• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Puasa boleh atasi ketagihan merokok

Dr. Mohd. Isa Abdul Majid
Utusan Malaysia, 21 Disember 1996

Salah satu cara untuk mengatasi ketagihan rokok adalah dengan berpuasa.

Berpuasa sangat digalakkan kerana dalam hal ini merupakan satu bentuk latihan keazaman serta kesungguhan di samping melatih diri berhenti merokok secara berperingkat-peringkat.

Merokok dapat disamakan sebagai proses memasukkan bahan beracun secara hisapan ke dalam tubuh. Melalui menghisap sebatang rokok, tidak kurang dari 3,800 jenis racun akan disedut ke dalam tubuh.

Secara semulajadi, bahan racun yang dihisap masuk akan dikeluarkan dari tubuh melalui proses perkumuhan (ekskresi) air kencing, najis atau pernafasan.

Jika tabiat ini dilakukan secara berterusan setiap hari, maka jumlah racun yang dihisap akan melebihi jumlah yang berupaya dikumuhkan oleh badan.

Akibatnya berlakulah pengumpulan bahan racun di dalam badan.

Kalau kita mengambil kira cara kemasukan racun melalui saluran lain seperti makanan atau minuman, maupun udara tercemar maka pertambahan racun di dalam tubuh tidak dinafikan meningkat berkali ganda.

Untuk mengurangkan beban bahan racun yang telah terkumpul dalam badan maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun melalui saluran pernafasan atau pemakanan.

Oleh itu, amalan berpuasa selain dari memenuhi tanggungjawap agama, ia juga bertujuan mencegah memasukan bahan racun dan membolehkan badan melakukan proses pembersihan racun yang sedia terkumpul dalam badan.

Proses yang dilalui semasa berpuasa dapat diumpamakan sebagai memberi rehat kepada badan daripada bekerja pada tahap maksimum, dan menyucikannya daripada bahan-bahan racun.

Simpanan tenaga

Dari sudut lain pula, oleh kerana salah satu aktiviti berpuasa ialah menahan dari daripada makan selama hampir 14 jam, ini membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar, hempedu dan hati berehat daripada aktiviti pencernaan makanan.

Tambahan, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu diproseskan akan berubah lebih kepada aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan.

Juga, semasa berpuasa simpanan tenaga dalam bentuk glikogen di dalam badan akan ditukarkan kepada glukosa dan seterusnya diuraikan untuk menghasil tenaga.

Pada masa yang sama bahan racun yang telah terkumpul di dalam badan, proses pengeluarannya dari tubuh dapat dipercepatkan melalui proses metabolisma apabila berpuasa. Dalam hal ini, tubuh akan mengalami pemulihan.

Di samping itu daripada kajian perubatan, berpuasa juga dianggap sebagai suatu bentuk terapi semula jadi yang boleh mengatasi beberapa masalah akibat pemakanan tidak betul disebabkan makan berlebihan yang seringkali timbul di negara maju.

Antara masalah ini termasuklah pengumpulan lemak di saluran darah (atherosclerosis), tekanan darah tinggi atau hipertensi, penyakit jantung, alahan dan diabetes.

Kesemua keadaan ini akan menjadi lebih teruk lagi sekiranya menghisap rokok. Oleh itu ada baiknya bulan Ramadan digunakan untuk berhenti merokok sama sekali.

Sungguhpun begitu, ada terdapat beberapa kelonggaran berpuasa, ini termasuklah dalam keadaan:

  • Ibu mengandung dan ibu yang menyusu anak.
  • Pesakit kanser.
  • Pesakit ulser.
  • Pesakit yang menghadapi pembedahan.

Dalam hal ini, wajarlah pesakit tersebut mendapat perhatian dan pemeriksaan doktor sebelum berpuasa.


s utube s fb