• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Melegakan Batuk, Selsema dan Alahan (Bahagian 2)

Oleh: Razak Hj. Lajis
          Dewan Kosmik
         Januari 1999

 Bahagian 11

Rawatan dan Pencegahan

Sekiranya tidak terdapat komplikasi penyakit lain yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, demam selsema yang biasa tidak memerlukan rawatan perubatan yang khusus. Ubat-ubatan yang digunakan hanya berupaya untuk memberi kelegaan sementara ketika sistem pertahanan tubuh cuba melawan dan menghapuskan serangan virus tersebut dan membaiki kerosakan yang telah berlaku. Penghidap selsema memerlukan rehat dan cuba elakkan daripada terdedah kepada cuaca sejuk yang berlebihan. Pengambilan air yang cukup adalah penting untuk menghalang berlakunya dehidrasi.

Peredaran udara yang baik juga akan turut membantu meningkatkan keselesaan pesakit. Namun rawatan pakar perubatan diperlukan sekiranya komplikasi lain timbul hingga menyebabkan jangkitan dada yang kronik atau gangguan telinga.

Selsema boleh merebak secara terus dari individu ke individu lain tanpa sebarang perantaraan seperti makanan, air atau binatang. Lazimnya virus disebarkan melalui titis-titis air yang dikeluarkan melalui sistem pernafasan dan bersin. Oleh itu, cara utama dalam mengurangkan penyebaran jangkitan ialah dengan memisahkan pesakit. Biasanya, sebelum penyakit itu berjaya dikesan, virus selsema tersebut telah tersebar kepada orang lain.

Alahan (Alergi)

Alahan ialah satu fenomena di mana seseorang menjadi alah (alergi) kepada pelbagai agen persekitaran. Debu, habuk atau biji-biji debunga, tumbuh-tumbuhan selalu dikaitkan dengan kejadian alahan ini. Beberapa agen lain yang boleh menyebabkan alahan termasuk pelbagai jenis bijirin, bulu binatang serta beberapa bahan pelarut kimia. Asap rokok, habuk kapur tulis, debu tanah dan udara yang tercemar merupakan beberapa agen yang boleh menyebabkan seseorang mengalami alahan. Kita juga sering mendengar terdapat orang yang alah kepada beberapa jenis makanan dan ubat-ubatan.

Ada pula individu yang menjadi alah kepada suhu yang terlalu sejuk. Andai mereka terdedah kepada keadaan yang sedemikian, gejala-gejala alahan akan timbul. Tetapi tidak semua orang akan menjadi alah kepada agen-agen ini. Ia bergantung kepada individu itu sendiri. Terdapat individu yang mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap agen-agen tersebut. Bagi mereka yang hipersensitif (keadaan di mana daya ketahanan yang terlalu kurang) pendedahan kepada agen-agen ini boleh menimbulkan masalah lain seperti lelah atau asma. Ini kerana alahan dan asma boleh disebabkan oleh agen yang sama.

Lebih satu pertiga daripada pesakit yang mengalami alahan mempunyai kemungkinan yang besar untuk mengalami asma. Ada juga yang mewarisi ciri-ciri alahan ini daripada keluarga. Gejala atau tanda seseorang itu mengalami alahan akan timbul setelah beberapa minit membran mukus hidung terdedah kepada sesuatu agen. Keadaan ini akan memulakan satu tindakan antigen-antibodi dan keradangan. Antara gejala- gejala yang kelihatan ialah hidung tersumbat dan berair, gatal-gatal hidung dan bersin yang berulang. Dalam keadaan alahan biasa, rembesan hidung yang pekat dan bernanah tidak mungkin berlaku kecuali terjadi jangkitan. Seseorang mungkin akan kehilangan deria bau dan rasa apabila hidung tersumbat berterusan.

Rawatan dan Pencegahan

Dalam kebanyakan kes alahan, langkah awal rawatan ialah dengan menjauhkan pesakit terhadap pendedahan berterusan kepada agen terbabit untuk menghalang tindak balas immunologi tubuh terhadap agen-agen tersebut. Bagaimanapun, keadaan menjadi sukar sekiranya seseorang itu menjadi alah kepada lebih daripada satu agen kerana sebagaimana yang diketahui terdapat banyak agen yang terkandung di dalam persekitaran termasuk dalam makanan.

Rawan perubatan yang digunakan dalam menangani masalah alahan ini lebih tertumpu kepada mengurangkan atau menghalang kesan-kesan tindak balas immunologi yang telah berlaku. Dalam kes yang serius, tahap keupayaan pendedahan seseorang dapat dipertingkatkan dengan mendedahkan pesakit kepada agen-agen secara terapeutik.

Namun rawatan secara terapi-immuno ini bukanlah menjadi kemestian bagi setiap individu yang mengalami alahan. Sekiranya seseorang itu mengalami gejala alahan yang ringan dan boleh dikawal dengan menggunakan ubat-ubat tertentu, rawatan secara terapi-immuno ini tidak dicadangkan. Sebaliknya mereka yang mengalami gejala alahan yang teruk dan sukar dikawal, rawatan sebegini mungkin boleh dipertimbangkan.

Antihistamin

Selain daripada rawatan terapi-immuno, antihistamin adalah antara ubat berkesan untuk merawat dan melegakan gejala-gejala alahan ini. Ia merupakan agen-agen kimia yang bertindak dalam badan dengan menghalang tindakan histamin ke atas tapak-tapak reseptor. Dengan itu kesan yang mungkin disebabkan oleh tindakan histamin akan dapat dikurangkan.

Beberapa contoh ubat antihistamin ialah difenhidramin, klorofeniramin, bromfeniramin, prometazin dan doksilamin. Ubat-ubatan ini sering dicadangkan untuk digunakan dalam kes-kes alahan, selsema, batuk dan asma. Walaupun antihistamin tidak dapat menghalang selsema secara khusus, ia banyak digunakan dalam persediaan ubat selsema kerana keupayaannya mengurangkan aliran mukus.

Ini akan dapat melegakan hidung berair. Beberapa kesan sampingan seperti tekanan terhadap sistem saraf pusat dan mengantuk, mungkin mendatangkan masalah apa lagi sekiranya ubat-ubat ini diambil melebihi dos yang dicadangkan. Bagaimanapun terdapat beberapa sediaan antihistamin yang mempunyai kurang kesan mengantuk. Ubat-ubat antihistamin juga boleh menyebabkan mulut terasa kering, gangguan penglihatan dan sembelit jika diambil pada dos yang tinggi.

Amnya, antihistamin mempunyai terapeutik indeks yang tinggi dan kesan sampingan jarang berlaku pada orang dewasa. Sebahagian pakar perubatan mendapati berlaku toleransi terhadap penggunaan antihistamin. Namun pesakit boleh bertukar kepada ubat antihistamin yang lain. Pada dos yang dicadangkan, ubat-ubat yang mengandungi antihistamin adalah selamat untuk kanak-kanak. Kesan toksik ubat antihistamin pada kanak-kanak yang disebabkan oleh dos yang berlebihan adalah rasa gembira, pergerakan yang tidak teratur, kejang otot, sawan dengan pembesaran anak mata dan merah kulit.

Pada masa yang sama kesan pengambilan alkohol dan ubat-ubata penindas sistem saraf pusat yang lain akan ditingkatkan oleh histamin. Oleh itu, sekiranya pengambilan ubat-ubat ini perlu diberikan secara serentak, perhatian harus diberikan terhadap kesan mengantuk yang berlebihan. Perkara ini adalah penting bagi mereka yang perlu memberi daya tumpuan yang tinggi dalam kerja seharian.

Terdapat juga ubat yang mengandungi antihistamin dan dekongestan. Penggunaan dekongestan dikatakan dapat melegakan halangan yang berlaku di kawasan nasal atau hidung. Pemberian agen ini boleh dilakukan secara oral ataupun lokal. Beberapa ubat yang bertindak sebagai agen dekongestan ialah efedrin, fenilefrin dan fenilpropanolamin. Ubat-ubat seperti natrium kromolin dan kortikosteroid sering juga digunakan untuk merawat kejadian alahan. Tetapi, penggunaannya perlu mendapat pengawasan dan nasihat yang sewajarnya dari pakar-pakar perubatan.

Terdapat banyak produk di pasaran yang digunakan untuk merawat gejala yang timbul yang disebabkan oleh batuk, selsema dan alahan. Secara tidak langsung ini akan menggalakkan masyarakat mengamalkan kaedah swapengubatan untuk merawat penyakit yang mereka alami. Walawpun terdapat beberapa jenis ubat yang boleh dikendalikan oleh pengguna sendiri, pengguna dinasihatkan agar mendapat maklumat yang betul sebelum menggunakan sesuatu ubat.


s utube s fb