang kala halusinasi penglihatan dan pendengaran. Lebihan dos pada kadar yang besar akan mengakibatkan mangsa lali, koma dengan masalah pernafasan terutama jika diambil bersama alkohol.

Seseorang yang makan ubat penyakit darah tinggi yang mengandungi perencat monoamin oksida mungkin mengalami peningkatan tekanan darah dan demam panas yang teruk walaupun dekstrometofannya normal. Selain ini, pernah juga dilaporkan seorang lelaki berusia 40 tahun dimasukkan ke hospital setelah dua minggu mengalami tanda tanda gila (mania).

Hasil siasatan mendapati beliau telah mengambil lebih kurang 100 ml ubat batuk mengandungi drug dekstrometofan setiap hari selama 8 tahun.

Apabila dalam keadaan tertekan, beliau mengambil sehingga mencapai 400 ml setiap hari. Walaupun tidak jelas bagaimana drug jenis ini menyebabkan keadaan gila (mania), pengguna harus waspada apabila menggunakan ubat batuk mengandungi drug dekstrometofan.

Selain drug antihistamin dan dekstrometofan, terdapat juga ubat batuk yang mengandungi drug-drug yang meredakan gangguan pernafasan seperti fenilpropanolamin, fenilefrin, efedrin, pseudoefedrin, nafazolin dan zilometazolin. Drug jenis ini bertindak pada otot dan saluran tenggorok untuk mengembangkan saluran tersebut. Ia juga digunakan bagi rawatan penyakit alahan dan jangkitan akut terhadap saluran pernafasan.

Kebanyakan drug jenis ini bertindakbalas secara negatif dengan lain-lain drug. Pesakit yang terlalu peka pada epinefrin, efedrin, terbutalin atau amfetamin juga akan peka pada drug seperti fenilpropanolamin.

Tanda-tanda keracunan yang membabitkan sediaan ubat yang mengandungi drug fenilpropanolamin, fenilefrin dan efedrin dapat dilihat selepas mengambil dua atau tiga kali daripada dos yang disarankan.

Toksik
Bagaimanapun, drug jenis pseudoefedrin dipercayai kurang toksik dan tanda-tanda keracunan hanya dapat dilihat apabila sebanyak empat atau lima kali dos normal dimakan. Pesakit yang mengambil ubat penyakit darah tinggi seperti perencat monoamin oksida mungkin akan terlalu peka pada kebanyakan drug jcnis ini.

Pesakit akan mengalami peningkatan tekanan darah pada tahap yang boleh membahayakan, walaupun dos yang diambil kurang daripada dos yang disarankan. Tanda keracunan paling serius membabitkan drug jenis ini termasuklah tekanan darah yang amat tinggi, sakit kepala luar biasa, keliru, sawan dan strok.

Pendarahan pada otak boleh berlaku pada remaja sihat selepas mengalami tekanan darah tinggi. Peningkatan tekanan darah yang disebabkan oleh drug fenilpropanolamin dan fenilefrin biasanya diiringi dengan degupan jantung yang perlahan.

Tekanan
Manakala drug efedrin dan pseudoefedrin selalu menyebabkan tekanan darah tinggi dengan degupan jantung yang pantas. Berdasarkan kepada penetilian ini, jelas menunjukkan walaupun semua drug ini tidak memberi kesan ketagihan, tetapi bahaya jika disalahguna.

Pesakit atau pengguna haruslah berwaspada apabila makan ubat seperti ini. Ubat dirumus sebagai penawar untuk menyembuhkan penyakit tetapi ubat juga boleh menjadi racun yang boleh membawa maut jika dimakan tidak betul.

Sesiapa yang ingin mendapat naskah percuma buletin dari Pusat Racun Negara, sila hantar sampul surat (6"x9") bersetem 40 sen dan beralamat sendiri kepada Pengarah, Pusat Racun Negara, USM, 11800 Minden, P.Pinang.


s utube s fb