• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Bahaya Terhidu Racun Fumigan

Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Utusan Malaysia, 10 Mei1996

FUMIGAN telah digunakan oleh manusia sejak dahulu lagi dengan membakar resin aromatik, herba dan kemenyan pada upacara keagamaan dan sebagai satu cara membunuh kuman.

Di sektor pertanian fumigan digunakan untuk mensterilkan tanah dan ini merupakan kaedah penting untuk membunuh serangga, cacing nematoda, benih rumpai dan kulat terutamanya di dalam rumah hijau.

Bahan-bahan kimia yang digunakan sebagai fumigan terdiri daripada karbon disulfied, formaldehid, metil bromida dan lain-lain lagi. Antara bahan kimia tersebut, metil bromida merupakan fumigan yang paling merbahaya dan amat toksik kepada manusia.

Metil bromida merupakan bahan kimia yang sering digunakan sebagai gas fumigan untuk membunuh serangga, anai-anai, cacing nematoda, tikus, benih rumpai dan kulat.

Selain daripada itu metil bromida juga digunakan di stor dan kilang, melindungi hasil tanaman, perabut, pakaian dan barangan lain daripada serangan makhluk perosak yang tidak diingini.

Walaupun metil bromida didapati amat toksik kepada manusia, ia terus digunakan sebagai fumigan memandangkan keberkesanannya menghapus makhluk perosak serta tidak mudah terbakar.

Di Malaysia racun fumigan metil bromida dipasarkan dalam bentuk gas dengan kepekatan dalam julat 98 hingga 99.5 peratus b/b. Setakat ini hanya empat jenama yang telah didaftarkan sehingga tahun 1994 dan masih dipasarkan. Di antaranya termasuklah Degesch Methyl Bromide, Wesfume C-2, Brom-O-Gas dan Medrom 100.

Di Malaysia tiada kes keracunan metil bromida dilaporkan. Ini mungkin disebabkan penggunaan racun tersebut melibatkan kos yang tinggi dan tidak mampu digunakan oleh para petani kita.

Penggunaan racun fumigan di dalam tanah harus dilakukan dengan menyuntik gas tersebut melalui saluran tertentu. Permukaan tanah perlu ditutup dengan lapisan plastik untuk mengelak gas tersebut terdedah keluar.

Keracunan Akut

Gas metil bromida dikelaskan sebagai sangat beracun. Keracunan akut (mendadak) yang serius boleh berlaku dengan terhidu gas metil bromida. Dalam bentuk gas, metil bromida mudah diserap terus ke dalam paru-paru.

Mudarat

Sekiranya anda terhidu sebanyak 1,600 bahagian per sejuta untuk selama 10-20 jam, atau 7,900 bahagian per sejuta selama 1 setengah jam, ia boleh mengakibatkan maut.

Kadar paling rendah yang boleh mendatangkan mudarat kepada manusia sebanyak 35 bahagian per sejuta didalam udara jika terhidu.

Metil bromida merupakan racun yang boleh terkumpul dan bertambah dalam badan seseorang jika terdedah dalam jangkamasa yang lama walaupun pada kadar dos yang rendah. Jangka hayat metil bromida dalam darah manusia ialah selama 12 hari.

Oleh itu kesan keracunannya boleh berlanjutan dari 48 jam sehingga beberapa bulan selepas terdedah kepada racun tersebut. Kesan yang berlanjutan ini menyebabkan mangsa yang terdedah dalam jangkamasa panjang tidak menyedari pendedahan tersebut kerana sifat metil bromida yang tidak berbau dan berwarna.

Tanda-tanda akibat keracunan metil bromida adalah pelbagai. Sebaik sahaja mangsa terhidu dalam kuantiti yang banyak, tanda-tanda seperti sakit kepala, pening, mual, sakit pada bahagian dada dan perut, dan terasa kekeringan kerongkong mula terjadi.

Manakala dalam jangkamasa tiga hingga 12 jam selepas terhidu gas tersebut, mangsa menghadapi masalah susah untuk bercakap, penglihatan menjadi kabur, buta seketika, bingung dan berpeluh.

Tanda-tanda yang lebih teruk termasuklah paru-paru menjadi bengkak, sukar untuk bernafas, pendarahan otak, hati dan limpa, kerosakan buah pinggang dan kebas. Kematian boleh berlaku dalam masa satu hingga 30 jam, kebiasaannya akibat daripada kegagalan pernafasan.

Walaupun penyerapan metil bromida melalui kulit tidak begitu toksik, sekiranya kulit terkena larutan metil bromida boleh menyebabkan kulit melecur dengan teruk. Di samping itu penyerapannya melalui kulit boleh menyebabkan mangsa terasa mual dan muntah.

Sekiranya terdedah secara berterusan, maut boleh berlaku. Jika terminum metil bromida, tangan menjadi terketar-ketar dan sawan boleh berlaku.

Keracunan Kronik

Pendedahan metil bromida secara berulang kali dalam jangkamasa panjang boleh menyebabkan pening kepala, gangguan pendengaran dan penglihatan, keliru, khayal, pertukaran perwatakan, dan kerengsaan pada bahagian badan tertentu. Sekiranya mangsa terdedah dengan teruk, kerengsaan pada paru-paru terjadi yang kemudiannya menjadi bengkak dan radang bronkial.

Sekiranya terdedah pada tahap yang rendah, boleh menyebabkan kegagalan sistem saraf pusat dan buah pinggang tercedera serta boleh menimbulkan masalah kepada sistem pernafasan.

Mengganggu

Di samping itu ia juga merengsakan (radang) kulit dan mata. Metil bromida boleh mengganggu kawalan otot dan tingkah laku mangsa. Organ tumpuan lain racun ini ialah pada jantung, rongga hidung, kelenjar adrenal dan testis.

Dari laporan kajian yang diperolehi, metil bromida boleh menyebabkan kanser. Kes seumpama itu telah berlaku kepada beberapa pekerja kilang di Amerika Syarikat yang mengalami barah testis setelah lama terdedah kepada racun tersebut. Dalam kajian yang berkaitan, metil bromida didapati menghasilkan tumor (barah) dalam perut tikus yang telah disuntik selama 90 hari.

Tiada sebarang penawar yang boleh digunakan dalam kes keracunan metil bromida tetapi langkah bantuan awal yang dilakukan di tempat kejadian dapat membantu menyelamatkan mangsa keracunan.

Bantuan

Dalam kes terhidu gas metil bromida, mangsa hendaklah dibawa ke tempat lapang dan diberikan bantuan pernafasan sebelum dibawa ke hospital

Sekiranya terkena pada kulit, cuci dengan air yang banyak bersama dengan cucian sabun.

Jika kulit menjadi radang selepas dibersihkan, mangsa hendaklah berjumpa dengan doktor secepat mungkin. Begitu juga dalam kes terkena pada mata, mata hendaklah dicuci dengan air bersih yang banyak selama 15 minit. Jika mata terasa sakit, kabur penglihatan, berair dan sebagainya, pesakit juga dinasihatkan supaya berjumpa doktor dengan segera.

Oleh itu, semasa menjalankan tugas mengendalikan racun-racun yang berbahaya, keselamatan diri harus diutamakan. Amalkan pemakaian alat-alat dan pakaian keselamatan yang disediakan. Mencegah lebih baik daripada mengubat.


 


s utube s fb