• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Ubat: Risiko terhadap janin

Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim
Utusan Malaysia, 10 Mei 1997

Pada bulan November 1956, suatu ubat yang dinamakan `thalidomide" telah dipasarkan. Ubat `thalidomide' ini telah digunakan untuk sebagai tujuan seperti sedatif, selsema, gangguan tidur, senggugut dan ubat tahan muntah.

Namun begitu ia telah diharamkan penjualan dan penggunaannya pada tahun 1962 selepas didapati boleh dan telah mengakibatkan kecacatan kepada bayi-bayi yang dilahirkan.

Selepas kejadian yang ngeri ini, semua ubat-ubatan yang digunakan semasa hamil telah diberi perhatian dan pengawasan yang ketat dan sewajarnya.

Dalam tempoh tiga bulan pertama semasa hamil (trimester pertama), terutamanya dari hari ke-18 sehingga ke-60, organ-organ janin sedang berkembang.

Di dalam tempoh ini juga janin amat sensitif kepada ubat-ubatan yang boleh mengakibatkan kecacatan kongenital. Ubat-ubatan teratogenik boleh membawa maut dan akan menyebabkan sama ada keguguran atau bayi yang dilahirkan cacat.

Dalam tempoh bulan ke-4 sehingga ke-6 semasa hamil (trimester kedua), ubat-ubatan teratogenik masih boleh mengakibatkan gangguan semasa kelahiran atau sebaik sahaja selepas kelahiran.

Ini boleh menyebabkan kematian akibat kegagalan pernafasan hasil rangsangan ubat-ubatan tersebut.

Selalunya ini merupakan masalah utama yang dialami oleh kanak-kanak yang dilahirkan pramatang (tidak cukup bulan). Di samping itu kanak-kanak ini mempunyai pembentukan organ paru-paru yang tidak sempurna semasa lahir.

Adalah dianggarkan 3% daripada kecacatan kongenital adalah diakibatkan oleh ubat-ubatan. Hingga ini peratusan tersebut telah meningkat kerana banyak lagi ubat-ubatan yang telah dikenal pasti boleh mengakibatkan kecacatan kepada janin atau bayi yang dilahirkan.

Faktor

Banyak faktor yang menyumbang kepada penggunaan ubat semasa hamil. Diantaranya ialah ramai di kalangan kita yang percaya bahawa `ada ubat untuk setiap penyakit' dan ini menyebabkan ibu-ibu yang sedang mengandung akan mengambil ubat bagi setiap masalah kesihatan yang dialami di dalam tempoh tersebut.

Terdapat empat jenis keadaan yang wujud semasa atau sebelum hamil di mana ubat-ubatan sering digunakan:

  • Ketidaksuburan - ubat digunakan untuk merangsang proses ovulasi.
  • Keadaan akut yang dialami semasa mengandung seperti sakit, demam, jangkitan, batuk, selsema atau keadaan kronik seperti asma, sawan dan kencing manis.
  • Keadaan berkaitan dengan kehamilan seperti mabuk pagi (morning sickness), darah tinggi dan anemia.
  • Komplikasi kepada kehamilan dan keguguran seperti kelahiran tidak cukup bulan, toksemia dan kesakitan semasa melahirkan.

Dr. D.F. Hawkins seorang pakar obstretik dan ginekologi dan ahli farmakologi telah mencadangkan empat peraturan yang perlu diikuti oleh seseorang doktor:

  1. Meneliti dan memberi perhatian kepada semua pesakit yang berpenyakit sebelum mereka mula mengandung dan menggalakkan mereka menyertai program kaunseling sebelum bercadang/merancang untuk mengandung.
  2. Memastikan keperluan ubat-ubatan semasa hamil dengan membandingkan ia dengan rawatan alternatif.
  3. menilai semula regimen ubat-ubatan yang diberikan semasa hamil untuk mengurangkan risiko.
  4. Guna ubat-ubatan yang telah terbukti keselamatannya dan digunakan dengan meluas berbanding dengan ubat-ubatan baru.

Kesimpulannya, tiada ubat yang selamat digunakan semasa waktu mula hamil. Ubat harus dipreskripsikan semasa hamil hanya jika kebaikan terhadap ibu adalah lebih tinggi daripada risikonya terhadap janin dan semua ubat-ubatan mesti dielakkan sedaya mungkin semasa trimester pertama.

Di antara ubat-ubatan dan bahan-bahan kimia yang boleh membahayakan janin atau bayi.

  • Ubat sedatif
  • Ubat tahan sakit
  • Ubat sistem kardiovaskular
  • Drug antikoagulan
  • Drug antibakteria
  • Hormon
  • Bahan-bahan radioaktif
  • Drug antitiroid
  • Drug sitotoksik/antikanser
  • Bahan-bahan kimia di dalam rokok
  • Alkohol
  • Vitamin A di dalam dos yang tinggi


s utube s fb