• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Melegakan Batuk, Selsema dan Alahan (Bahagian 1)

Oleh: Razak Hj. Lajis
          Dewan Kosmik
         Disember 1998

Bahagian 1

UMUMNYA, kehidupan dan kesihatan seseorang itu banyak bergantung kepada faktor persekitaran dan pemakan selain daripada kekuatan semulajadi yang terbentuk dalam diri. Individu yang lebih sesuai kepada sesuatu faktor mungkin akan menerima risiko yang lebih berbanding dengan mereka yang kurang sensitif. Terdapat pelbagai gejala yang timbul akibat pendedahan seseorang itu terhadap faktor-faktor tersebut. Gejala-gejala ini merupakan petanda awal kemungkinan individu berkenaan akan diserang sakit yang lebih kronik sekiranya tidak dikawal dengan segera.

Gejala-gejala penyakit ini mungkin ditunjukkan dengan tanda-tanda awal yang mudah seperti batuk, sakit tekak, bersin, hidung berair atau tersumbat berserta dengan selsema, demam, sukar bernafas dan sakit-sakit badan. Terdapat juga gejala-gejala yang memerlukan pemeriksaan yang lebih teliti sebelum sesuatu penyakit itu berjaya dikenalpasti.

Batuk

Batuk merupakan satu mekanisme pantulan semulajadi yang melindungi saluran pernafasan daripada gangguan bahan-bahan asing yang mungkin terdiri daripada asap, debu atau habuk mahupun bahan-bahan kimia. Selain itu, kehadiran kahak atau bendalir asing yang sering dialami oleh seseorang yang menghidapi selsema atau alahan boleh menyebabkan seseorang itu batuk. Fenomena ini merupakan satu tindakan semulajadi tubuh untuk mengeluarkan bahan-bahan asing tersebut daripada terus menghalang sistem pernafasan. Umumnya terdapat tiga jenis batuk yang sering kita hidapi:

  1. Batuk berkahak disertai dengan gangguan pernafasan
  2. Batuk tanpa kahak dengan disertai oleh gangguan pernafasan
  3. Batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan

Batuk dikategorikan sebagai berguna atau produktif apabila ia dapat mengeluarkan bahan-bahan asing seperti kahak dan rembesan mukus yang menghalang sistem pernafasan. Batuk yang tidak produktif pula ialah batuk kering dan tidak berkahak. Keadaan ini akan meningkatkan gangguan terhadap pesakit sekiranya tidak dikawal kerana ia akan menganggu saluran pernafasan. Oleh itu, ubat yang digunakan untuk merawat batuk banyak bergantung kepada jenis batuk dan gejala-gejala yang kelihatan. Beberapa jenis ubat yang digunakan untuk merawat dan melegakan batuk ialah ekspektoran, agen mukolitik dan agen penindas batuk.

Ekspektoran dan Agen Mukolitik

Ekspektoran ialah sejenis agen yang dikatakan berupaya meningkatkan pembentukan kahak dalam saluran pernafasan serta memudahkan pengeluarannya. Untuk mencairkan kahak atau rembesan mukus, sejenis lagi agen yang dipanggil "agen mukolitik" sering digunakan. Penggunaan bahan-bahan ini akan memudahkan pembuangan kahak atau cecair. Tetapi terdapat percanggahan pendapat tentang penggunaan agen ini. Sesetengah pakar berpendapat penggunaan bahan-bahan tersebut tiada rasionalnya bahkan tidak mempunyai nilai perubatan yang khusus. Ramai yang mencadangkan pengambilan air yang cukup dan mengekalkan peredaran udara yang baik adalah mustahak untuk mengeluarkan mukus.

Agen Penindas Batuk

Tapak tindak balas batuk sebenarnya berpusat di otak. Mekanisme tindakan sesuatu ubat yang digunakan untuk merawat batuk mungkin melibatkan satu atau lebih tapak tindak balas batuk tersebut. Agen penindas batuk digunakan untuk melemahkan atau menghalang pusat ini daripada berfungsi dan seterusnya melegakan batuk. Agen ini sering digunakan untuk merawat batuk yang tidak produktif. Penggunaan ubat batuk jenis ini tidak digalakkan dalam keadaan di mana batuk dianggap sebagai satu cara perlindungan yang berkesan kepada penghidapnya.

Dalam keadaan ini, pengubatan adalah tertumpu kepada mengubah kepekatan mukus supaya lebih mudah dikeluarkan. Oleh itu, ekspektoran dan agen mukolitik lebih sesuai untuk menangani keadaan ini.

Agen penindas batuk pula boleh dikategorikan kepada dua iaitu penindas batuk narkotik dan bukan narkotik. Kodein adalah salah satu bahan narkotik yang berkesan sebagai agen penindas. Namun penggunaan yang melebihi dos yang dicadangkan dan untuk jangka masa yang lama akan menyebabkan pengagihan. Pengambilan kodein yang berlebihan juga boleh menyebabkan rasa mual, mengantuk, tenang dan sembelit. Pada berat yang sama kodein mempunyai satu perempat kesan sebagai agen penindas pernafasan berbanding morfin.

Berbanding dengan kodein, dekstrometofan dilaporkan sebagai agen penindas batuk narkotik yang kurang menyebabkan rasa ketagihan. Selain itu, keupayaan sebagai agen penindas batuk dikatakan lebih bauk berbanding kodein. Pada dos yang dicadangkan, kesan sampingan yang disebabkan oleh dekstrometofan adalah ringan dan jarang berlaku. Aduan yang selalu diterima tentang kesan sampingan dekstrometofan ialah rasa mengantuk dan sakit perut. Ia merupakan ubat batuk yang selamat dan berkesan pada dos yang dicadangkan kecuali kepada mereka yang alah kepada agen tersebut.

Bagi kategori ubat penindas batuk yang bukan narkotik pula, difenhidramin merupakan antara ubat yang selamat dan berkesan sebagai ubat yang melegakan batuk. Difenhidramin ialah sejenis antihistamin. Sebagai ubat batuk ia bertindak melalui tindakan mekanisme pusat yang melibatkan pusat batuk di medula. Seperti ubat-ubat antihistamin yang lain, kesan sampingannya lebih tertumpu kepada rasa mengantuk dan kesan-kesan antikolinergik seperti mulut kering, rasa sukar untuk menelan dan bercakap, dahaga, pembesaran anak mata dan sebagainya. Disebabkan kesan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk, ia harus digunakan dengan berhati-hati apabila diberikan kepada mereka yang mengambil ubat-ubatan lain seperti ubat penenang dan ubat tidur.

Jenis-jenis Ubat Batuk

Walaupun penggunaan ubat jenis penindas batuk tidak begitu digalakkan secara meluas, ubat batuk jenis ini dicadangkan dalam kes-kes yang tertentu dan terhad sahaja terutama dalam kes-kes di mana penghidapnya menghidapi masalah tidak dapat tidur dan sakit radang paru-paru yang kronik.

Demulsen adalah sejenis lagi ubat batuk yang digunakan untuk melegakan batuk. Pengambilannya dapat mengurangkan pengeluaran air liur dan meredakan kerengsaan tekak. Gula-gula batuk atau lozenges bertindak dengan cara yang sedemikian. Dalam beberapa kes-kes tertentu, pengambilan demulsen dapat melegakan batuk yang tidak produktif.

Selain mengandungi sebatian aktif yang khusus untuk merawat batuk, rumusan- rumusan ubat batuk ini juga mengandungi bahan pewarna, bahan pengawet dan bahan perasa. Tetapi tiada satu jenis ubat batuk yang dirumuskan boleh mengubati semua jenis batuk. Namun ada juga rumusan yang mengandungi lebih daripada satu bahan aktif yang kadang-kala berlawanan dari segi tindakannya. Sebagai contoh, sejenis ubat batuk mungkin mengandungi kedua-dua ekspektoran (untuk batuk yang produktif) dan penindas batuk (untuk batuk yang tidak produktif). Produk yang sedemikian akan menyebabkan pesakit menerima ubat yang tidak tepat.

Bagaimanapun, sekiranya batuk berlarutan sehingga lebih dari tiga hari, pesakit dinasihatkan berjumpa dengan pakar perubatan untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Ini menhadi lebih kiritkal lagi sekiranya batuk tersebut diiringi oleh gejala-gejala seperti sakit dada, kahak berwarna hijau, batuk berdarah atau mengalami kesukaran untuk bernafas.

Selsema

Selsema atau dikenali juga sebagai demam selsema merupakan campuran beberapa jenis gejala yang mengganggu saluran pernafasan. Gejala-gejala ini lebih bersifat akut dan terhad yang sering ditunjukkan oleh gejala-gejala seperti hidung berhingus dan berair serta bersin. Cecair yang jernih keluar dari rongga hidung yang dijangkiti merupakan tanda utama selsema. Cairan yang mulanya cair akan bertukar menjadi lebih pekat, bermukus dan bernanah. Umum beranggapan keadaan keadaan ini disebabkan oleh jangkitan bakteria. Bagaimanapun, virus boleh menyebabkan reaksi inflamatori tersendiri yang menghasilkan mukus. Kerosakan sel yang berlaku boleh menjadi bertambah teruk bergantung kepada jenis virus yang dihidap. Terdapat lebih kurang 200 jenis virus yang boleh menyebabkan selsema.

Gejala selsema yang disebabkan oleh jangkitan virus selalunya berlaku dengan cepat. Selain daripada struktur nasal atau hidung yang terganggu, tempat-tempat lain di sepanjang sistem pernafasan mungkin turut dipengaruhi. Penghidap akan mengalami gejala-gejala tersebut dengan cepat dan berterusan untuk beberapa hari iaitu antara satu hingga empat hari. Bagi individu yang tidak menghadapi sebarang komplikasi, jangka masa jangkitan akan mengambil masa lima hingga tujuh hari untuk reda. Gangguan setempat batuk, sakit tekak, sakit telinga, sakit kepala, demam dan sakit otot merupakan komplikasi yang mungkin timbul. Kombinasi gangguan di hidung, pengeluaran hingus dan hidung tersumbat akan menyebabkan bersin. 

 


s utube s fb