Kesan Pencuci Sintetik Pada Manusia

Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Utusan Malaysia, 19 Ogos 1995

Sejumlah 5.9 juta pembelian serbuk pencuci kain dilaporkan di Malaysia setiap tahun. Dari rekod pembelian ini, tidak kurang 6 juta liter bahan pencuci sintetik akan dilepaskan ke sungai-sungai. Disebabkan pencuci sintetik seperti BAS sukar dilupuskan dalam alam sekitar, maka penggumpulan bahan tersebut akan berlaku.

Pencuci sintetik didapati boleh membunuh kehidupan akuatik pada kepekatan yang kecil di samping menyebabkan pencemaran alam sekitar. Menurut satu penyelidikan, pendedahan selama 6 jam sahaja sudah cukup untuk membunuh 70% hidupan akuatik. Kemusnahan sepenuhnya kehidupan akuatik akan menjejaskan ekosistem lain yang tergantung kepadanya sebagai sumber makanan. Selain daripada itu pencuci sintetik juga boleh menyebabkan perubahan atau mutasi sel. Sekiranya ini terjadi maka kemungkinan sel-sel mutan ini berkembang dengan cepat untuk menghasilkan kanser. Atas kesedaran inilah, maka kerajaan mengambil keputusan untuk mengharamkan bahan pencuci sintetik yang tidak mudah lupus dalam alam sekitar kepada bahan pencuci yang mudah terurai dalam alam sekitar.

Cara mengenalpasti pencuci sintetik
Perhatikan dengan teliti pada lebel kotak pencuci untuk mengelak daripada menggunakan pencuci sintetik. Selain daripada B.A.S. bahan-bahan tambahan lain yang terkandung dalam pencuci tersebut antaranya:-

  • Flourescent. Tujuannya ialah untuk memutihkan pakaian supaya kelihatan bersih. Ia dipercayai boleh menyebabkan penyakit barah dan gangguan kesihatan lain.
  • Fosfat merupakan pemukal yang biasa dimasukkan ke dalam pencuci sintetik sebagai agen menanggalkan kotoran. Ia dipercayai penyebab utama pencemaran air dan mempercepatkan pertumbuhan alga. Namun begitu penggunaannya telahpun diharamkan dan sebagai gantinya, zeolite pula digunakan.
  • Silika dicampurkan ke dalam kebanyakan pencuci sintetik dengan tujuan melembutkan air dan ini akan meningkatkan keupayaan mencuci.
  • Garam beralkali juga biasa dicampurkan, di antaranya; natrium karbonat, natrium silikat dan natrium metasilikat.


Tidak melabelkan
Kebanyakan pencuci di pasaran sekarang tidak melabelkan kandungan bahan pencuci dan ini menyukarkan kita untuk memastikan sama ada pencuci tersebut sabun asli atau pencuci sintetik. Di sini terdapat satu ujian mudah untuk mengenalpasti pencuci tersebut. Sediakan satu bekas lutsinar atau pun gelas, cuka (asid asitik) dan air.

   1. Campurkan sedikit sabun pencuci ke dalam bekas yang mengandungi air.
   2. Biarkan sehingga sabun pencuci larut buat seketika.
   3. Kemudian campurkan sedikit cuka dan perhatikan apa yang berlaku.
   4. Hasil dari ujian ini, didapati jika pencuci itu adalah:
          * sabun asli, tiada buih dan air menjadi keruh,
          * pencuci sintetik, berbuih dan air kelihatan jernih,
          * campuran pencuci sintetik dan sabun, berbuih dan air menjadi keruh.

Walau bagaimanapun dengan membuat ujian ini kita tidak dapat mengetahui kandungan surfaktan (bahan pencuci permukaan) yang terdapat dalam pencuci tersebut.

Penggantian sabun sintetik kepada sabun asli
Ancaman pencuci sintetik terhadap pencemaran alam sekitar dan kesihatan telah pun terbukti. Penggunaan sabun asli yang dihasilkan daripada lemak semulajadi haiwan atau pun tumbuhan contohnya minyak kelapa sawit adalah selamat. Teknik penghasilannya adalah melalui proses kimia yang mudah. Terdapat dua kaedah yang boleh digunakan iaitu proses saponikasi dan peneutralan. Proses saponikasi melibatkan tindakbalas antara lemak haiwan atau tumbuhan dengan natrium atau kalium hidroksida di mana sabun dan gliserin akan dihasilkan. Manakala proses peneutralan pula tindakbalas antara asid lemak yang diperolehi daripada hidrolisis lemak yang dineutralkan dengan natrium atau kalium hidroksida untuk membentuk sabun. Natrium hidroksida menghasilkan sabun biasa, iaitu sabun soda, manakala kalium hidrosida menghasilkan sabun kalium. Kedua-dua sabun berikut berupaya terurai dalam alam sekitar dan mudah diuraikan oleh mikroorganisme dalam jangkamasa yang singkat. Oleh itu ekosistem hidupan akuatik tidak akan terganggu.

Memandangkan sabun asli mudah terurai dan dapat dilupuskan dalam alam sekitar, penggunaannya harus digalakkan. Masyarakat harus sedar dan perihatin tentang keburukan pencuci sintetik ke atas kesihatan dan alam sekitar. Industri pembuatan sabun asli juga perlu dipertingkat dan diperkembangkan lagi dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Soalan :
Sebagai seorang suri rumah saya ingin mengetahui apakah kesan sampingan jika kanak-kanak tertelan atau termakan sabun pencuci sintetik dan bagaimanakah langkah-langkah rawatan awal kepada mangsa keracunan.

Sabun atau pencuci sintetik boleh memasuki dalam badan melalui kulit dan boleh memudaratkan kesihatan jika terdedah secara berterusan. Sekiranya tertelan atau termakan, mangsa akan mengalami rasa mual, muntah serta cirit-birit dan mungkin berlaku selepas beberapa minit ianya dimakan. Tanda-tanda keracunan ini boleh berlanjutan sehingga satu hari. Akibat daripada termakan sabun atau pencuci sintetik ini boleh menyebabkan sedikit keradangan mukosa pada mulut. Berkumur dan mencairkan isi perut dengan air atau susu sudah mencukupi untuk merawatnya. Isipadu minuman yang disyorkan ialah kurang daripada 60ml (1 cawan) untuk kanak-kanak, manakala orang dewasa kurang dari 150 ml (2.5 cawan). Jika muntah berlanjutan untuk jangkamasa yang panjang, kesakitan yang teruk pada bahagian perut, terdapat kesan darah dalam muntah atau tidak berupaya untuk menelan, segera bawa mangsa berjumpa doktor untuk mendapat rawatan lanjut.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location