• call pusat racun websiteToxicology Laboratory Services
    Office hours

    Tel: +604 653 2171 / +604 653 2191
    Monday - Friday: 8:10am - 5:10pm
    E-mail: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

Alam Sekitar, Ketidaksuburan Ibubapa dan Kecacatan Bayi (Bahagian 1)

Oleh: Che Nin Man
          Dewan Kosmik
          April 2002

Bahagian 1

Ketidaksuburan di kalangan pasangan berkahwin biasanya bermaksud tidak dapat mengandung dalam tempoh 12 bulan. Keadaan ini ditakuti berpanjangan atau seterusnya dikaitkan dengan kemandulan dan ditakuti oleh kebanyakan wanita dan lelaki. Manakala mempunyai anak yang cacat pula menyedihkan ibubapa namun atas pegangan agama dan didikan moral kita akur kepada ketentuan takdir.

Ketidaksuburan di kalangan lelaki biasanya berkaitan dengan bilangan sperma yang rendah atau bentuk sperma yang tidak normal dan bagi wanita pula lebih kepada sistem hormon dan saluran pembiakan. Kecacatan anak pula sering dikaitkan dengan masalah genetik salah seorang sama ada daripada sebelah ibu atau pihak bapa. Namun haruslah diingat, terdapat banyak lagi penyebab yang diketahui dan tidak diketahui yang menyumbang kepada ketidaksuburan dan kecacatan.

Tahukah anda kemandulan, keguguran, kelahiran anak yang terencat akal, kesukaran menerima pelajaran dan pelbagai masalah perlakuan anak boleh disebabkan oleh pendedahan bahan kimia yang terdapat di tempat kerja, di dalam rumah, makanan yang dimakan dan alam sekitar di mana kita berada?

Fakta-fakta berikut bertujuan untuk memberi penerangan tentang bahaya bahan kimia yang didapati di dalam makanan, minuman dan alam sekitar yang boleh menyebabkan ketidaksuburan dan kecacatan bayi.

Merokok

Asap rokok diketahui mengandungi lebih daripada 4,000 jenis bahan kimia berbahaya dan dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit paru-paru, jantung, gigi dan lain-lain. Ia memberi kesan langsung kepada perokok yang tidak merokok.

Kajian yang telah dijalankan oleh Universiti Carolina Utara, mendapati bilangan sperma perokok adalah 13 hingga 17% lebih rendah daripada orang yang tidak merokok dan melalui pemberhentian merokok oleh individu yang sama juga menunjukkan peningkatan bilangan spermanya di antara 50 hingga 800%.

Tembakau juga dilaporkan sebagai meningkatkan kecacatan pada sperma iaitu di bahagian kepala sperma atau dengan lain perkataan tembakau mempunyai kesan karsinogen dan seterusnya menyebabkan ketidaksuburan lelaki.     

Merokok menyukarkan wanita untuk mengandung, terdapat kajian menunjukkan 38% wanita yang tidak merokok berupaya untuk mengandung dalam pusingan pertama tempoh percubaan mengandung berbanding perokok wanita iaitu 28%.

Ibu-ibu yang merokok semasa mengandung memberi banyak kesan buruk ke atas bayi di dalam kandungan seperti kecacatan anggota badan, berat badan yang rendah, kecacatan pendengaran, mempunyai IQ rendah, masalah kawalan motor, keguguran dan mati dalam kandungan. Mengikut jurnal 'Pediatrics (1994)', sindrom kematian bayi secara tiba-tiba dikatakan tiga kali lebih tinggi di kalangan wanita perokok sama ada semasa atau selepas mengandung.

Kajian oleh Pusat Pengajian Kesihatan Awam Havard, 1994 pula mendapati bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang merokok mengalami fungsi paru-paru yang lemah. Manakala laporan dalam jurnal "American Journal of Epidemiology" 1995 menunjukkan merokok semasa mengandung meningkatkan kemungkinanan mendapat anak yang sumbing.

Elakkan atau tinggalkan aktiviti merokok, ia hanya memberi kesan buruk kepada kesihatan diri, keluarga atau alam sekitar.

Pencemar Oragnik

Pencemar organik adalah bahan kimia yang mengandungi karbon dan hidrogen. Terdapat lebih daripada 70,000 kimia ini digunakan dalam industri dan 654 daripadanya telah dikenalpasti oleh Agensi Pelindung Alam Sekitar Amerika (EPA) sebagai merbahaya. Ia termasuklah  racun makhluk perosak, pelarut organik, pelarut gris, komponen petroleum, hasil sampingan industri dan lain-lain.

  1. Racun makhluk perosak

    Racun makhluk perosak dan racun serangga yang terdiri daripada organofosfat dan organoklorin digunakan secara meluas di dalam aktiviti pertanian dan industri perkayuan. Ia juga digunakan di rumah-rumah bagi tujuan membersihkan kawasan rumah atau penjagaan daripada makhluk perosak dan serangga.

    Racun makhluk perosak berupaya meyebabkan kekurangan bilangan dan kualiti sperma. Contoh klordan, sejenis racun anai-anai yang disembur pada kayu, ia didapati dalam hampir 75% rumah di Amerika yang dibina sebelum tahun 1988 dan dianggarkan seramai 30 juta rumah tersebut telah dicemari olehnya. Di samping ketidaksuburan di kalangan lelaki dan wanita, beberapa juta orang dewasa dan kanak-kanak telah dilaporkan mengalami simtom-simtom penyakit seperti barah, kerosakan pada hati, neuroblastoma, leukemia, bronkitis, asma, sinusitis, gangguan neurologi agresif dan kemurangan.

    Dilaporkan bahawa di antara 20 hingga 25% keguguran adalah disebabkan oleh masalah sistem badan melawan penyakit atau sistem endoktrin. Racun makhluk perosak boleh mengganggu sistem badan melawan penyakit dengan merangsang pertumbuhan antibodi yang seterusnya menyerang sperma pada lelaki atau telur pada wanita.

    Walaupun kebanyakan jenis racun yang memberi kesan ke atas sistem endoktrin telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia dan negara-negara jiran, namun ia masih lagi dikesan di berapa perairan Malaysia dan haiwan di dalamnya. Ia mungkin disebabkan oleh tempoh hayatnya yang panjang atau aktiviti penggunaan secara haram.

    Berhati-hatilah semasa mengguna, menyimpan dan melupuskan sisa racun makhluk perosak. Amalkan cara penggunaan dan langkah-langkah keselamatan seperti yang tertera pada tanda label. Oleh itu, tanda label pada bekas racun, janganlah dibuang daripada bekasnya, ia berguna untuk dijadikan panduan. Elakkan penggunaan racun terlarang, walaupun ia mungkin cepat berkesan ke atas pertanian namun ia juga amat berkesan pada kesihatan terutama pada sistem pembiakan anda.

  2. Polisiklik Aromatik Hidrokarbon (PAH)

    PAH terdiri daripada lebih 100 jenis bahan kimia yang terdapat meluas di alam sekitar hasil daripada aktiviti pembakaran seperti tar arang batu, dandang industri, rumah asap, tempat pembuangan sampah, asap rokok, asap  kayu, asap ekszos kenderaan dan sebagainya.

    Ujian PAH ke atas mencit yang mengandung mendapati anak mencit yang terhasil sukar untuk mengandung begitu juga terhadap ibunya. Anak-anak mencit itu juga didapati mempunyai kadar kecacatan yang tinggi dan berat badan yang rendah.

    Kajian oleh saintis di hospital Boston mendapati kesan PAH yang terdapat dalam rokok dan alam sekitar ke atas ovari menyebabkan wanita semakin hilang kesuburan dan seterusnya mengalami menopaus. Dalam ujian lain ke atas haiwan makmal, didapati ketidaksuburan semakin meningkat dengan adanya benzo(a)pyrin dan plumbum yang boleh didapati daripada ekzos kenderaan. Berat ovari dikatakan menurun sebanyak 33% termasuk penurunan ketara folikel ovari.

    Benzo(a)pyrin yang juga didapati sebagai komponen di dalam arang batu, keroin dan kimia semulajadi di dalam banyak bahan mentah dan makanan yang dimasak, berupaya merosakkan baka atau keturunan dengan merosakkan kromosom dalam sistem pembiakan dan seterusnya melahirkan anak-anak yang cacat melalui warisan.

Pencemar Organik Kekal (POPs)

POPs seperti dioksin, furans, poliklorinated bifenils dan heksaklorobenzene juga terhasil daripada aktiviti pembakaran yang tidak disengajakan dan bergerak jauh mencemari udara di seluruh dunia hinggalah kawasan-kawasan tidak berpenghuni seperti gurun, artik dan antartika. Ia telah menjadi masalah sejagat.

POPs menganggu sistem endokrin badan melawan penyakit dan seterusnya memberi kesan kepada kesuburan wanita. POPs juga dikaitkan dengan endometriosis, kanser payudara dan menyebabkan anak dalam kandungan mengalami masalah kecacatan fizikal dan saraf seperti kesukaran untuk belajar, masalah perlakuan dan IQ yang rendah. Anak yang menyusu juga dikatakan akan turut dicemari oleh POPs melalui ibu-ibu mereka.

Kajian yang dilakukan ke atas haiwan makmal mendapati POPs dapat mengurangkan hormon yang bertanggungjawab membentuk sifat kelakian dan ketidaksuburan selain daripada mengecilkan saiz organ seks lelaki, kelahiran anak-anak yang bermulut sumbing dan kematian dalam kandungan.

Selain terhasil pada pembakaran yang tidak sengaja, poliklorinated bifenil (PCB), polikbrominated befenil (PBB) digunakan dalam industri pembuatan seperti penebat, transformasi dan komponen di dalam cat. Bagi menghindari bahaya yang tersebut di atas, penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal perlepasan POPs dan lain-lain pencemar organik ke alam sekitar hendaklah dilakukan, di samping pendidikan orang ramai tentang bahayanya kepada kesihatan dan langkah-langkah keselamatan semasa bekerja atau melupuskannya.

Pelarut

Pelarut organik seperti silina, aseton, trikloroetilina dan lain-lain pelarut atau kimia berasaskan petroleum boleh menyebabkan keguguran. Bahan-bahan ini boleh didapati dalam aktiviti industri dan kegunaan harian rumah seperti bahan-bahan kosmetik, wangi-wangian, pelembut pakaian dan sebagainya.

Kajian pendedahan pelarut di tempat kerja menunjukkan  insiden kejadian melebihi empat kali ganda keguguran  spontan di kalangan pekerja wanita yang diambil bekerja di tempat pemasangan mikroelektronik dan 15% kadar keguguran dalam syarikat pemasangan cip silikon. Ia telah disabitkan dengan penggunaan pelarut organik dalam kerja-kerja pencucian komponen elektronik.

Bapa yang terdedah kepada policinil alkohol dan benzina yang didapati daripada gasolin, pelarut, perekat juga dihubungkan dengan 50% pertambahan bahaya kelahiran anak tidak cukup bulan di samping kelahiran anak yang cacat. Sementara itu satu kaji selidik yang dilakukan untuk menunjukkan kaitan di antara bapa dengan anak-anak yang mengalami kecacatan pada sistem sarafnya, mendapat penyakit leukemia dan ketumbuhan otak. Bapa-bapa ini adalah mereka yang bekerja dalam industri cat, pelarut kimia atau tukang cat.

Memandangkan bahaya kimia di atas, pihak ILO dan NIOSH telah mengeluarkan senarai bahan kimia yang mesti dielakkan oleh wanita atau lelaki semasa bekerja. Anda juga dinasihatkan untuk memastikan kandungan kimia sama ada asli atau sintetik berbahaya sebelum anda membeli atau mengguna sebarang produk berasaskan kimia. Anda boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada persatuan pengguna, badan-badan berkaitan kesihatan pengguna atau berhubung dengan This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..


s utube s fb