• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Cara guna ubat gigi wajib dilabel

Sumber: Utusan Malaysia
8 Januari 1998

JITRA 8 Jan. - Kementerian Kesihatan mengarahkan 14 pengeluar ubat gigi di negara ini supaya melabelkan cara penggunaan yang betul pada kotak dan tiub ubat gigi sebagai panduan terutama kepada kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

Menterinya, Datuk Chua Jui Meng berkata, pengeluar yang didapati gagal mematuhi arahan tersebut akan didakwa di mahkamah di bawah Akta Kawalan Dadah 1984 dan boleh didenda maksimum RM1,000.

''Akta itu sedang digubal semula bagi membolehkan pesalah dikenakan hukuman yang lebih berat memandangkan jumlah denda yang dikenakan terlalu kecil.

''Arahan tersebut dikeluarkan selepas satu perjumpaan bersama kesemua pengeluar ubat gigi terbabit di Kementerian Kesihatan, baru-baru ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Tabung Pendidikan Chew Kee Lin di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Lam Min di Kerpan, dekat sini malam tadi.

Pada 21 Disember lalu, Pusat Racun Negara menggesa Persatuan Pergigian Malaysia (PPM) melabelkan cara penggunaan ubat gigi yang selamat di atas kotak dan tiub ubat gigi kerana penggunaan fluorida yang berlebihan mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

Pengarahnya, Prof. Dzulkifli Abdul Razak berkata, penyelidikan mendapati kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah cenderung menelan ubat gigi berfluorida ketika memberus gigi.

Kata beliau, fluorida tersebut akan terkumpul di dalam badan mengakibatkan keracunan dalam badan seperti muntah-muntah, bibir bengkak, serangan penyakit buah pinggang dan jantung serta kencing manis.

Chua berkata, pihaknya mengesahkan bahawa kesemua ubat gigi berfluorida yang berada di pasaran adalah selamat digunakan termasuk kepada kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kesan-kesan buruk terhadap kesihatan yang berpunca daripada penggunaan fluorida.

''Hasil kajian menunjukkan kesan-kesan sampingan akibat daripada penggunaan fluorida secara berlebihan adalah sangat kecil dan tidak membimbangkan.

''Bagaimanapun, bagi kanak-kanak di bawah umur tiga tahun dinasihatkan supaya tidak menggunakan ubat gigi berfluorida kerana dikhuatiri mereka akan menelan ubat gigi itu ketika memberus gigi,'' katanya.

Sehubungan itu, Chua menasihatkan ibu bapa supaya menggunakan ubat gigi yang tidak berfluorida kepada anak-anak mereka yang berumur tiga tahun ke bawah dan memberi tunjuk ajar kepada mereka cara memberus gigi yang betul.


 


s utube s fb