• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Merokok suatu ketagihan

Prof. Dzulkifli Abdul Razak
Utusan Malaysia, 7 Disember 1996

ISU tembakau baru-baru ini menarik banyak perhatian orang ramai berkaitan masalah kesihatan dan juga perseorangan syiah.

Ini memandangkan terdapat pelbagai bukti yang lebih kukuh mengaitkan secara langsung kesan-kesan tembakau khususnya rokok kepada penyakit kanser dan juga masalah ketagihan.

Di samping itu, pelbagai masalah kesihatan lain yang sememangnya telah didokumentasikan berkait rapat dengan amalan menghisap rokok.

Kajian yang menunjukkan kaitan langsung antara merokok dan kanser telah diutarakan baru-baru ini oleh dua pasukan penyelidik berasingan dan diterbitkan dalam jurnal terkemuka Science.

Hasil kajian ini telah menyelesaikan banyak kesamaran tentang kaitan kedua-dua aspek ini. Malah hasil kajian kali ini mengesahkan sekaligus bahawa rokok adalah penyebab kanser seperti mana yang telah dijangkakan mengikut kajian statistik selama ini.

Ia merupakan bukti pertama yang diperolehi dengan begiru jelas sekali. Mengikut kajian tersebut satu bahan kimia dalam asap rokok telah dikesan menyebabkan kerosakan genetik (faktor keturunan) pada sel paru-paru.

Ini menyamai apa yang diperhatikan dalam keadaan kerosakan sel berkaitan dengan banyak kanser paru-paru. Bahan-bahan ini dikenali sebagai karsinogen dan berupaya menyebabkan kanser melalui kesannya ke atas faktor keturunan.

Kajian berkaitan dengan ketagihan pula diterbitkan oleh jurnal Nature baru-baru ini. Mengikut makalah tersebut ketagihan merokok yang selama ini dianggap sebagai satu tabiat 'buruk' sebenarnya merupakan satu tabiat 'ketagihan' sepertimana juga dadah-dadah berbahaya lain misalnya kokain, amfetamin dan juga heroin.

Dalam kajian terbaru ini bahagian -bahagian terperinci terlibat di dalam otak telah dikenal pasti. Begitu juga bahan penghantar kimia (neurotransmitter) yang turut terjejas.

Tanggapan yang rokok mempunyai sifat ketagihan telah lama dijangkakan. Sejak tahun 1988, Laporan Ketua Kesihatan Amerika Syarikat turut menyatakan sedemikian.

Dinilai semula

Oleh itu ternyatalah bahawa kedudukan tembakau, khususnya rokok, perlu dinilai semula daripada perspektif-perspektif yang telah dikatakan.

Sementara itu, seorang professor dari Universiti Oxford, Dr. Richard Peto, menganggarkan bahawa merokok bertanggungjawab menyebabkan kematian kepada tiga juta orang setahun di seluruh dunia dan menganggarkan dalam masa 30 tahun dari sekarang, lebih daripada 10 juta orang akan mati, kebanyakannya di negara-negara membangun.

Ramalan seumpama ini telah banyak diutarakan dan kesannya kepada negara-negara maju begitu nyata sekali.

Misalnya di Amerika Syarikat sahaja penghisap rokok telah menurun sejak lima belas (15) tahun lalu. Namun di negara-negara dunia ketiga khasnya, trend seumpamanya ini masih belum dapat dikesan.

Di Malaysia, kadar penghisap rokok anggaran 2,000 batang seorang setahun, berbanding Indonesia, 1,050 batang seorang setahun, Thailand 900 batang, Vietnam, 670 batang.

Malah kita sering terbaca bahawa lebih banyak remaja dan muda mudi kita terutamanya yang beragama Islam melibatkan diri dengan tabiat merokok.

Keadaan seumpama ini menjadi lebih ketara lagi kerana baru-baru ini terdapat satu lapuran menunjukkan negara-negara maju terus mengalakkan ekspot tembakau mereka ke negara-negara lain di seluruh dunia.

Oleh kerana kesedaran yang begitu rendah di kebanyakan negara ini, tabiat merokok di kalangan warganegara masing-masing terus meningkat kepada tahap yang membimbangkan.

Oleh itu satu forum perbincangan yang menyeluruh adalah difikirkan penting diadakan bagi menilai semula tabiat merokok supaya pendekatan yang lebih realistik diwujudkan dalam membina satu masyarakat bebas rokok.

Selaras dengan cadangan ini, Pusat Racun Negara bersama Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia akan mengadakan bengkel bertemakan: Tembakau, Kesihatan dan Islam. Tujuannya adalah untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan tembakau dan menggabungkannya sekali gus dengan penemuan sains terkini dan juga pendapat-pendapat ahli fikir Islam mengenai isu tersebut.

Ini menjadi lebih penting lagi kerana pada 23 Mac tahun lalu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram pada pandangan Islam.

Pengharaman ini disokong secara lebih saintifik jika diambil kira penemuan-penemuan mutakhir seperti mana yang telah dinyatakan di atas.

Antara objektif bengkel tersebut adalah:

  1. Memperjelaskan kedudukan tembakau dari segi kesihatan dan Islam di kalangan masyarakat umum.
  2. Meneliti secara mendalam hujah-hujah yang boleh membawa kepada pengharaman tembakau.
  3. Memupuk kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang kemudaratan yang timbul daripada tabiat merokok.
  4. Membangunkan sebuah masyarakat Malaysia yang bebas merokok.
  5. mendedahkan keadah serta cara berhenti merokok.


s utube s fb