• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

PETALING JAYA, 19 Disember 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi pilihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memperkukuhkan pelaksanaan perkhidmatan berhenti merokok mQuit di negara ini. 

Jalinan kerjasama dimeterai kedua-dua pihak melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) yang memasuki fasa kedua memperlihatkan usahasama USM dan KKM dalam perkhidmatan kaunseling berhenti merokok melalui telefon kepada sektor swasta dengan penyediaan sistem atas talian untuk pembimbing mengendalikan sesi khidmat nasihat berhenti merokok secara sistematik dan berkala.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata kerjasama di antara USM dan KKM untuk membantu memperkukuhkan usaha mempertingkatkan perkhidmatan berhenti merokok mQuit atau 'mQuit Services' termasuk latihan kepada pakar, doktor, Pegawai Farmasi dan Paramedik, perkhidmatan promosi dan perkhidmatan kaunseling.

“Saya berharap pada fasa kedua ini semua rakan kongsi yang terlibat akan memastikan latihan bagi tenaga pakar dipertingkatkan selaras dengan rawatan terkini melalui teknologi yang dibangunkan USM," kata beliau ketika hadir mewakili Menteri KKM di majlis penandatanganan MoU di antara kedua-dua pihak dan beberapa buah institusi bagi tujuan yang sama di Swan Convention Centre, Sunway Medical Center.

Tambahnya, perkhidmatan ini juga telah diperluaskan bukan sahaja di fasiliti awam seperti klinik kesihatan dan hospital milik kerajaan malah di fasiliti swasta termasuk rangkaian farmasi komuniti, hospital dan klinik swasta melalui pemberian akreditasi mQuit oleh KKM.

Ketika ditemui, Pengarah Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Mohamed Isa Abdul Majid berkata, kerjasama ini melibatkan PRN dan Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM telah membangunkan sistem pendaftaran dan pemantauan bagi perkhidmatan berhenti merokok yang ditawarkan melalui mQuit di seluruh negara.

"Sistem dan teknologi perintis yang dibangunkan oleh USM ini akan dilaksanakan secara menyeluruh ke peringkat kebangsaan untuk KKM melaksanakan dan memantau kejayaan perkhidmatan mQuit."

Tambahnya persefahaman buat fasa kedua ini turut melibatkan USM memberi khidmat pakar rujuk untuk penyelidikan dan pembangunan strategi kawalan tembakau.

Usaha ini dilihat selaras dengan peranan PRN sebagai Clearinghouse for Tobacco Control (CTob) di peringkat rantau Asia Tenggara.

"Komitmen PRN dalam perkhidmatan mQuit adalah satu bukti sumbangan kepada pelaksanaan polisi Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau untuk meningkatkan keberkesanan kawalan tembakau di Malaysia,” jelas Mohamed Isa.

Pada majlis yang sama turut diadakan pelancaran buku “Translating Evidence Towards Tobacco Control in Malaysia” yang diterbitkan melalui Jawatankuasa Evidence Based FCTC dengan PRN sebagai pengerusi jawatankuasa penyediaan kertas polisi yang berkaitan dengan kawalan tembakau secara menyeluruh kepada KKM yang digunapakai dalam penerbitan buku tersebut.

Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dato' Dr. Chong Chee Keong; Exco Kesihatan, Pembangunan Sukan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Datuk Wira Hj. Ab. Rahaman bin Hj. Ab. Karim serta ketua-ketua agensi yang terlibat.


Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin
Sumber berita: new.usm.my


s utube s fb