• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Bahaya racun rumpai pada kita

Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Utusan Malaysia, 23 Disember 1995

Minggu ini kita membincangkan pula tentang bahaya racun rumpai asid 2,4 D diklorofenoksi asetik yang mula diperkenalkan pada tahun 1944 dan digunakan dengan meluas di negara ini.

Ia juga merupakan salah satu sebatian yang terletak dalam kumpulan racun fenoksi. Racun ini bersifat memilih dan berkesan untuk mengawal rumpai berdaun lebar sama ada daripada kumpulan tahunan atau saka di kawasan bukan pertanian.

Sebatian ini bertindak merencatkan enzim tertentu dalam pertumbuhan rumpai. Oleh itu ia juga diguna sebagai hormon perencat tumbesaran tumbuhan.

Racun rumpai 2,4-D sesuai untuk mengawal rumpai di dalam tanaman bijirin seperti barli, jagung, oat, padi, sekoi dan gandum. Ia terdapat dalam berbagai bentuk (ester, amine, garam), kelarutan dan keupayaannya bertukar menjadi gas atau wap.

Selain 2,4-D, sebatian lain yang termasuk dalam kumpulan racun fenoksi ini ialah 2,4,5-T asid-D kloro-2-metil fenoksipropionik (MCPP) dan asid metilklorofenoksi asetik (MCPA). Sediaan racun dalam kumpulan ini biasanya dalam bentuk serbuk, cecair, larutan dan pekatan.

Sediaan kombinasi racun 2,4-D dengan racun rumpai lain juga terdapat di pasaran dan kebiasaannya digabungkan dengan parakuat, diuron, disodium methane arsonate(DSMA) dan monosodium methane arsonate (MSMA).

Kini terdapat pelbagai jenama dan perumusan sediaan dagangan di Malaysia yang mengandungi 2,4-D. Antara jenama yang masih terdapat di pasaran ialah 2,4-D Acid, Rumputox, Weeditox 450, Halextop, Embutox, Amine 720, Buah Emas, Wescomin, Acmine, Banvel 520, Keris, Armada, Contra, Dasatox F, Rarity 2,4-D Sodium 95 dan sebagainya.

Keracunan akut

Racun 2,4-D dikelaskan dalam racun sederhana merbahaya. Namun jika terdedah ia boleh menyebabkan mata dan kulit mengalami radang yang serius dikalangan pengguna.

Tanda-tanda keracunan 2,4-D seperti mengalami lemah otot-otot badan, keletihan, mual, muntah dan cirit birit biasa dialami oleh mangsa keracunan. Tanda-tanda tersebut berlarutan selama beberapa hari. Bagaimanapun tanda-tanda keracunan yang berlaku bergantung kepada jenama, kandungan 2,4-D surfaktan dan pelarut yang digunakan.

Mangsa yang terhidu dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan batuk, terasa sakit seperti terbakar di bahagian saluran pernafasan, sakit kepala dan terasa lemah otot. Walau bagaimanapun keracunan yang serius jarang berlaku melalui cara ini. Namun langkah keselamatan harus diamalkan semasa mengendalikan racun tersebut.

Dalam kes termakan racun 2,4-D yang menghampiri jumlah dos maut boleh menyebabkan radang atau sakit di bahagian lidah, kerongkong, saluran atas pernafasan, muntah dan pergerakan otot yang tidak menentu.

Sawan mungkin berlaku di peringkat awal semasa pesakit tidak sedarkan diri dan seterusnya koma. Kematian berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan sistem pernafasan semasa pesakit koma. Dos maut termakan racun ini ialah sebanyak 80 mg/kg.

Keracunan Kronik

Racun 2,4-D boleh diserap dalam badan menerusi saluran usus selepas ia diminum dan hampir semua dinyahkan melalui air kencing. Dari satu kajian yang diperolehi sebanyak 82 peratus racun dinyahkan dan selebihnya diserap ke dalam organ-organ dalam badan.

Kepekatan racun 2,4-D didapati tinggi dalam darah, hati, buah pinggang dan paru-paru. 2,4-D juga dapat dikesan dalam otak dan otot-otot selepas diambil 6 hingga 8 jam.

Jangkamasa

Antara kesan daripada pendedahan jangka masa panjang termasuklah kanser otak, kerosakan paru-paru, hati, buah pinggang dan otot.

Bagi kes keracunan 2,4-D tiada sebarang penawar yang boleh digunakan tetapi bantuan awal yang dilakukan dapat membantu menyelamatkan mangsa. Langkah awal yang disyorkan sebagai rawatan untuk mangsa terminum racun termasuklah prosedur muntah dan penggunaan arang teraktif. Muntah amat disyorkan dalam kes keracunan 2,4-D. Kebiasaannya selepas muntah pesakit akan diberikan arang teraktif secara oral untuk mengikat dan mengeluarkan baki racun yang tertinggal dalam usus.

Racun 2,4-D boleh menyerap melalui kulit dan menyebabkan iritasi yang serius dan lemah-lemah otot. Sekiranya terkena pada mata, iritasi teruk akan berlaku. Iritasi akan berterusan selama 24 jam dan pemulihan mengambil masa lama. Rawatan harus dilakukan segera secara membersihkan mata dengan air bersih selama lebih 15 minit.

Kesan ke atas ekologi dan alam sekitar

Racun 2,4-D didapati kurang toksik kepada unggas termasuklah beberapa spesis burung, ayam dan itik. Namun begitu kebanyakan formulasi racun 2,4-D amat toksik pada hidupan akuatik terutama ikan.

Oleh itu hendaklah berhati-hati semasa membancuh racun berhampiran punca air seperti sungai, tali air, parit dan sebagainya. Walaupun demikian kadar jangka hayat 2,4-D dalam air dan tanah adalah pendek.

Ini adalah disebabkan 2,4-D dapat diuraikan oleh mikroorganisme tertentu yang hidup dalam air mahupun tanah. Dari satu kajian didapati jangka hayat 2,4-D dalam tanah selama 7 hingga 16 hari bergantung kepada kadar peratusan kelembapan dan suhu tanah.


 


s utube s fb