PENSIKLIDIN: Dadah lain yang bahaya

Oleh: Dr. Rahmat Awang
          Dewan Kosmik
          01 December 1995
 

Penelitian saintifik mengesahkan ia berupaya menghilangkan rasa sakit dan mempunyai kesan bius. Kajian yang dilakukan terhadap monyet mendapati PCP juga dapat memberikan kesan ketenangan. Dadah ini dinamakan 'Sernyl' berdasarkan perkataan 'serendity' yang bermaksud keadaan yang tenang.

PCP telah disintesiskan untuk tujuan perubatan. Ia juga sebagai agen bius kepada manusia dalam pembedahan dan penenang pada haiwan. Dalam bidang perubatan, penggunaannya telah diharamkan kerana ia memberi kesan sampingan kepada mental seperti psikosis (kegilaan) dan agitasi (cepat marah atau meradang). Pesakit yang mempunyai risiko tinggi menghadapinya terdiri daripada golongan pesakit remaja dan separuh umur. Kini, penggunaannya hanya dihadkan pada haiwan sahaja.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, dadah ini telah disintesis secara haram sehingga boleh didapati dengan mudah pada harga yang murah. Namun, pola penggunaannya adalah tidak menyeluruh dan terhad pada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

FORMULASI DAN CARA GUNA

PCP tulen adalah sejenis serbuk putih. Namun begitu, serbuk yang dijual di pasar-pasar gelap boleh didapati dalam pelbagai warna seperti warna hijau, kuning, kelabu atau ungu. PCP dijual dalam bentuk kapsul, hablur batu, cecair, pasta atau kepingan kertas segi empat. Kebiasaannya dadah ini dimakan, dihidu dan disuntik dalam badan. Namun begitu, cara yang paling digemari ialah dengan menaburkan PCP ke atas majuana atau tembakau sebelum dihisap.

PCP yang didapati di pasar gelap, biasanya dicampur dengan dadah lain atau dijual dengan menggunakan nama dadah ayng terkenal seperti ganja (THC), asid lisergik (LSD), amfetamin, metakualon, psilosibin, meskalin, dan kokain sintetik. Dengan itu, penagih sering menganggap dadah ini tergolong dalam kumpulan dadah yang berkualiti tinggi. Sebenarnya darjah ketulenan PCP dalam bentuk ini biasanya pada tahap 10=30% sahaja. Bagi bentuk yang dicampurkan dengan dadah lain, bahan-bahan kimia seperti fenilpropranolamin, benzokain, prokain, efedrin, kafein, ketamin dan piperidin telah dicampurkan. PCP yang dihasilkan secara haram juga mengandungi pelarut bahaya seperti benzin, toluene, sikloheksanol, isopropanol, fenol dan enter.

PCP tulen dijual dengan nama angel dust, angel's mist, cadillac, crystal joints, dust, green tea leaves, magic mist, PCP, peace, super kool, dan zoom. Angel dust adalah sejenis PCP yang mempunyai darjah ketulinan pada tahap yang tinggi iaitu antara 80-100%.

KESAN YANG DIALAMI DENGAN PENGAMBILAN PCP

Pada amnya, penagih PCP akan mengalami kesukaran mengingat kerana fikiran yang bercelaru, cepat lupa, pening, dan takut.

Dadah ini menyebabkan penagih khayal, cepat marah, meradang, agresif, ganas, dan hilang orientasi diri. Pengambilan PCP juga membuatkan penagih rasa kebal sehingga mereka berani melakukan sesuatu yang mengancam nyawa sendiri.

Kesan yang akan dialami bergantung pada kos yang diambil, cara pemberian dan personaliti individu. Dos yang biasa diambil puratanya sebanyak 5mg (julat 1-9mg) dan penyerapannya adalah baik dengan apapun cara pengambilan. Kesannya dapat dicapai dalam masa 2 hingga 5 minit jika dihidu, diantara 30 hingga 60 minit jika dimakan dan dalam lingkungan 30 minit jika digosokkan ke atas kulit. Secara umumnya terdapat hubungan kasar di antara dos, paras dadah dalam darah dan kesannya. Namun begitu, kesan ini bergantung pada individu yang menggunakannya. Dos oral sebanyak 120mg didapati boleh membunuh.

Apabila digunakan secara berterusan, dos yang semakin meningkat diperlukan untuk mendapatkan kesan yang sama. Jika bekalan terputus, penagih akan mengalami sawan. Penagih juga akan mengalami rasa resah, cepat meradang, perasaan tertekan, hilang ingatan dan rasa lesu untuk jangka masa beberapa bulan lamanya. Pergantungan psikologi serta berbagai usaha penagih untuk mendapatkan dadah sememangnya berlaku dan dialami pada penagih.

BAHAYA PENGGUNAAN PCP

Pengambilan PCP boleh menghasilkan kesan yang sukar diramal. Sesetengah orang akan mengalami penindasan fungsi otak manakala yang lain mengalami rangsangan otak. Kesannya pada otak boleh berada di antara euforia dan psikosis akut. Kesan-kesan ini dipengaruhi oleh berbagai faktor yang berkaitan antara satu sama lain. Faktor-faktor yang memainkan peranan dalam menentukan kesan yang dialami ialah bentuk dosis, ketulenan, dos, kaedah pemberian, umur pesakit, sejarah penyakit, sejarah pengubatan, perilaku dan peribadi pesakit.

Pada amnya, kesan PCP terhadap penggunanya boleh dikategorikan pada tiga tahap iaitu ringan, sederhana dan teruk. Dos PCP yang digunakan merupakan faktor utama yang mempengaruhi kesan yang dialami.

RAWATAN

Pesakit dibawah pengaruh PCP tidak boleh ditenangkan ketika sedang mengalami kesan PCP. Ini membuatkan pesakit bertindak dengan tingkah laku yang keras dan ganas. Pesakit yang mengalami intoksikasi ringan harus diawasi di bilik yang jauh daripada rangsangan luar.

Intoksikasi memerlukan rawatan yang agresif untuk mengurangkan komplikasi. Adalah diingatkan tidak ada penawar bagi melawan tindakan PCP. Alat pembersih darah seperti hemodialisis atau hemoperfusi juga tidak dapat membantu. Agitasi ringan boleh dikawal dengan ubat penenang seperti diazepam manakala gerakbalas yang lebih teruk mungkin memerlukan ubat seperti haloperidol. Ubat pankuronium atau suksinikolin yang boleh melumpuhkan otot juga mungkin diperlukan oleh penagih yang mengalami peningkatan suhu badan, darah berasid atau kehancuran otot. Haloperidol atau klorpromazin dapat merawat psikosis walaupun klorpromazin lebih cenderung untuk menurunkan tekanan darah.

Tempoh bagi pesakit pulih sepenuhnya bergantung pada dos, kandungan lemak badan dan keasidan air kencing. Bagi sesetengah pesakit, mereka dapat berfungsi seperti sediakala dalam masa 45 minit atau beberapa jam selepas itu. Mereka juga mungkin akan mengalami koma atau terus berkelakuan aneh selama seminggu. Selepas mengalami psikosis, pemikiran dan kelakuan mungkin akan pulih dalam masa setahun. Apabila pesakit pulih dari koma, mereka akan mengalami konvulsi, tekanan darah dan suhu badan yang meningkat, pernafasan terhenti dan gangguan fungsi jantung. Sementara kecederaan buah pinggang memerlukan lebih kurang dua hingga empat minggu untuk pulih seperti normal.

DADAH LAIN SELAIN PCP

Fenilsikloheksilpirolidina (PHP), fenilsiklopentilpiperidina (PCPP), tienilsikloheksilpiperidina (TCP) dan sikloheksamina (PCE) merupakan dadah yang mempunyai kesan tindakan yang sama dengan PCP. Salah satu bahan yang boleh mencenari dadah-dadah ini dalam proses pembuatannya adalah bahan yang dinamakan piperidinosikloheksanakarbonitril (PCC). PCC lebih merbahaya daripada PCP dan boleh menghasilkan gas sianida.

KESIMPULAN

Penyalahgunaan PCP amat serius jika tidak dibendung dari awal. Di Amerika Syarikat, penggunaannya mendatangkan masalah kesihatan bukan sahaja kepada individu tetapi juga permasalahan sosial. Bahaya PCP adalah jelas dan Malaysia perlu mengorak langkah bagi mengelakkan keadaan ini daripada berlaku.

 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location