• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Pengkhususan Dalam Farmasi: Farmasi Hospital dan Sumbangannya Dalam Kesihatan

Oleh: Prof. Madya Rahmat Awang
         Dewan Kosmik
         Oktober 1997

Hampir setiap pesakit yang berada di hospital akan diberikan ubat, sama ada untuk tujuan menyembuhkan penyakit, atau pengawal keadaan penyakit ataupun untuk melegakan gejala-gejala penyakit. Pergantungan kepada ubat begitu tinggi sekali sehinggakan ia menjadi satu komponen penting dalam sistem kesihatan.

Di hospital, semua aspek ubat-ubatan dari segi penyediaan, pendispensan, pengawalan serta pemonitoran dikendalikan oleh ahli farmasi yang bernaung di bawah perkhidmatan farmasi hospital. Ruangan kali ini bertujuan untuk meningkat peranan yang dimainkan oleh farmasi hospital dan sumbangannya kepada kesihatan.

Ahli farmasi yang berkerja di hospital mempunyai skop aktiviti yang amat luas. Namun begitu, bagi tujuan perbincangan ini, kita bolehlah membahagikannya mengikut jenis aktiviti yang kini dijalankan di hospital-hospital Malaysia terutama sekali di hospital kerajaan.

Aktiviti Pembekalan Ubat

Salah satu daripada aktiviti utama yang dimainkan oleh Farmasi Hospital ialah dari aspek penyediaan, pengagihan serta pengawalan semua ubat-ubatan yang terdapat di hospital. Aktiviti ini akan memastikan bekalan ubat sentiasa cukup untuk keperluan pesakit. Di antara bidang tugasnya ialah:

  • Ahli farmasi akan membeli dan menyelenggarakan penyediaan dan pembekalan ubat-ubatan ke semua bahagian yang terlibat dalam rawatan pesakit. Jenis ubat-ubatan yang diadakan di sesebuah hospital itu lazimnya telah dipersetujui dan diluluskan oleh jawatankuasa ubat.
  • Ahli farmasi menyediakan ubat-ubatan dalam bekas-bekas tertentu mengikut keperluan pesakit. Beliau akan memastikan label arahan dan nasihat yang sesuai dikepilkan dibekas ubat. Aktiviti ini dilakukan kerana lazimnya ubat dibeli pada kuantiti yang besar.
  • Menyaring preskripsi doktor untuk memastikan ubat yang hendak diberikan kepada pesakit tidak mempunyai masalah seperti saling tindak balas ubat dan ketidakserasian ubat. Masalah yang dikesan akan diatasi serta merta.
  • Memeriksa bekas ubat bagi memastikan ubat yang betul diberikan kepada pesakit.
  • Ubat tertentu disimpan di wad supaya dapat digunakan dengan segera apabila diperlukan pada masa-masa kecemasan. Semua ubat yang disimpan hendaklah selalu diperiksa bagi mengelakkannya daripada melewati tarikh luputnya.
  • Menyediakan sediaan ubat dalam bentuk/formula khas untuk pesakit tertentu apabila diperlukan.

Aktiviti perbekalan wad ini meliputi dua bahagian, iaitu wad farmasi di mana ubat dibekalkan kepada pesakit yang dirawat di hospital dan farmasi masyarakat di mana ubat dibekalkan kepada pesakit luar.

  • Wad Farmasi
    Lebih 15 tahun yang lalu, Farmasi Hospital membekalkan semua jenis ubat yang diperlukan ke wad. Melalui cara ini, pelbagai jenis ubat sebenarnya disimpan dengan banyak di wad. Masalah timbul apabila ada wad yang tidak menggunakan ubat ini sepenuhnya sehingga terdapat banyak ubat tersimpan melebihi tarikh luput. Ini mengakibatkan pembaziran dan meningkatkan kos pengendalian ubat.

    Di samping itu, pemberian ubat dilakukan terus oleh jururawat dan penyaringan untuk mengenal pasti kesilapan dan masalah terapi ubat oleh ahli farmasi tidak dapat dilakukan. Bermula pada tahun 1981, satu sistem perbekalan ubat yang dinamakan sistem Unit of Use dan sistem Unit Dose telah dimulakan di hospital kerajaan. Berbanding dengan sistem lama, keperluan ubat seseorang pesakit disediakan secara terus oleh Farmasi Hospital dan perbekalannya dihadkan mengikut keperluan harian (unit dose) atau keperluan untuk beberapa hari (unit of use). Faedah yang diperolehi oleh pesakit dalam hal ini di antaranya termasuklah;

    • semua keperluan ubat pesakit disemak untuk memastikan tidak terdapat kesilapan dalam pemberian ubat atau timbul permasalahan yang boleh dicegah seperti saling tindak balas ubat, alergi dan sebagainya
    • ubat diberikan mengikut masa yang ditetapkan oleh doktor dan dipercayai boleh mengawal penyakit dengan lebih baik dan cepat
    • pembaziran dapat dielakkan kerana ubat tidak disimpan secara berlebihan di wad. Sistem ini juga memberikan peluang kepada pesakit untuk mendapatkan nasihat atau kaunseling tentang ubat-ubatan daripada ahli farmasi kerana mereka kini ditempatkan berhampiran di wad.

Farmasi Masyarakat

Aktiviti farmasi di Farmasi Masyarakat menyamai aktiviti di wad farmasi. Ahli farmasi akan bertanggungjawap untuk menyemak presripsi ubat untuk memastikan ubat yang hendak diberikan kepada pesakit adalah sesuai. Ahli farmasi di bawah unit ini juga lazimnya akan memberikan khidmat kaunseling kepada pesakit-pesakit tertentu.

Bahagian Kaunseling Pesakit, Jabatan Farmasi Masyarakat

Rawatan menggunakan ubat biasanya menjadi lebih mujarab dan selamat sekiranya pesakit mengetahui tentang ubat yang dimakan dan cara menggunakannya dengan baik. Pesakit yang faham tentang rawatan yang diberikan biasanya akan lebih patuh kepada arahan pengambilan ubat. Lazimnya di hospital, tugas kaunseling ini dilakukan oleh ahli farmasi yang bertugas di jabatan farmasi masyarakat walaupun sebenarnya mana-mana ahli farmasi hospital berupaya untuk melakukan aktiviti ini.

Semasa melakukan kaunseling, ahli farmasi akan cuba mendapatkan segala maklumat yang berkaitan dengan pesakit, penyakit yang dialaminya dan rawatan yang dirancang untuk pesakit. Biasanya ciri-ciri maklumat yang disampaikan oleh ahli farmasi terdiri daripada:

  • Nama ubat yang diberikan kepada pesakit (nama dagang dan bahan aktifnya).
  • Tujuan ubat itu diberikan dan kesan yang dijangkakan. Jika kesan ini tidak diperolehi dalam jangkamasa tertentu, langkah-langkah yang perlu diambil oleh pesakit juga diterangkan.
  • Cara menggunakan ubat, sama ada ditelan atau di letakkan bawah lidah, di ambil selepas atau sesudah makan dan sebagainya.
  • Perkara-perkara yang perlu diawasi sebelum atau semasa menggunakan ubat.
  • Kesan sampingan yang kerap dialami dan jenis tindakan yang perlu dilakukan seperti berhenti makan ubat, jumpa doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan maklumat lanjut.
  • Teknik yang boleh dilakukan oleh pesakit sendiri untuk menilai kesan ubat seperti menyukat paras gula pada pesakit kencing manis.
  • Cara-cara menyimpan ubat dengan baik untuk memastikan ubat tahan lama.
  • Tindakan yang perlu diambil sekiranya terlupa makan atau sekiranya ubat sudah habis.

Aktiviti Lain Farmasi Hospital

Selain daripada dua aktiviti yang disebut di atas, terdapat beberapa aktiviti lain yang dapat di perhatikan di beberapa hospital di negara kita. Ini termasuklah:

Unit Maklumat Ubat

Farmasi Hospital melalui unit ini memainkan peranannya dengan menyediakan maklumat yang luas tentang ubat-ubatan kepada profesional perubatan dan pesakit. Ahli farmasi yang bertugas akan memastikan bahawa segala rujukan yang ada di kemaskinikan dari masa ke semasa. Penyebaran maklumat yang meluas diharapkan dapat menggalakkan penggunaan ubat secara rasional. Ini bermaksud sesuatu ubat di berikan kepada pesakit yang betul-betul sesuai dengan keadaan penyakit dan sejarah perubatannya dan pada masa yang sama dipastikan dosis, cara, kekerapan dan jangkamasa pemberian adalah bertepatan dengan jenis penyakit yang dihidapi agar kesan optima dari rawatan yang diberikan dapat dicapai.

Aktiviti penyebaran maklumat ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuklah menggalakkan doktor atau pesakit sendiri menelefon untuk mengemukakan kemusykilan berkaitan dengan ubat, penulisan dalam makalah, menganjurkan rancangan pendidikan berkumpulan bagi pesakit atau pendidikan berterusan kepada ahli profesional perubatan, seminar dan sebagainya.

Selain daripada itu, ahli farmasi dalam unit ini selalu terlibat dalam memberikan pandangan dan penilaian tentang ubat-ubatan yang hendak dibeli oleh hospital melalui Jawatankuasa Ubat.

Jawatankuasa Ubat dan Penyediaan Formulari

Penjagaan pesakit di hospital banyak bergantung kepada sejauh mana ubat-ubatan yang disediakan oleh hospital itu berkesan untuk mengawal penyakit. Terdapat beribu-ribu jenis ubat di pasaran sehingga boleh menimbulkan banyak masalah bagi sesuatu hospital ubat yang betul-betul berkesan dan selamat. Kebiasaanya, pemilihan ubat-ubatan ini dilakukan oleh satu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Ubat atau Jawatankuasa Farmasi dan Terapeutik yang mungkin dibentuk di peringkat hospital untuk hospital universiti atau peringkat nasional untuk hospital-hospital kerajaan.

Dalam membuat pemilihan ubat-ubatan ini, ahli farmasi yang bertugas di hospital memainkan peranan yang amat besar dalam menyediakan fakta-fakta berkenaan ubat- ubatan yang sedang dalam pertimbangan. Keputusan untuk memasukkan ubat-ubat baru kepada formulari hospital (senarai ubat-ubatan yang boleh digunakan di hospital) lazimnya akan hanya dibuat setelah meneliti segala maklumat penting ubat itu seperti maklumat tentang kajian dan kegunaan klinikalnya, kesan sampingan dan kaedah pendosan diketahui terlebih dahulu.

Di sesetengah hospital, unit ini juga melakukan pengawasan dan penilaian untuk menentukan kualiti penggunaan ubat. Ini adalah selaras dengan apa yang dilakukan oleh kebanyakan hospital di negara maju, di mana kualiti penggunaan ubat di tentukan melalui ukuran dari pelaksanaan sistem pengauditan ubat-ubatan. Aktiviti ini dilakukan secara berterusan untuk mengesan ciri-ciri penyalahgunaan ubat, pendosan, penyembuh penyakit serta permasalahan yang terbit daripada kegunaan ubat tertentu seperti kesan buruk ubat. Maklumat yang dikumpul ini akan digunakan untuk memastikan dari masa ke semasa tahap kualiti penggunaan serta sejauhmana perlunya ubat digunakan. Ubat yang bermasalah akan digantikan dengan yang lain jika ini diperlukan. Berkaitan dengan ini, unit ini juga terlibat secara langsung dalam melapurkan kesan buruk ubat yang terjadi pada pesakit.

Pelaporan kesan buruk ubat

Kesan buruk ubat dijangkakan berlaku pada kadar 3% hingga 7% di kalangan pesakit yang mendapat rawatan di dalam hospital di jangka akan mengalami kesan buruk pada kadar 10% hingga 20%. Ahli farmasi di hospital dimestikan melakukan pemantauan dan melaporkan kesan buruk ubat yang berlaku di hospital masing- masing ke Jawatankuasa Kebangsaan Pelaporan Kesan Buruk Ubat yang terletak di bawah Bahagian Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Lumpur. Segala pelapuran akan diteliti dan disemak dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Tujuan dilakukan aktiviti ini adalah untuk menilai sejauhmana sesuatu ubat itu selamat digunakan. Tindakan yang bersesuaian dengan kesan yang dialami akan diambil dan ini termasuklah meningkatkan kesedaran doktor yang mempreskripsikan ubat, memberikan nasihat tentang cara-cara pencegahan atau jika perlu diharamkan penggunaannya.

Perkhidmatan Pemonitoran Terapeutik Ubat

Bagi sesetengah ubat, kesan (sama ada baik atau buruknya) diperhatikan banyak bergantung kepada kepekatan ubat dalam darah. Ini termasuklah ubat-ubatan antiepilepsi yang digunakan untuk penyakit kejang, teofilin untuk penyakit lelah, digoksin untuk penyakit lemah jantung dan antibiotik jenis aminoglikosida untuk jangkitan kuman.

Kepekatan yang tinggi biasanya boleh mengakibatkan pesakit mengalami kesan sampingan ubat manakala kepekatan yang rendah tidak dapat mengawal keadaan penyakit dengan sempurna. Bagi memastikan pesakit mendapat manfaat sepenuhnya daripada ubat-ubatan jenis ini, ahli farmasi yang bertugas di unit ini akan mencadangkan cara-cara saintifik untuk mendapatkan kepekatan yang sesuai dengan disahkan pencapaian ini dengan cara menyukat kandungan ubat dalam darah. Perkhidmatan ini tidak terdapat di semua hospital di Malaysia memandangkan ianya memerlukan peralatan analisis ubat dalam darah yang tertentu, di samping ahli farmasi yang terlatih dalam bidang pengkhususan ini.

Perkhidmatan Nutrisi Parenteral

Nutrisi parenteral merujuk kepada sediaan pemakanan (seperti karbohidrat, protein dan lemak) yang diberikan secara suntikan. Ini biasanya diperlukan oleh pesakit yang langsung tidak boleh makan untuk jangkamasa yang lama atau oleh pesakit yang tidak dapat bekalan tenaga yang cukup melalui pemakanan secara biasa. Di antaranya ialah pesakit yang terpaksa menjalani pembedahan perut atau usus dan pesakit kanser.

Ahli farmasi dalam perkhidmatan ini bertanggungjawap untuk menentukan komponen pemakanan yang diperlukan oleh seseorang pesakit dan menyediakan pemakanan ini melalui kaedah "aseptik" (bebas pencemaran kuman).

Perkhidmatan Farmasi Sitotoksik Untuk Rawatan Kanser

Di sesetengah hospital kerajaan di Malaysia, ahli farmasi memainkan peranan yang penting dalam menyediakan ubat-ubatan sitotoksik, iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk merawat pelbagai kanser.

Perkhidmatan ini diadakan kerana ubat kanser sendiri sangat berbahaya dan dipercayai boleh menyebabkan kanser dan lain-lain kompliksi kepada kakitangan hospital yang menyediakannya. Dalam menyediakan ubat-ubatan ini, ahli farmasi akan memakai pakaian keselamatan tertentu dan proses penyedia ubat-ubatan jenis ini dilakukan dalam bilik yang mempunyai ciri-ciri keselamatan. Perkhidmatan ini hanya didapati di beberapa hospital di kawasan Kuala Lumpur. Ia juga memerlukan peralatan tertentu serta ahli farmasi yang terlatih dalam bidang pengkhususan ini.


s utube s fb