• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Surfaktan - Menghilangkan Kotoran Pada Rambut

Oleh: Prof. Madya Mohamed Isa Abd. Majid
          Dewan Kosmik
          Februari 2001

Masalah kelemumur adalah disebabkan oleh sel-sel kulit kepala yang menggelupas keluar sebelum digantikan dengan sel-sel baru. Kebiasaanya kulit kepala yang berminyak cenderung untuk menggelupas atau menghasilkan kelemumur berbanding dengan kulit yang biasa. Di samping itu, kelemumur yang disebabkan oleh pertumbuhan kulat yang dikenali sebagai Pityrosoprum ovale. Sel-sel yang terkeluar akan bergumpul sesama sendiri untuk membentuk kelemumur. Masalah kelemumur  boleh berlaku kepada semua orang dan rawatannya boleh dilakukan sendiri dengan menggunakan syampu anti kelemumur mengandungi bahan aktif yang dapat bertindak ke atas kulat tersebut.

   Pilihan syampu untuk mengatasi kelemumur  

Syampu merupakan  pencuci kepada rambut yang bertujuan untuk menghilangkan segala kotoran yang terlekat. Agen utama yang terdapat pada syampu ialah surfaktan merupakan bahan pencuci yang akan mencuci rambut dan kulit kepala. Syampu yang terdapat di pasaran telah dibangunkan untuk mencuci jenis rambut yang berbeza seperti rambut kering, biasa, berminyak atau kerinting. Pada peringkat awal pembangunan syampu, sabun telah digunakan sebagai pencuci dan satu masalah yang sering timbul dalam penggunaan sabun sebagai syampu ialah keladak akan termendak ke atas rambut dan terlalu sukar dicuci selain tidak menghasilkan buih yang banyak di dalam kehadiran air keras (air yang mengandungi banyak logam seperti ion kalsium).

Kebiasaannya syampu akan digabungkan dengan perapi yang akan digunakan untuk memudahkan rambut disikat semasa basah serta boleh menambah ciri rambut mengurai apabila rambut telah kering.

   Apakah yang terdapat dalam syampu?  

Suatu sediaan syampu akan mengandungi pelbagai bahan yang digabungkan untuk mendapatkan kesan pencucian ke atas rambut. Kandungan bahan ini biasanya boleh diteliti daripada maklumat bahan yang digunakan seperti yang tertera pada botol syampu. Di antara bahan yang digunakan adalah:

  1. Surfaktan

Surfaktan merupakan bahan pencuci rambut. Penerangan lanjut tentang surfaktan diterangkan di bahagian fakta surfaktan.

  1. Perapi

Perapi digunakan untuk membolehkan rambut disikat selepas menggunakan syampu. Melalui penggunaan perapi, rambut tidak akan mudah kusut serta akan kelihatan mengurai selepas rambut dikeringkan. Selain itu, kebanyakan bahan perapi mempunyai cas elektrik positif yang berlawanan dengan cas negatif yang terdapat pada rambut. Apabila perapi disapukan pada rambut, cas elektrik pada rambut akan diimbangi dan dengan demikian, rambut yang tidak bercas menyusahkan proses penyikatan selepas bersyampu akan mudah diurus. Perapi yang juga digunakan turut berupaya untuk melindungi rambut dengan menutup lapisan luar rambut iaitu kutikel dan menyebabkan rambut menjadi lebih lembut dan mudah didandan.

  1. Adatif tambahan

Bahan ini terdiri daripada bahan yang akan meningkatkan kelikatan sediaan dan memudahkan penggunaan syampu tersebut. Penambahan bahan ini akan menyebabkan sediaan mengalir dengan baik apabila dikeluarkan daripada bekas. Selain itu, terdapat juga bahan lain yang digunakan sebagai pengawal pH sediaan. Syampu biasanya disediakan pada julat pH 3.5 hingga 4.5 bahan tambahan yang digunakan lagi adalah pewangi dan pewarna bagi tujuan menarik perhatian pengguna untuk sentiasa menggunakan peroduk tersebut.

  1. Pengawet

Tanpa sebarang pengawet, syampu boleh menampung kehidupan kuman yang akan menyebabkan syampu rosak dan membahayakan kesihatan pengguna. Bagi mendapatkan penggunaan syampu berulangkali oleh pengguna, pengawet seperti natrium benzoat, parabens, DMDM hidantoin dan tetranatrium EDTA digunakan bagi menghapuskan pertumbuhan kuman di dalam syampu.

  1. Bahan aktif tambahan

Terdapat juga syampu yang mengandungi bahan yang digunakan untuk merawat kelemumur. Bahan-bahan ini termasuklah zink pirition yang merawat kelemumur, pantenol yang digunakan untuk merangsang pertumbuhan rambut dan meningkatkan kelembapan rambut.

   Fakta mengenai surfaktan   

Daripada segi struktur molekul, surfaktan terdiri daripada dua bahagian molekul yang satu bahagiannya merupakan molekul bercas (biasanya bercas negatif) dan boleh terlarut di dalam air. Bahagian bercas ini tidak boleh terlarut di dalam minyak. Manakala bahagian kedua pula merupakan yang terlarut di dalam minyak dan tidak larut di dalam air.

Jika terdapat kotoran berminyak, surfaktan akan mengelilingi kotoran tersebut dengan bahagian terlarut minyak terbenam ke dalam kotoran. Bahagian bercas akan terdapat di permukaan kotoran untuk menghasilkan kotoran bercas negatif. Oleh kerana rambut juga bercas negatif, maka kotoran akan tertanggal daripada rambut melalui penolakan cas yang sama.

Pemahaman tentang surfaktan ini amat penting dalam memilih produk syampu yang bersesuaian dengan rambut pengguna. Pelbagai produk syampu akan menggunakan surfaktan yang berlainan serta juga beberapa surfaktan untuk satu produk sahaja. Kesemua surfaktan yang digunakan akan mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Mengeluarkan kotoran dengan membolehkan percampuran bahan minyak dengan air.

  • Menghasilkan buih agar kotoran boleh ditanggalkan daripada rambut.

  • Menstabilkan campuran syampu

  • Melikatkan sediaan syampu supaya pengguna mudah menuangkan daripada botol dan menggunakannya.

Terdapat juga syampu yang mengandungi surfaktan lembut yang membolehkan syampu digunakan dengan lebih kerap. Surfaktan seperti ammonium lauril sulfat sesuai digunakan oleh pengguna-pengguna yang mempunyai kulit kepala yang sensitif atau memerlukan pencucian yang kerap serta menghadapi masalah rambut yang telah rosak akibat syampu tidak sesuai.

   Syampu penghapus kutu   

Kutu pula merupakan masalah ketara pada rambut apabila kesihatan diri tidak dipentingkan. Kutu atau nama saintifiknya, Pediculus humanes dapat berpindah daripada seorang individu kepada individu yang lain apabila peralatan rambut seperti sikat dikongsi bersama. Kutu akan menyebabkan kegatalan pada kulit kepala kerana haiwan ini akan menggigit kulit kepala dan menghisap darah. Kutu boleh bertambah melalui telur yang dilekatkan pada helaian rambut dan rawatan antikutu biasanya diulangi untuk membunuh kutu baru daripada menetas melalui telur-telurnya. Satu cara untuk menghapuskan kutu daripada rambut ialah dengan menggunakan sikat kutu yang berbilah rapat. Melalui sikat ini, telur dan kutu dapat dikeluarkan daripada rambut dan dihapuskan. Jika kaedah ini berjaya menghapuskan kutu, penggunaan syampu yang mengandungi racun serangga boleh digunakan. Pemahaman jelas kepada cara penggunaan yang disyorkan amat penting kerana bahan kandungan di dalam syampu merupakan bahan beracun. Di antara kandungan pembunuh kutu yang dimasukkan ke dalam syampu adalah seperti berikut:

  1. Piretarum

Bahan racun serangga semula jadi ini diperoleh daripada bunga pokok kekwa. Bahan aktif ini boleh dianggap selamat tetapi penggunaannya di kalangan pesakit asma atau alah perlu diberi perhatian kerana bahan ini menyebabkan serangga lelah atau alahan.

  1. Malation

 Bahan racun serangga merupakan bahan kimia yang tergolong dalam golongan racun organofosfat. Semasa penggunaan bahan ini, perhatian perlu diberikan agar bahan tersebut tidak masuk ke dalam badan melalui kulit untuk menyebabkan keracunan. Di antara tanda-tanda keracunan yang mungkin berlaku adalah kabur penglihatan, muntah berpeluh, tubuh terketar-ketar, air liur meleleh dan sakit perut.

  1. Karbaril

Bahan racun serengga ini merupakan bahan kimia yang tergolong di dalam kumpulan karbamat. Daripada segi keracunan, kesan yang sama seperti maltion diperhatikan tetapi pesakit biasanya pulih daripada keracunan dengan sendirinya.

  1. Lindane

Bahan racun ini juga dikenali sebagai gamma benzena heksaklorida atau BHC merupakan bahan kimia organoklorin. Jika digunakan berulangkali dan sekiranya racun ini dapat memasuki tubuh, kesan keracunan jangka panjang akan terjadi. Ini boleh dilihat dengan sawan, pening kepala dan muntah-muntah.


s utube s fb