Racun Organoklorin Bahayakan Kesihatan

Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Utusan Malaysia, 30 September 1995

RUANGAN racun kali ini masih lagi membincangkan tentang racun serangga pertanian, iaitu racun organoklorin.

Racun organoklorin atau dikenali sebagai hidrokarbon berklorin digunakan dengan meluas dalam aktiviti pertanian untuk mengawal dan menghapuskan serangga perosak.

Ia juga digunakan dalam program mengawal penyakit malaria di seluruh dunia.

Racun ini boleh larut di dalam minyak tetapi ia tidak mudah larut dalam air. Oleh itu kebanyakan racun dalam kumpulan ini tidak mudah terurai dalam alam sekitar selepas digunakan dan biasanya akan kekal selama sebulan hingga lebih setahun.

Hanya racun aldrin akan kekal selama satu minggu sahaja. Di atas kesedaran inilah ada di antara bahan aktif dalam kumpulan racun ini telah diharamkan penjualannya kerana ia boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar di samping mengakibatkan keracunan kepada binatang mahupun manusia.

Racun organoklorin dipasarkan dengan pelbagai bentuk sediaan, jenama dan bahan aktif.

Bahan-bahan aktif dalam kumpulan racun ini termasuklah aldrin, dieldrin, dicofol, endosulfan, endrin, chlordane, DDT, heptachlor, lindane, benzene hexachloride (BHC) dan boleh dikelaskan mengikut tiga tahap ketoksikannya seperti berikut:

  • Sangat Toksik - Aldrin, Dieldrin, Endosulfan, Endrin
  • Sederhana Toksik - Chlordane, DDT, Lindane, Dicofol, Heptachlor
  • Kurang Toksik - Benzene hexachloride(BHC)

Keracunan yang melibatkan racun organoklorin merupakan antara yang paling kerap berlaku. Laporan keracunan yang diperolehi dalam masa tiga tahun iaitu dari tahun 1989 hingga 1991 melibatkan sebanyak 49 kes selepas keracunan racun rumpai dan racun serangga organofosfat.

Kebiasaannya keracunan jenis ini berlaku akibat daripada terdedah secara tidak langsung pada kulit, termakan, terhidu dan tidak kurang juga ia disalahgunakan.

Apabila termasuk dalam badan, racun ini bertindak menyerang sistem saraf pusat dan mengakibatkan berlakunya gelugut ataupun sakit sawan.

Di samping itu ia boleh menyebabkan kesesakan nafas dan menyebabkan koma akhirnya membawa maut.

Terminum
Dos bagi keracunan akut (mendadak) adalah berbeza-beza. Sekiranya terminum atau termakan 1 g lindane, boleh menyebabkan sawan pada kanak-kanak dan 10-30 g boleh membawa maut kepada orang dewasa.

Anggaran dos maut bagi orang dewasa untuk bahan aktif aldrin dan chlordane ialah sebanyak 3-7 g manakala dieldrin sebanyak 2-5 g.

Kebiasaannya selepas terminum atau termakan racun dalam kumpulan ini, mangsa akan mengalami mual serta muntah dengan tiba-tiba, disusuli dengan cirit-birit, gangguan fikiran (kebingungan dan ketakutan), menggigil, sawan, gangguan pernafasan dan koma.

Selain daripada itu ia juga boleh merosakkan hati dan buah pinggang. Disebabkan racun organoklorin terlarut tinggi di dalam lelemak dan boleh terkumpul dalam lemak untuk jangkamasa yang lama, ia dilaporkan sebagai penyebab penyakit kanser pada manusia.

Apabila berlakunya keracunan, jangan sekali-kali diikhtiarkan muntah kerana dikhuatiri berlakunya sawan. Langkah terbaik hantarkan segera ke hospital.

Semasa aktiviti penyemburan dilakukan, ciri-ciri keselamatan diri harus diutamakan.

Tetapi kini kebanyakan para petani dan pekerja ladang memandang ringan tentang keselamatan diri mereka.

Sekira terhidu secara berterusan dalam jangka masa yang lama, radang paru-paru boleh terjadi.

Keracunan akut (mendadak) boleh berlaku kepada mangsa dengan mengalami kesesakan nafas. Apabila kejadian ini berlaku, mangsa hendaklah segere di bawa ke tempat lapang dan diberi bantuan pernafasan.

Racun organoklorin boleh meresap masuk ke dalam badan menerusi kulit.

Ini adalah kerana serapan merupakan salah satu cara tindakan racun tersebut terhadap serangga.

Walaupun demikian daya resapan racun ini berbeza-beza mengikut kandungan jenis bahan aktif. Lindane, aldrin, dieldrin, endrin, chlordane, heptachlor dan endosulfan cepat meresap masuk ke dalam badan manusia sekiranya terkena pada kulit.

Manakala bahan aktif lain seperti DDT mempunyai kadar serapan yang lambat.

Keracunan kronik boleh berlaku sekiranya kerap kali terdedah kepada kepada racun.

Ada laporan yang menyatakan bahawa sekiranya keseluruhan badan seorang kanak- kanak terdedah kepada racun lindane secara berterusan, sawan boleh berlaku dan membawa kepada maut.

Radang
Biasanya bahagian kulit yang terkena racun ini akan mengalami radang atau ruam. Oleh yang demikian selepas mengendalikan dan menyembur racun ini, cuci dan bersihkan bahagian badan yang terkena racun dengan menggunakan air bersama sabun ataupun mandi.

Kemungkinan mata juga akan terkena semburan racun jika tidak memakai penutup muka semasa penyemburan dijalankan.

Ada laporan menyatakan bahawa mata biri-biri menjadi buta setelah terkena racun endosulfan. Oleh itu sekiranya terkena pada mata hendaklah dengan segera cuci dengan air bersih yang banyak selama 15 minit.

Jika terasa sakit, radang, bengkak dan berair hendak berjumpa doktor dengan segera untuk mendapat rawatan lanjut.


Kesan organoklorin pada alam sekitar


Soalan:
KEBIASAANNYA saya menggunakan racun organoklorin (endosulfan) untuk mengawal serangga perosak tanaman tebu saya.
Selain kesan keracunannya kepada manusia ia juga didapati boleh mencemarkan alam sekitar selepas digunakan. Jadi saya ingin tahu bagaimana kesan racun kepada alam sekitar.

Jawapan
Di Malaysia, racun organoklorin (endosulfan) masih lagi dipasarkan dan digunakan dengan meluas. Terdapat lebih kurang 32 jenis jenama racun in di pasaran. Tetapi di sesetengah negara, sesetengah racun organoklorin telah diharamkan terus penjualannya di pasaran dan ada juga diharamkan untuk kegunaan tanaman padi.

Ini adalah disebabkan sifatnya tidak mudah larut di dalam air dan akan kekal dalam jangka masa yang lama dalam tanah.

Daripada laporan yang diperolehi jangka hayat endosulfan dalam tanah gembur berpasir adalah di antara 60 hingga 800 hari manakala dalam air laut jangka hayatnya antara 2 hingga 22 hari.

Endosulfan boleh dibawa atau disebar jauh melalui udara tetapi kurang bergerak atau mengalir dalam tanah. Endosulfan amat toksik kepada hidupan akuatik terutamanya ikan.

Oleh itu ia tidak digalakkan sama sekali menyembur racun tersebut berhampiran punca air seperti parit, tali air, sungai, tasik atau digunakan di tanah lembah.

Ia juga didapati merbahaya dan boleh membunuh beberapa jenis burung dan lebah madu sekiranya mencari makanan di kawasan yang telah disembur dengan air kerana tersebut.

Walaupun demikian endosulfan tidak membahayakan tanaman dan tumbuhan.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location