Bahaya barangan dandanan diri

Dr. Rahmat Awang
Utusan Malaysia, 13 Mei 1995

Sedarkah anda bahawa apa sahaja yang anda hidu, pegang atau makan yang boleh menjejaskan kesihatan dianggap racun. Bahan-bahan beracun ini berada di sekeliling kita tanpa disedari. Sesetengahnya adalah bahan yang kita gunakan di rumah atau di pejabat setiap hari.

Seperti mana yang dinyatakan pada ruangan lalu, lebih kurang lapan puluh peratus daripada kemalangan keracunan membabitkan bahan-bahan yang disimpan di rumah.

Bagi mengelakkan daripada kejadian keracunan berlaku, adalah baik sekiranya kita mengetahui bahan-bahan yang berbahaya dan yang tidak. Rencana kali ini akan membincangkan tentang bahan-bahan tertentu yang terdapat di rumah yang selalu dikaitkan dengan kejadian keracunan.

Diharapkan, ruang ini dapat meningkatkan kesedaran di samping membantu pembaca supaya bertindak dengan cepat dan teratur dalam mengendalikan kejadian keracunan yang berlaku.

Salah satu barangan yang sering terdapat di rumah ialah alat dandanan diri atau kosmetik. Ini merangkumi berbagai jenis barangan termasuk barangan yang digunakan untuk penjagaan rambut (seperti barangan peluntur rambut, barangan mengerinting rambut, barangan pelurus rambut, pewarna rambut, penyembur rambut, kondisioner rambut, krim pembilas dan bahan dandanan rambut); mekap mata dan muka, bedak gincu, pengilat kuku dan minyak wangi.

Setiap satu barangan ini mempunyai kandungan bahan kimia yang berbagai. Walaupun secara amnya barangan ini dianggap selamat, kehadiran bahan kimia tertentu boleh memberikan kesan mudarat apabila tersalahguna.

`Barangan peluntur rambut' mengandungi berbagai bahan kimia. Barangan jenis serbuk dan losyen dianggap sederhana bahayanya dan jika tertelan boleh menyebabkan gangguan gastrousus. Mangsa perlu bertindak dengan membasuh mulutnya dengan air yang banyak, kemudian dibawa untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

`Barangan pengkerinting rambut' pula melibatkan penggunaan berbagai bahan kimia. Bahan kimia yang boleh membahayakan adalah sulfit, bromat dan tioglikolat yang terdapat dalam losyen mengkerinting serta hidrogen peroksida sebagai neutralizer.

Keracunan serius pernah berlaku pada kanak-kanak berusia 1.5 hingga 3 tahun yang menelan losyen kerinting yang mengandungi bromat.

Kegagalan buah pinggang adalah salah satu komplikasi yang dialami dan merupakan punca utama kematian. Hidrogen peroksida yang digunakan dalam barangan ini adalah berkepekatan sebanyak 9 peratus.

Pada kepekatan ini, jika tertelan, ia tidaklah membimbangkan kecuali jika melibatkan jumlah yang banyak. Jika ini berlaku, hidrogen peroksida boleh membebaskan oksigen dengan banyak sehingga menyebabkan ketegangan/pengembangan perut. Keadaan ini akan membuatkan mangsa mengalami kesakitan perut.

`Barangan pelurus rambut' pula mengandungi bahan kimia yang lebih kuat pada kepekatan yang lebih tinggi daripada barangan pengkrinting rambut. Bahan kimia yang biasanya didapati dalam barangan ini adalah natrium hidroksida pada kepekatan 1 hingga 3 peratus dengan nilai pH 13.

Arahan penggunaannya haruslah diikuti dengan teliti bagi mengelakkan iritasi atau radangan pada kulit dan mata.

Jika tertelan, ia boleh membakar sistem penghadaman kita terutama di bahagian esofagus. Jika pendedahan ini berlaku, pembaca digalakkan minum air biasa atau susu untuk mencairkannya.

Komplikasi
Pemeriksaan doktor juga perlu dilakukan bagi memastikan komplikasi tidak dialami.
`Penyembur rambut' yang digunakan untuk mengawal keadaan rambut adalah salah satu barangan penjagaan rambut yang amat digemari. Pelarut yang digunakan biasanya adalah sejenis alkohol yang berkepekatan sehingga 95 peratus. Jika ditelan, ianya boleh mengakibatkan seseorang mengalami pening kepala. Kesan lain adalah sama seperti kesan keracunan alkohol.

`Kondisioner rambut', `krim pembilas' serta `bahan dandanan rambut' walaupun mempunyai berbagai bahan kimia secara amnya dianggap tidak berbahaya jika tertelan melainkan jika kandungan alkoholnya tinggi. Kesan yang mungkin dialami hanyalah berbentuk gangguan perut bagi sesetengah kes.

`Kosmetik mekap mata' secara amnya dianggap selamat. Saiz pakejnya juga adalah kecil untuk mengakibatkan kesan toksik jika ditelan. Namun begitu, sekiranya tertelan, air atau susu perlu diminum untuk mencairkan bahan kimia yang terdapat dalamnya.

`Kosmetik mekap muka' termasuklah pemerah pipi, krim asas bahan penutup tompok-tompok hitam secara umumnya dianggap tidak berbahaya dan kesan toksik tidak berlaku sekiranya tertelan.

`Gincu' juga dianggap tidak berbahaya. Ia biasanya mengandungi minyak galian atau sayuran, lilin dan pewarna. Lain-lain bahan yang ditambah termasuklah bahan pelembut, pewangi, pengawet, antioksidan dan mungkin juga perasa. Jika ditelan, ia tidak meninggalkan sebarang kesan.

`Pengilat kuku' terdiri daripada pelarut seperti xylena, toluena, aseton, etil asetat, etanol atau metanol dan `plasticizer' seperti butil-asetat, dibutil phthalate, kamfor bersama nitroselulosa atau lain-lain resin.

Sesetengah daripada bahan-bahan kimia ini jika ditelan dengan banyak boleh mengakibatkan rasa mual, muntah-muntah dan mungkin juga penekanan terhadap fungsi otak. Oleh yang demikian, mangsa keracunan perlu dibawa ke hospital dengan segera sekiranya di dapati tertelan pengilat kuku.

`Pembersih pengilat kuku' pula mengandungi aseton dan etanol sebagai bahan kimia utama. Oleh itu, sekiranya ditelan ia boleh membahayakan diri. Kesannya adalah sama dengan kesan keracunan alkohol.

`Barangan kolon serta minyak wangi' amnya adalah larutan hidroalkohol dengan dicampurkan dengan sedikit pewangi. Barangan ini mempunyai kandungan alkohol setinggi 50 hingga 90 peratus. Jika ditelan, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami rasa mengantuk dan penekanan fungsi otak.

Barangan bedak termasuk bedak debu dan bedak badan mengandungi bahan-bahan seperti talkum, kanji atau kedua-duanya sekali dengan disertakan dengan karbonat inorganik, zink stearat, kaolin, pewangi dan mungkin juga pengawet. Secara amnya, bedak jenis ini dianggap tidak berbahaya. Namun begitu jika dihidu dengan banyak boleh menyempitkan saluran pernafasan.

Selain daripada barangan yang disebutkan di atas, terdapat juga barangan lain yang biasa digunakan dan di simpan di rumah. Walaupun ianya tidak dinyatakan, ini tidaklah bermakna yang ia langsung tidak berbahaya. Dalam keadaan kecemasan pembaca digalakkan menghubungi lPusat Racun Negara segera dengan menelefon talian bebas tol 800-8099 untuk mendapatkan nasihat dan maklumat lanjut.

SOAL JAWAB TENTANG KERACUNAN

Apakah implikasi pendedahan plumbum pada kanak-kanak?

Plumbum adalah sejenis logam yang bertoksid dan pendedahan kepadanya secara berterusan adalah satu keadaan yang membimbangkan.

Tubuh kanak-kanak boleh menyerap lebih banyak plumbum berbanding dengan orang dewasa terutama sekali jika kanak-kanak ini juga mengalami kekurangan zat makanan.

Masa yang diperlukan untuk 'menyingkirkan' logam ini juga memakan masa bertahun lamanya. Jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan peningkatan paras plumbum dalam darah.

Walaupun kadar kejadian keracunan yang membabitkan plumbum tidak diketahui, laporan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Pusat Racun di Amerika Syarikat, menunjukkan bahawa kanak-kanak merupakan mangsa utama keracunan plumbum, dan 49% daripada kes yang dilaporkan terdiri daripada kanak-kanak berusia kurang daripada 6 tahun.

Beberapa kajian di beberapa negara menunjukkan peningkatan paras plumbum dalam darah walaupun sedikit boleh menjejaskan IQ kanak-kanak.

Menjejaskan
Maklumat terkini meletakkan nilai paras plumbum dalam darah di antara 15 mcg/dL sehingga 25 mcg/dL sebagai boleh menjejaskan IQ kanak-kanak tanpa menghasilkan gejala-gejala keracunan yang nyata seperti rasa lesu, mual, muntah-muntah dan sakit perut.

Penurunan IQ mungkin akan menjadi lebih membimbangkan jika peningkatan paras plumbum terus berlaku. Didapati kepekatan plumbum melebihi 1mcg/dL dapat menyebabkan penurunan IQ secara purata sebanyak 5 mata.

Pendedahan jangka panjang boleh mengakibatkan penyakit lain seperti anemia (kurang darah), gangguan atau kegagalan fungsi buah pinggang, penyakit darah tinggi, sakit dan sendi tulang.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location