• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Hindari bahaya keracunan gas

Dr. Mohamed Isa Abd. Majid
Utusan Malaysia, 18 Mei1996

Kita sering mendengar banyak kes keracunan gas yang melibatkan orang ramai. Antaranya kecelakaan yang berlaku apabila tangki gas klorin di Ipoh bocor pada tahun 1955.

Peristiwa malang itu mengakibatkan 32 mangsa termasuk 11 kanak-kanak dan sembilan ahli pasukan penyelamat terpaksa menerima rawatan di hospital akibat dedahan gas tersebut.

Dalam kes lain pula, keracunan gas di dalam kapal pemunggah di Pelabuhan Klang mengakibatkan 14 mangsa terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Daripada 14 mangsa, empat daripadanya meninggal dunia manakala dua cedera parah.

Sebenarnya kita harus faham dengan sifat-sifat gas beracun dan sentiasa berwaspada dengan kemungkinan yang berlaku.

Apakah jenis-jenis gas beracun?

Gas beracun merupakan gas kimia yang berupaya menyebabkan kesan keracunan apabila gas tersebut masuk melalui paru-paru. Kesan keracunan boleh dilihat dalam jangka masa singkat (juga dikenali sebagai kesan mendadak atau akut).

Setelah memasuki badan, gas beracun mendatangkan kesan sama ada iritan (menyebabkan kecederaan sel-sel di tapak kemasukan), anestetik (menyebabkan kesan hilang kesedaran), kelemasan (mengalihkan oksigen sehingga mangsa tidak memperolehi oksigen mencukupi) dan kecederaan organ tertentu.

Apakah langkah-langkah yang wajar diambil?

Peringkat industri, langkah-langkah pencegahan boleh diambil dengan menyimpan tangki gas yang minimum untuk keperluan jangka pendek, memakai topeng pernafasan apabila memasuki kawasan simpanan bahan kimia, pemeriksaan kebocoran gas pada sesalur gas atau kawasan penyimpanan tangki gas.

Langkah-langkah keselamatan semasa mengendalikan tangki gas juga amat penting seperti tidak merokok semasa memasuki kawasan simpanan tangki gas dan mengendalikan tangki gas dengan cermat dan betul supaya gas yang dimampatkan dalam tangki gas tidak meletup.

Di rumah pula, penggunaan tangki gas seperti tong gas LPG juga boleh menyebabkan kejadian gas beracun berlaku. Pastikan alat dapur gas dipasang mengikut arahan pengeluar dan pemeriksaan kebocoran gas sentiasa dilakukan.

Oleh kerana gas LPG mempunyai bau yang spesifik, anda boleh memastikannya apabila berlaku kebocoran gas. Sekiranya ini berlaku, jangan nyalakan api sebaliknya buka tingkap rumah untuk membolehkan gas keluar dari dapur anda.

Bekas aerosol seperti semburan racun nyamuk juga mengandungi gas termampat yang boleh membahayakan kesihatan anda. Sekiranya telah habis menggunakannya, buangkan bekas itu dengan cara selamat iaitu menanamkan bekas ke dalam tanah. Jangan buang bekas aerosol ke dalam api.

Enjin kenderaan juga mengeluarkan gas beracun seperti karbon monoksida. Kenderaan bermotor yang tidak mempunyai penukar bermangkin mengeluarkan dua hingga lima peratus (20000 - 50000 ppm) gas karbon monoksida (CO) semasa enjin dihidupkan dan paras CO ini berupaya menyebabkan keracunan. Seboleh mungkin jangan hidupkan enjin kereta dalam garaj melainkan di kawasan lapang dan berudara.

Apakah langkah-langkah bantuan kecemasan dalam keracunan gas?

Dalam kebanyakan kes terhidu gas beracun, mangsa akan pengsan, sukar bernafas dan degupan jantung akan terhenti dan seterusnya mati. Gas-gas yang diketahui boleh menyebabkan kesan sedemikian di rumah termasuklah karbon monoksida, hidrogen sianid dan gas kegunaan masakan (gas cecair petroleum, LPG).

Karbon monoksida biasanya terhasil semasa pembakaran bahan seperti kertas, kayu dan semasa enjin kenderaan dihidupkan. Gas ini mempunyai sifat tidak berwarna, berbau atau mempunyai rasa. Ia amat berbahaya apabila berkumpul dalam ruang atau kawasan tertutup.

Gejala keracunan yang disebabkan gas karbon monoksida ialah sakit kepala, pening, fikiran keliru dan rasa mual. Apabila keracunan berlanjutan, mangsa akan hilang kesedaran dan boleh mengalami koma. Dalam kes tenat, pernafasan dan pergerakan jantung mangsa akan terhenti dan kebiasannya mangsa akan mati.

Hidrogen sianid dihasilkan daripada pembakaran bahan perabot yang terdapat di rumah seperti kerusi sofa, plastik dan kain fabrik. Sama seperti karbon monoksida, hidrogen sianid juga mengganggu penyampaian oksigen ke otak dan seterusnya menghalang sel-sel daripada menggunakan oksigen. Mangsa akan menunjukkan ciri-ciri tidak mendapat oksigen yang cukup sama sepeti mangsa kelemasan.

Langkah-langkah berikut boleh dipertimbangkan untuk berjaga-jaga;

  1. Sekiranya memasuki kawasan pencemaran gas gunakanlah topeng gas oksigen ataupun membuka tingkap, bawa mangsa keluar dari tempat keracunan.
  2. Longgarkan pakaian mangsa supaya dia mudah bernafas.
  3. Pastikan sama ada mangsa bernafas dengan baik. Jika ada bekalan oksigen, berikan pernafasan 100 peratus oksigen kepada mangsa. Jika mangsa sukar bernafas, berikan bantuan pernafasan seperti pernafasan mulut ke mulut.
  4. Periksa nadi mangsa jika nadi tiada, lakukan pemulihan kardiopulmonari (cardiopulmonary resuscitation).
  5. Hantar mangsa dengan segera ke hospital terdekat.

 


s utube s fb