• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Keracunan Kanak-kanak Di rumah: Racun Makhluk Perosak

Oleh: Wan Zainal Azman Wan Abdullah
          Dewan Kosmik
          November 2001

Tanpa disedari kita dapati pelbagai jenis racun makhluk perosak tersimpan di rumah. Racun makhluk perosak bukan sahaja digunakan di rumah, tetapi juga di kebun dan ladang untuk melindungi tanaman. Oleh itu kaedah penggunaan, penyimpanan dan kawalannya harus dititikberatkan terutamanya kepada kanak-kanak.

Kanak-kanak merupakan mangsa utama yang terdedah kepada bahaya keracunan kerana tingkah-laku atau tabiat kanak-kanak kecil yang suka memasukkan apa-apa sahaja yang ditemui ke dalam mulut. Oleh itu langkah-langkah keselamatan harus diberi perhatian semasa menggunakan racun makluk perosak. Segala arahan penggunaan yang tercatat pada bekas atau kotak racun tersebut perlu dipatuhi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Racun makhluk perosak boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu racun serangga, racun kulat, racun tikus, racun rumpai, racun biologi bagi mengawal serangga, racun fumigasi, dan racun nemaroda. Racun makhluk perosak yang tersimpan di rumah adalah seperti racun serangga (insektisid) dan racun tikus (redontisid).

Kebanyakan racun makhluk perosak tidak sahaja toksik terhadap organisma sasaran tetapi juga terhadap manusia dan haiwan peliharaan di rumah. Faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah cara racun tersebut memasuki tubuh manusia. Racun makhluk perosak dapat memasuki badan manusia menerusi mulut, kulit dan saluran pernafasan. Gejala keracunan yang berlaku akibat pendedahan sekali terhadap racun disebut keracunan akut. Keracunan kronik pula kerana pendedahan berulang kali atau penyerapan racun pada kadar yang sedikit dalam jangka masa yang panjang.

Racun serangga

Racun serangga yang digunakan di rumah terdapat dalam bentuk sediaan semburan (aerosol), lingkaran dan kepingan (mat). Kebanyakan racun serangga jenis ini terdiri daripada racun serangga piretroid. Racun piretroid mempunyai tahap ketoksikan yang rendah terhadap manusia. Biasanya racun ini akan dinyahkan daripada tubuh melalui proses penguraian dan perkumuhan. Oleh itu racun serangga jenis ini tidak begitu berbahaya kepada manusia dan jarang mengakibatkan gejala keracunan yang teruk.

Terhidu asap dari lingkaran atau bauan kepingan ubat nyamuk tidak begitu berbahaya kepada kesihatan. Racun yang terdapat dalam asap ataupun bauan tersebut mudah diserap ke saluran usus. Dan kemudian akan dinyahkan dari tubuh kita melalui proses penguraian dan perkumuhan. Walau bagaimana pun asap dan bauan ini mungkin menjadi alahan kepada kanak-kanak yang menghidap asma dan sensitif (alahan) terhadap asap dan mengakibatkan bersin, batuk, nafas menjadi pendek, dan sakit di bahagian dada.

Walaupun racun serangga piretroid tidak berbahaya, tetapi racun serangga dapat menyebabkan keracunan dan kematian dengan dos-dos yang tertentu; bergantung kepada cara ia memasuki tubuh manusia. Tanda-tanda keracunan ialah mual atau muntah serta cirit-birit. Keracunan juga menyebabkan kerosakan sistem saraf pusat dan boleh mengakibatkan sawan, koma, dan sesak nafas. Bantuan kecemasan perlu dilakukan supaya pesakit tersebut muntah dan mengeluarkan semula bahan  racun.

Racun piretroid dihasilkan daripada ekstrak bunga kekwa (chrysanthemum). Sebatian piretrum ini mengandungi beberapa jenis bahan aktif piritrin. Bahan aktif ini kemudiannya dicampurkan dalam proses penyulingan minyak. Paru-paru merupakan organ utama serangan racun ini. Kanak-kanak yang mengidap asma boleh mengalami lelah serta merta jika terhidu racun ini. Jika kerap kali terhidu boleh menyebabkan saluran atas pernafasan gatal-gatal, radang kerongkong, rinitis, dan berlaku gerakbalas hipersensitiviti. Kanak-kanak yang mengalami keracunan melalui saluran pernafasan, hendaklah segera dibawa ke tempat lapang dan diberi bantuan pernafasan. Jika racun piretroid (jenis semburan) terkena kulit ataupun mata, ia boleh memedihkan serta menyebabkan gatal-gatal. Dalam kes ini, bahagian badan perlu dicuci dengan air bersih yang banyak bersama cucian sabun. Bagi mata yang  terkena semburan racun tersebut, cuci dengan air bersih selama 10-15 minit. Pakaian yang terkena racun haruslah dibasuh sebelum dipakai semula.

Ubat gegat

Racun serangga dalam bentuk biji terutamanya ubat gegat mengandungi bahan kimia naftalin dan paradiklorobenzin. Bahan kimia ini juga terdapat dalam pewangi tandas (toilet bowl deodorizers). Kedua-dua bahan kimia tersebut mengeluarkan bau yang kuat dan susah untuk menghilangkannya. Sekarang naftalin kurang digunakan dan digantikan dengan aradiklorobenzin yang lebih rendah kesan toksiknya. Kedua-dua bahan kimia ini boleh menyebabkan kegagalan sistem penghadaman dan sistem saraf pusat. Bagi pesakit yang mengalami kekurangan enzim glukos-6-fosfat dihidrogenase, naftalin boleh menyebabkan hemolisis (gangguan sel darah).

Setiap ubat gegat mengandungi 250-500mg naftalin dan boleh menyebabkan hemolisis. Sawan atau gelugut boleh berlaku jika termakan 1-2g naftalin 4-8 biji ubat gegat). Secara perbandingan paradiklorobenzin kurang toksik daripada naftalin. Walau bagaimanapun jika termakan lebih daripada 20g boleh menyebabkan toksik bagi dewasa. Paras keracunan paradiklorobenzin ialah di antara 500-5000mg/kg. Ada laporan mengatakan bahawa keracunan serius yang terjadi pada haiwan menyebabkan tremor dan nekrosis hati. Biasanya apabila keracunan ini berlaku kita boleh mengetahui daripada kesan bau ubat gegat tersebut pada mulut dan muntah mangsa. Walau bagaimanapun sukar untuk kita bezakan antara naftalin dan para klorobenzin dari segi bau dan warna.

Apabila berlaku keracunan melalui mulut, muntah haruslah diikhtiarkan. Misalnya dengan memasukkan jari ke dalam kerongkong. Jika tidak dilakukan bawa pesakit segera ke hospital agar rawatan perubatan selanjutnya dapat diberikan.

Kedua-dua bahan kimia tersebut jika terkena atau tersentuh pada mata boleh menyebabkan radang dan kemerahan mata. Naftalin boleh mencederakan kornea dan penglihatan menjadi kabur. Rawatan awal ialah dengan mencuci mata dengan air bersih selama 15 minit. Jika radang berlanjutan dan masih sakit, harus segera berjumpa doktor bagi rawatan seterusnya.

Sentuhan pada kulit boleh menyebabkan melecur, tetapi gejala ini jarang berlaku. Basuh dengan air yang banyak bersama cucian sabun sekiranya terkena pada kulit.

Kini di pasaran terdapat ubat gegat dalam pelbagai bentuk dan warna dan dianggap sebagai gula-gula oleh sebahagian kanak-kanak tanpa mengetahui itu adalah racun. Oleh itu, ibu bapa hendaklah berhati-hati ketika menggunakannya. Dan tempatkan di tempat yang terselindung dan tidak mudah dilihat atau dijumpai oleh kanak-kanak.

Racun Tikus

Racun tikus boleh didapati dalam pelbagai jenama dan bentuk sediaan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 50 jenama yang berdaftar. Sebahagian daripadanya digunakan begitu meluas di ladang dan kebun. Racun tikus yang digunakan di rumah biasanya dalam bentuk sediaan debu, serbuk, butir dan umpan pepejal. Sediaan dalam bentuk butir berwarna biasanya menarik perhatian kanak-kanak yang menganggap sebagai makanan ringan. Walaupun tidak berbahaya pada manusia dan haiwan peliharaan tetapi setengah daripada racun tikus mengandungi bahan kimia tertentu yang toksik kepada manusia.

Keracunan racun tikus kepada manusia bergantung kepada kandungan bahan aktif. Kandungan bahan aktif (bahan kimia) dalam sediaan racun tikus terdiri dalam berbagai jenis, antaranya brodifacoum, bromadiolone, calsium cyanide, chlorophacinone, coumatetralyl, doumatetralyl, flocoumafen, warfarin dan zinc phosphide. Racun tikus mengandungi bahan kimia yang amat toksik kepada manusia telah diharamkan penjualannya oleh kerajaan dan tidak sepatutnya disimpan di rumah, contohnya: arsenik, fosforus, talium, flourida, sianida, dan strichnin.

Bahan-bahan kimia yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keracunan ataupun maut jika diambil dengan kadar dos yang tinggi.

Racun tikus yang mengandungi bahan aktif zinc phosphide merupakan antara racun yang berbahaya dengan mempunyai kadar toksik yang tinggi. Kandungan peratusan bahan aktifnya adalah sebanyak 80%. Racun tikus ini mengeluarkan bau seperti ikan busuk dan rasanya tidak akan membuatkan haiwan lain tertarik, tetapi ciri-ciri ini menarik perhatian tikus. Biasanya racun tikus ini terdapat di pasaran dalam bentuk serbuk dan pepejal. Racun ini boleh memasuki badan kita menerusi saluran pernafasan, mulut atau diserap melalui luka, Apabila racun ini dicampur atau bersentuhan dengan air atau asid lemah ia akan membebaskan gas fosfin. Anggaran dos mautnya lebih kurang 40mg/kg. Keracunannya menyebabkan kesesakan paru-paru, tekanan darah menjadi rendah, sukar bernafas, muntah, kadar denyutan jantung tidak menentu, gelugut, dan seterusnya menyebabkan koma, kerosakan ginjal, penggurangan sel darah putih dan boleh membawa maut dalam masa empat hari hingga dua minggu. Jika berlaku keracunan rawatan awal yang perlu dilakukan ialah dengan memberikan mangsa minuman susu atau air bertujuan meneutralkan asid dalam perut, iktiarkan muntah dan segera membawa mangsa ke hospital utnuk mendapatkan rawatan lanjut.

Antikoagulan (agen pencair darah) adalah kelas racun tikus yang mempunyai tahap keracunan yang rendah pada manusia. Antikoagulan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu coumarin dan indanedione. Warfarin, difenacoum, bromadiolone dan brodifacoum merupakan komponen utama 4-hydroxycoumarin manakala indanedione pula terdiri daripada diphacinone, pindone dan chlorphaacinone. Kepekatan warfarin dalam setiap racun tikus biasanya antara 0.025-05%. Warfarin tidak mempunyai rasa, bau, ataupun warna. Brodifacoum, difenacoum dan chlorphacinone dijual dalam pasaran dengan kepekatan antara 0.005-2%. Kumpulan ini juga dikenali sebagai superwarfarin. Kesemua komponen tersebut terdapat di pasaran dalam sediaan serbuk, butir, tablet, dan kapsul.

Racun tikus warfarin apabila dimakan berulang kali dalam masa sehari menyebabkan pendarahan pada tikus mahupun manusia kerana darah tidak lagi mudah membeku. Sekiranya hanya sekali sahaja diambil kesan toksik pada manusia tidak ketara. Anggaran dos mautnya ialah lebih daripada 5-20mg sehari diambil selama lebih daripada tiga hingga lima hari. Kumpulan superwarfarin didapati lebih toksik daripada warfarin kerana menyebabkan pendarahan dengan lebih lama. Dos keracunan kumpulan superwarfarin adalah bebeza-beza mengikut kandungan racun tersebut. Dos keracunan melalui mulut bagi chlorphacinone ialah 250-625mg, 7.5mg bagi brodifacoum (0.12mg/kg) dan 500 mg bagi difenacoum. Kumpulan ini sama juga dengan warfarin jika diambil sekali tidak berulang kali selama seberapa hari.

Tanda-tanda keracunan racun tikus antikoagulan seperti terasa mual atau muntah dan cirit-birit. Pendarahan yang berlaku menyebabkan luka lambat sembuh, gusi atau hidung berdarah, najis dan kencing berdarah, dan dalam keadaan teruk boleh menyebabkan renjatan dan tidak sedarkan diri akibat dari pendarahan dalam termasuk pendarahan usus. Jika berlaku keracunan ikhtiarkan supaya kanak-kanak tersebut muntah dan segera bawa ke hospital.

Langkah-langkah pencegahan/keselamatan penggunaan racun di rumah

  • Racun hendaklah disimpan dengan selamat sebelum dan selepas digunakan untuk menggelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

  • Seelok-eloknya simpan di tempat yang tinggi dan tidak dapat dilihat oleh kanak-kanak.

  • Tempat simpanan yang berkunci dan jangan simpan bersama bahan-bahan makanan dan minuman.

  • Simpan dalam bekas asal racun tersebut dan jangan pindahkan ke dalam bekas lain.

  • Tempat racun diletakkan hendaklah tidak mudah dilihat oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan.

  • Gunakan bekas khas untuk menyediakan racun tikus dan jangan sekali-kali gunakan bekas itu untuk menyediakan makanan.

  • Jangan sediakan racun tikus dengan tangan dan sebaiknya cuci tangan selepas menyediakan racun tersebut.

  • Gunakan racun semburan 10-15 minit sebelum masuk tidur.

  • Sebelum menggunakan racun semburan pastikan kanak-kanak tiada di situ dan segala permainan disimpan ke tempat lain.

  • Pastikan ubat nyamuk (lingkaran) digunakan dalam bekas yang sesuai dan jauhkan dari sebaran bahan yang mudah terbakar.

Oleh itu, segala racun makhluk perosak yang digunakan di rumah janganlah dipandang ringan. Jika terdedah berulang kali dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan keracunan kronik kepada pengguna. Walau apa pun kes keracunan, mangsa harus mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor secepat mungkin untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Pusat Racun Negara perlu dihubungi untuk mendapat nasihat dan maklumat lanjut tentang keracunan.

"WASPADA: RACUN BUKAN SAHAJA MEMBUNUH PEROSAK"


s utube s fb