Bahaya Racun Karbamat

Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Utusan Malaysia, 16 September 1995

RENCANA minggu ini merupakan susulan rencana yang lalu iaitu berkaitan dengan racun serangga pertanian.

Selepas membincangkan tentang keracunan racun organofosfat, perbincangan kali ini ialah tentang keracunan racun karbamat.

Racun karbamat merupakan racun serangga yang diterbitkan daripada asid karbamik. Kesan toksisitinya lebih rendah berbanding dengan racun organofosfat.

Selain digunakan sebagai racun serangga pertanian, ia juga digunakan dalam bidang veterinar sebagai racun kutu haiwan ternakan dan sebagai racun serangga di rumah.

Racun karbamat bertindak sebagai racun saraf seperti racun organofosfat dengan merencatkan aktiviti enzim acetyl cholinesterase.

Bahan-bahan aktif dalam kumpulan racun ini lebih cepat diurai dan dinyahkan daripada dalam tubuh serta tidak terkumpul dalam tisu lemak.

Oleh itu kesan toksisitinya tidak bertahan lama dan hanya boleh menyebabkan kemudaratan yang ringan sahaja.

Walaupun demikian dari laporan yang diperolehi terdapat 7 kes keracunan melibatkan racun karbamat pada tahun 1991.

Kejadian ini berlaku disebabkan oleh kecuaian dan kelalaian pengguna tanpa mengambil berat tentang aspek-aspek keselamatan diri semasa menggunakan racun tersebut.

Tidak dinafikan juga ada kes keracunan disebabkan oleh penyalahgunaan misalnya untuk tujuan bunuh diri.

Oleh itu berwaspada dan jangan disalahgunakan. Racun karbamat boleh memasuki dalam badan menerusi saluran pernafasan, mulut dan melalui kulit.

Bagaimanapun, kebanyakan bahan aktif racun karbamat lambat diserap melalui kulit dibandingkan dengan racun organofosfat.

Apabila racun karbamat memasuki ke dalam badan ia boleh merosak dan mengganggu fungsi organ-organ dalaman.

Racun karbamat boleh menyebabkan denyutan jantung tidak menentu, kesukaran bernafas akibat paru-paru menjadi bengkak, radang saluran pernafasan, gangguan kepada sistem saraf pusat boleh menyebabkan kesesakan nafas, gangguan mental, pendarahan otak dan sawan.

Sawan lebih mudah berlaku pada kanak-kanak jika dibandingkan dengan orang dewasa akibat keracunan yang serius. Ada laporan menyatakan kesan keracunan terhadap sistem saraf pusat hanyalah sedikit ataupun tiada langsung akibat terdedah kepada racun karbamat.

Keracunan akut (mendadak) boleh berlaku bergantung kepada kadar penyerapan bahan aktif racun karbamat.

Penyerapan secara mendadak walaupun racun yang kurang toksik boleh menyebabkan kesan keracunan yang teruk.

Tanda-tanda keracunan akibat terdedah kepada racun karbamat biasanya berlaku selama 30 minit sehingga 2 jam dan ini dapat diperhatikan dalam masa 1 hingga 2 jam selepas terdedah kepada racun tersebut.

Tanda-tanda keracunan ini akan reda dengan sendirinya dalam masa 24 jam tanpa rawatan perubatan. Walaupun demikian rawatan perubatan perlu bagi keracunan yang teruk mahupun ringan untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kebanyakan tanda-tanda keracunannya adalah lebih kurang sama dengan keracunan racun organofosfat antaranya keluar air liur yang banyak, sakit kepala, lemah anggota badan, pening, mual, muntah, berpeluh dengan banyak, sakit perut, pandangan menjadi kabur, pengsan, sukar bernafas dan cirit birit.

Sawan

Sekiranya berlaku keracunan melalui mulut iaitu jika terminum atau termakan, jangan sekali-kali ikhtiarkan mangsa muntah kerana dikhuatiri berlakunya sawan, kesesakan nafas atau koma secara mendadak semasa usaha untuk memuntahkan bahan racun dalam perut.

Tiada langkah-langkah kecemasan yang boleh dilakukan apabila berlaku kes keracunan ini. Oleh itu cara terbaik ialah dengan membawa mangsa terus ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

Pendedahan secara terhidu racun semasa aktiviti penyemburan merupakan salah satu cara racun memasuki ke dalam badan. Ia boleh menyebabkan batuk, kesesakan nafas, dan akhirnya boleh memudaratkan kesihatan. Di antara penyakit yang biasanya terjadi ialah radang saluran pernafasan, radang tenggorok dan radang paru-paru.

Langkah-langkah kecemasan apabila berlaku keracunan ini ialah dengan membawa segera mangsa ke tempat lapang dan memberi bantuan pernafasan.

Apabila terdedah dan terkena mata secara tak sengaja boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur, radang, bengkak, photophobia, terasa pedih dan sakit.

Mata yang terkena racun hendaklah dengan segera dibasuh dengan air bersih yang banyak selama 15 minit. Jika tanda-tanda keracunan tersebut tidak reda hendaklah segera jumpa doktor untuk mendapat rawatan lanjut.

Begitu juga apabila terkena pada kulit hendaklah dicuci dengan air bersih yang banyak bersama cucian sabun termasuk pada celah kuku dan rambut.

Pakaian yang terkena racun hendaklah ditanggalkan dan dicuci sebelum dipakai semula. Biasanya apabila terkena kulit boleh menyebabkan badan mengeluarkan peluh dengan banyaknya.


Apa beza kesan racun rumpai dan serangga


Soalan:
SELAIN daripada kegunaannya sebagai racun serangga, saya dapati racun karbamat digunakan juga sebagai racun rumpai.

Oleh itu, saya ingin mengetahui adalah kesan sampingan akibat terdedah kepada racun rumpai karbamat sama dengan racun serangga karbamat?

Jawapan

KESAN sampingan akibat terdedah kepada racun rumpai dan racun serangga karbamat mempunyai sedikit perbezaan. Ini adalah disebabkan oleh cara tindakkannya ke atas organisme sasaran adalah berbeza. Pada serangga ia merencatkan aktiviti enzim acetylcholinesterase menyebabkan kesesakan bernafas.

Manakala pada tumbuhan, ia menganggu proses mitosis dan seterusnya merencatkan aktiviti sel meristem lalu menyebabkan kecacatan akar, tunas dan pucuk.

Racun rumpai karbamat mengandungi bahan pelarut hidrokarbon dan boleh menyebabkan keracunan. Di antara tanda-tanda keracunan racun rumpai karbamat ialah sakit kepala, lemah anggota badan, mual, muntah, berpeluh dengan banyak, kebas dan cirit-birit.

Racun rumpai karbamat boleh menyebabkan denyutan jantung menjadi cepat, tekanan darah jadi rendah, darah mengalir cepat, kerosakan buah pinggang, kesukaran bernafas akibat paru-paru menjadi bengkak, radang saluran pernafasan, radang paru-paru, gangguan kepada sistem saraf pusat boleh menyebabkan kesesakan nafas dan sawan.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location