• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Bahaya Organisma Air Merah Pada Tubuh

Noor Hasani Hashim
Utusan Malaysia, 26 Oktober 1996

FENOMENA 'air merah' atau lebih dikenali sebagai red tide yang berlaku di pantai barat Sabah ketika ini adalah berpunca daripada sejenis organisma satu sel dinoflagellate.

Organisma ini biasanya terdapat dalam air laut dan kehadirannya jelas boleh dilihat apabila bilangannya mencapai 20,000 atau lebih bagi setiap satu liter air.

Tetapi dalam keadaan iklim panas dan air laut yang panas organisma dinoflagellate boleh bercambah dengan pantas mencapai 60 juta organisma bagi setiap satu liter air laut.

Warna merah yang kelihatan adalah berpunca daripada xanthophyll peridinin.

Walaupun dikenali sebagai merah, kadangkala ia berwarna kuning, perang, hijau atau kebiruan ini bergantung kepada jenis organisma yang terlibat.

Orang ramai adalah dinasihatkan supaya tidak memakan hasil laut seperti siput, cengkerang dan ikan-ikan kecil di persisiran pantai ketika musim air merah ini.

Kali terakhir kejadian iar merah ini berlaku pada tahun 1976.

Apa yang jelas warna hidupan laut akan bertukar menjadi merah akibat dari organisma dinoflagellate.

Sebenarnya siput, kerang dan ikan-ikan tidak beracun, yang pasti keracunan adalah berpunca dari toksin yang dihasilkan oleh dinoflagellate.

Kerang, siput serta ikan yang memakan organisma ini secara menyaring akan berlaku pengumpulan dalam sistem pemakanan mereka.

Keracunan bergantung kepada bilangan organisma yang disaringkan dan mengikut kajian, kerang dan kupang akan menjadi bahaya apabila dimakan sekiranya bilangan organisma melebihi 20,000 bagi setiap satu mililiter air laut atau 200/ml.

Apa yang membimbangkan, toksin dan organisma ini sangat stabil dan sukar dihapuskan walaupun pada suhu tinggi ataupun suhu beku.

Jika orang ramai makan ikan, siput dan cengkerang mestilah arif membuang organ yang mengandungi dinoflagellate yang terkumpul di dalamnya.

Bagaimanapun risikonya terlalu tinggi bagi kita untuk mengelakkan keracunan dan sebaiknya jangan memakan hasil laut pada waktu ini.

Tidak semua spesies dinoflagellate beracun kepada manusia dan hidupan laut.

Terdapat pelbagai jenis phytoplankton yang bercambah dengan sejumlah yang besar dan tidak berbahaya.

Berbahaya

Berikut adalah beberapa jenis dinoflagellate yang berbahaya dan jenis keracunan yang berpunca darinya.

Organisma air merah biasanya dikaitkan dengan penghasilan saxitoxin dan terbitannya yang menyebabkan paralytic shellfish poisoning (PSP) iaitu keracunan pada otot yang boleh menyebabkan mangsa lumpuh.

Dinoflagellate juga menghasilkan brevetoxin di mana boleh menyebabkan mangsa mengalami gangguan pernafasan dan kerosakan sistem saraf.

Secara amnya ia boleh dikelaskan kepada tiga jenis keracunan yang berpunca daripada hasil laut (kerang dan siput) akibat air merah.

  • Keracunan pada otot (paralytic shellfish poisoning)
  • Keracunan perut dan usus (gastrointestinal shellfish poisoning)
  • Keracunan pada kulit (erythematous shellfish poisoning)

Tanda-tanda keracunan dapat dilihat dalam masa 5 hingga 30 minit selepas mangsa memakan siput, kerang dan tiram yang tercemar.

Mangsa akan merasa kebas (paresthesias) pada muka, kerongkong, jari tangan dan kaki.

Selaput mukus menjadi pedih. Tanda-tanda ini akan menjalar ke anggota lain seperti kaki, tangan, leher dan seluruh otot-otot badan termasuklah otot saluran pernafasan.

Tanda-tanda ini akan berlaku dalam tempoh beberapa jam malah sehingga beberapa hari.

Mangsa juga akan mengalami haus yang luar biasa, kesukaran untuk menelan, batuk dan masalah bernafas.

Bagi kes yang serius, mangsa akan mengalami sawan atau koma.

Kematian akibat daripada kesukaran bernafas telah dilapurkan ke atas mangsa yang mengalami keracunan teruk.

Bagi keracunan perut dan usus, tanda-tanda akan muncul dalam tempoh beberapa minit kepada tiga jam.

Mangsa akan mengalami gangguan otot, muntah, mual, sakit dan kejang otot perut serta cirit-birit.

Manakala tanda-tanda keracunan erythematous akan dapat dilihat beberapa jam selepas makan.

Kulit mangsa menjadi gatal-gatal dan rengsa diiringi dengan pening.

Kemungkinan keracunan ini juga berpunca daripada tindakbalas alahan akibat memakan hidupan laut yang telah busuk.

Tiada penawar bagi keracunan yang berpunca daripada toksin dinoflagellate.

Bagaimanapun, sekiranya mengalami tanda-tanda keracunan, segera mendapat rawatan pegawai perubatan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mandi laut ketika musim "air merah' kerana organisma dinoflagellate boleh mendatangkan bahaya apabila tersentuh.

Radang mata sehingga buta dan kulit menjadi gatal-gatal telah dilaporkan berlaku akibat pendarahan tersebut.

Basuh dengan air yang banyak menggunakan sabun pada kawasan yang terdedah.

Pemeriksaan pakar diperlukan sekiranya terdapat kawasan kulit yang rengsa atau sakit.

Keracunan boleh dielakkan dengan cara pencegahan.

Oleh itu berhati-hati bila memakan makanan laut serta mandi laut semasa musim 'air merah'.


s utube s fb