Dadah Pengubah Tingkah Laku, Tanggapan Diri dan Perasaan

Dadah halusinogen terdiri daripada beberapa jenis dadah yang boleh diperoleh daripada sumber semula jadi atau daripada tindak balas kimia. Di antara dadah halusinogen semula jadi termasuklah ganja, dadah dari cendawan Amantina dan Psilocybes, biji pokok Bunga kembang pagi (Ipomoea Violacea), kulat Claviceps purpurea, biji buah pala (Myristica fragrans) Atropa belladona, dan pokok kecubung (Datura stramomium).

GANJA (MARIJUANA)

Pengambilan dos kecil marijuana menyebabkan kesan saraf pusat terjejas. Apabila dos ditingkatkan, kesan halusinasi akan diperoleh iaitu pergerakan anggota badan akan terjejas, kurang daya ingatan, dan tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerja-kerja rumit. Kesan ke atas janin ibu mengandung ialah penurunan berat badan serta kelakuan hiperaktif seperti tangan bayi menggeletar dan bayi mudah terperanjat. Pengguna ganja juga menunjukkan sifat tiada motivasi dalam melakukan apa-apa kerja apabila pengambilan ganja dihentikan. Penggunaannya untuk jangka masa yang lama boleh mengurangkan paras testosteron dan jumlah sperma. Kitaran haid kaum wanita juga akan turut terganggu.

DADAH DARIPADA CENDAWAN AMANITA DAN PSILOCYBES

Dadah dari cendawa Amanita dan Psilocybes telah digunakan sejak berzaman sebagai halusinogen. Dua jenis dadah yang dikenalpasti terdapat dalam A. muscaria iaitu muskimol dan asid ibotenik boleh mencetuskan rasa marah, pergerakan terjejas, gangguan tidur, khayal, halusinasi penglihatan, dan perubahan perasaan pada pengguna. Kesan halusinasi terhasil akibat tindak balas kedua-dua bahan tersebut ke atas sistem saraf pusat khusus yang dikenali sebagai sistem saraf GABA (asid - aminobutirik). Selain A. muscaria, terdapat juga spesis lain yang sangat berbahaya. Ini kerana kandungan bahan racun seperti amatoksin dan falotoksin yang boleh menyebabkan kematian. Antaranya ialah A. phalloides, A. gemmata dan A.pantherina. Amanitin dan faloidin adalah dua jenis toksin utama yang dikenalpasti wujud di dalam A. phalloides. Bahan-bahan ini boleh menyebabkan kerosakan sel di seluruh badan. Kesan utamanya ialah terhadap hati, buah pinggang, otak, dan jantung. Seringkali penagih dadah dari kumpulan cendawan Amanita maut akibat tersalah memilih. A. muscaria juga mengandungi sejumlah kecil muskarin yang dapat meransangkan reseptor-reseptor asetilkolina yang hadir di dalam sistem saraf pusat dan sistem saraf pinggir. Antara kesan toksik muskarin termasuk rasa mual, muntah-muntah, pengecilan anak mata, penurunan tekanan darah, dan denyutan jantung.

Cendawan dari kumpulan Psilocybemexina mengandungi bahan halusinogen yang dikenali sebagai psilosin dan psilosibin. Ia bertindak sebagai penghalang ke atas sistem saraf pusat namun kesannya jauh lebih rendah dan mempunyai jangka masa tindakan yang khusus. Psilosin dilaporkan mempunyai kesan yang lebih kuat berbanding psilosibin. Kesannya adalah rasa mual, mengantuk, penglihatan kabur, serta kesan halusinasi. Kesan tolerans (dos yang lebih tinggi) berlaku dengan cepat sehinggakan penagih terpaksa meningkatkan pengambilan dadah untuk mendapatkan kesan halusinasi yang tetap.

DADAH DARI KULAT CLAVICEPS PURPUREA

Kulat Claviceps purpurea yang tumbuh di atas bijirin dapat menghasilkan dadah halusinogen yang digolongkan sebagai alkoid ergot. Pencirian kimia ke atas alkaloid ergot ini menyebabkan bahan kimia sintetik, dikenali sebagai asid lisergik dietlimida (LSD) dihasilkan. Ia berupaya memberikan kesan halusinogen yang hebat. LSD Stereoisone mempunyai kesan halusinogenik sementara beberapa isomer yang lain mempunyai kesan pengucupan otot yang kuat. Kesan halusinogen oleh alkaloid ergot terhasil melalui pengahalangan dadah semula jadi ini ke atas sistem serotonin. Kesan buruk utama yang dikenalpasti pada ibu mengandung ialah ia boleh menyebabkan keguguran kandungan. Ini kerana sebahagian alkaloid ergot adalah vasokontriktor (agen yang boleh mengecilkan saluran darah) yang kuat. Beberapa alkaloid ergot yang lain pula berupaya menyebabkan pengucupan yang kuat terhadap otot licin terutamanya di dalam rahim. Pengucupan ini sering kali boleh mengakibatkan keguguran.

HALUSINOGEN JENIS LAIN

Halusinogen jenis lain bertindak melalui halangan ke atas sistem saraf pusat umum dan sistem saraf pinggiran yang mengawal pergerakan otot. Apabila halangan ini berlaku, maka fungsi otak dalam mengawal ingatan dan pergerakan akan terjejas. Seseorang penagih yang mengambil dadah dari kumpulan ini akan berasa mengantuk, fikiran keliru, halusi, dan juga hilang daya ingatan. Di antara halusinogen yang tergolong dalam kumpulan ini ialah dadah halusinogen yang terdapat dalam tumbuhan Atropa belladoma dan Hyoscyamus niger, pokok kecubung (Datura stramonium), kaktus peyote (Lophophora williamsii), selaput dan biji buah pala (Myristica fragrans) dan biji pokok bunga kembang pagi (Ipomoea violecea).

Atropa belladonna dan Hyoscyamus niger mengandungi kandungan dadah atropina dan skopolamin yang tinggi. Kesan halusinasi yang terhasil adalah akibat daripada tindakan terhadap sistem saraf pusat. Manakala pokok kecubung pula, kedua-dua dadah tersebut terdapat pada kesemua bahagian pokok tersebut dan menghasilkan kesan yang sama seperti Atropa belladonna dan Hyoscyamus niger.

Selaput dan biji buah pala (Myristica fragrans) boleh menghasilkan kesan halusinasi yang sederhana dan melalui bahan kimia yang dikenali sebagai miristisin dan elemisin. Walau bagaimanapun miristim sahaja dilaporkan tidak dapat menimbulkan kesan sehebat buah pala itu sendiri. Dos toksik buah pala dianggarkan sebanyak 5-15 gram (1 hingga 3 biji) dan kesannya boleh dilihat tiga hingga enam jam selepas dimakan. Kesannya termasuk rasa mual, muntah, dan gangguan terhadap sistem saraf pusat. Pengambilannya yang berlebihan boleh menyebabkan penurunan suhu badan yang banyak. Biasanya dalam masa 24 jam seseorang akan mengalami kesan halusinasi yang tinggi.

Biji pokok bunga kembang pagi (Ipomoea violacea) mengandungi ergine, iso-ergine, dan beberapa sebatian yang berkaitan termasuk chanoclavine, elymoclavine dan lysergol. Kesan halusinogen biji pokok bunga kembang pagi yang disebabkan oleh alkaloid ergolina menyamai kesan dari LSD. Antaranya kesan-kesannya ialah penurunan tekanan, midriasis, dan peningkatan degupan jantung.

Kaktus peyote (Lophophora williamsii) pula mempunyai bahan kimia yang dikenali sebagai meskalin. Ianya digunakan dalam bentuk segar ataupun yang telah dikeringkan. Lebih kurang enam peratus meskalin terkandung di dalam pokok kaktus yang dikeringkan. Penggunaannya akan mengalami halusinasi pendengaran dan penglihatan. Pada tahap yang lebih serius mereka berkemungkinan terlibat dalam cubaan membunuh diri. Struktur kimia bahan ini agak serupa dengan terbitan sintetik amfetamin. Walau bagaimanapun kesan-kesan yang disebabkan olehnya mirip kepada LSD. Taburan kaktus ini hanya terdapat di benua Amerika dan Mexico.

Sebagai penutup bahan halusinogen semula jadi telah lama digunakan dan kajian lanjut ke atas sumber asli menyebabkan bahan kimia sintetik yang mempunyai kesan halusinogen yang hebat diperoleh. Walaupun bahan halusinogen semula jadi kecuali ganja bukan merupakan dadah utama penyalahgunaan dadah di Malaysia, namun demikian kesan yang dihasilkan ke atas sistem otak penagih adalah hebat sehinggakan penagih menghadapi risiko gila akibat penagihan bahan ini. Oleh itu, JAUHILAH DIRI ANDA DARI DADAH!



Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location