• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Panduan Penggunaan Bahan Kosmetik

Oleh: Prof. Madya Mohamed Isa Abd. Majid
          Dewan Kosmik
          Disember 2000

Dari segi definisi umum, kosmetik merupakan sediaan yang digunakan pada bahagian luar badan untuk tujuan kecantikan atau pembersihan supaya rupa bentuk berubah menjadi lebih menawan atau menarik. Kebiasaannya sediaan ini digunakan atau dilekatkan pada bahagian kulit yang merupakan bahagian badan yang mempunyai banyak cabaran daripada pengaruh alam sekitar di samping sediaan kosmetik. Atas pertimbangan ini, keserasian di antara bahan yang diletakkan pada kulit amat penting dengan sifat semulajadi kulit. Sekiranya bahan yang digunakan menyebabkan hakisan atau rengsa, maka kosmetik yang digunakan berpotensi untuk merosakkan rupa paras. Penggunaan yang serasi banyak bergantung kepada pemahaman penggunaan kosmetik serta pengetahuan lanjut tentang bahan-bahan yang terdapat di dalam sediaan kosmetik.

Senarai bahan-bahan yang terdapat di dalam artikel ini merupakan senarai pilihan sahaja dan bukan merupakan senarai kesemua bahan-bahan yang digunakan di dalam sediaan kosmetik pada masa kini. Adalah dianggarkan terdapat kira-kira 5000 hingga 10,000 bahan kimia yang boleh digunakan dalam sediaan kosmetik.

Kepentingan untuk mengetahui bahan-bahan yang digunakan di dalam sediaan kosmetik dapat dilihat daripada dua sudut utama iaitu kesihatan dan penggunaannya. Bahan-bahan yang digunakan berupaya untuk menyebabkan kecederaan pada tapak pemakaian seperti dikulit. Sebagai contoh, bahan seperti krim kecantikan yang mengandungi bahan aktif hidrokuinon yang sememangnya amat berkesan bagi menghilangkan tompok-tompok hitam pada muka. Namun kesan sampingan yang berbeza-beza telah diperhatikan dikalangan pengguna. Dalam satu kajian yang telah dijalankan di Amerika Syarikat, krim yang mengandungi dua hingga lima peratus hidrokuinon telah diuji ke atas 56 subjek yang mempunyai masalah tompokan hitam pada kulit. Hasil kajian mendapati ia berkesan menghilangkan tompokan hitam pada 44 orang daripada 56 subjek kajian. Manakala krim yang mengandungi lima peratus hidrokuinon pula telah dilaporkan memberi kesan sampingan yang lain (rengsa pada kulit).

Pada kepekatan yang rendah, kesan sampingan hidrokuinon adalah sedikit sahaja. Manakala, kesan seperti kulit terbakar boleh berlaku jika digunakan pada kepekatan yang tinggi. Sekiranya digunakan untuk tempoh masa yang panjang dan digabungkan pula dengan pendedahan kulit yang dirawat kepada cahaya matahari, kesan sampingan yang diperhatikan adalah tompokan dan bonjolan kekuningan pada kulit atau dikenali sebagai okrosis akan terhasil. Kerosakan ini mungkin akan berkekalan pada kulit kerana tiada sebarang rawatan yang boleh dilakukan bagi memulihkan kesan samping ini.

Hidrokuinon bukan sahaja berbahaya sekiranya digunakan pada kulit malahan jika termakan ia boleh menyebabkan keracunan yang serius. Jika termakan dalam jumlah sebanyak lima hingga 15 gram, gelugut dan anemia hemolitik (kerosakan sel darah merah) akan berlaku. Selain itu, bahan kosmetik juga boleh mengandungi pelarut seperti alkohol. Walaupun kegunaan alkohol tidak dapat dielakkan di dalam sesetengah sediaan kosmetik, pengguna Islam terpaksa memastikan bahawa sediaan kosmetik yang mengandungi alkohol tidak digunakan semasa bersembahyang. Di samping itu, lelemak seperti lilin, minyak dan lemak juga digunakan sebagai bahan minyak di dalam sediaan kosmetik.

  Fungsi dan Kegunaan  

Sumber lelemak boleh juga diperoleh daripada dua sumber iaitu sumber haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang menentukan sama ada sediaan kosmetik boleh digunakan oleh pengguna Islam ataupun tidak. Pernah ditimbulkan daripada satu rampasan kosmetik pada tahun 1999 di Kuala Lumpur, minyak yang digunakan di dalam sediaan kosmetik diambil daripada lemak babi seperti yang tertera di atas label sebagai asas salap babi (lard ointment base).

Memandangkan pentingnya untuk mengetahui bahan-bahan yang digunakan, maka pemahaman tentang kegunaan bahan-bahan tersebut di dalam sediaan kosmetik yang perlu difahami. Secara umumnya, bahan-bahan yang digunakan dapat digolongkan kepada tujuh kelas utama berdasarkan kepada tindakan bahan-bahan tersebut, iaitu:

   Pengawet  

Bertujuan untuk memberi perlindungan kepada sediaan kosmetik daripada pencemaran kuman semasa kosmetik digunakan dan juga mengurangkan kerosakan sediaan yang disebabkan oleh pertumbuhan kuman. Bahan-bahan yang tergolong sebagai pengawet termasuklah paraben, sebatian ammonium kuartenar, alkohol seperti etanol dan isopropanol serta terbitan fenol seperti p-kloro-m-kresol. Selain dariada pencegah pertumbuhan kuman, pengawet juga digunakan untuk mencegah minyak di dalam sediaan kosmetik daripada menjadi tengik. Bahan seprti ini termasuklah asid benzoik, BHA dan tokoferol atau vitamin E.

   Pengimbang pH  

Merupakan bahan yang akan mengekalkan pH sediaan kosmetik supaya sediaan tersebut serasi dengan kulit. Jika bahan tersebut tidak digunakan, perubahan mendadak dari segi nilai pH iaitu sama ada berasid atau berbes akan menyebabkan kerengsaan kulit terjadi semasa pemakaian sediaan kosmetik tersebut. Di antara bahan yang digunakan untuk mengimbangi pH sediaan ialah asid sitrik yang merupakan suatu asid atau ammonium karbonat yang merupakan suatu bes. Di samping penambahan suatu bes atau asid, pengimbang pH boleh juga merupakan campuran garam seperti ammonium bikarbonat atau kalsium karbonat dengan asid tartarik.

   Pengawal kelembapan  

Digunakan untuk mencegah kehilangan air daripada sediaan kosmetik apabila bekas sediaan kosmetik dibuka berulangkali. Bahan-bahan yang digunakan seperti gliserin dan propilena glikol di dalam losyen dan krim pelembab memudahkan penggunaan sediaan agar mudah disapu dan diratakan ke kulit.

   Pembantu prosesan  

Merupakan bahan-bahan yang digunakan untuk memproses campuran bahan-bahan kosmetik agar menjadi suatu produk akhir yang menarik. Sebagai contoh kebanyakan sediaan kosmetik terdiri daripada campuran minyak di dalam air. Jika ada pembantu proses digunakan didalam campuran minyak dengan air, maka pemisahan kedua-dua lapisan berlaku untuk menghasilkan suatu produk yang tidak menarik. Dalam hal ini, agen pengemulsi seperti natrium natrium lauril sulfat atau gel alumina digunakan untuk mendapatkan minyak yang sebati dengan air, Bahan pembantu prosesan yang lain termasuklah seperti dodesilbenzen asid sulfonik di dalam syampu untuk menjadi syampu lebih berbuih.

Pewarna  

Digunakan untuk menghasilkan warna sediaan yang menarik perhatian pengguna. Perwarna yang digunakan boleh merupakan pewarna kimia seperti FD & C Merah atau pewarna asli seperti karotena, alkanet dan safron.

   Perasa  

Digunakan untuk menutup rasa bahan-bahan kosmetik yang tidak enak apabila digunakan. Contoh bahan perasa yang digunakan adalah seperi amil asetat dan etil asetat.

   Pewangi  

Banyak digunakan di dalam sediaan minyak wangi. Dalam kebanyakan sediaan minyak wangi, nama pewangi tidak dinyatakan bertujuan untuk melindungi pelaburan pembangunan sediaan wangi yang dibuat oleh pengilang.

Sekiranya pengguna masih mempunyai keraguan untuk mengenalpasti kandungan sediaan kosmetik, rujuklah kemusykilan anda kepada doktor perubatan atau ahli profesional kesihatan yang lain. Pusat Racun Negara di Universiti Sains Malaysia juga menawarkan perkhidmatan penerangan bahan-bahan kosmetik yang diberi secara percuma melalui talian telefon. Kepada anda yang ingin mendapatkan maklumat sepenuhnya tentang bahan-bahan yang terdapat dalam sediaan kosemtik boleh menghubungi talian 04-6570099.

 

 


s utube s fb