Kesan menyalah guna ubat batuk

Noor Hasani Hashim
Utusan Malaysia, 14 Okober 1995

Batuk bukanlah satu penyakit tetapi batuk ialah tanda-tanda penyakit. Terdapat tiga jenis batuk yang sering dihidapi oleh kebanyakan kita.

   1. Batuk berkahak disertai dengan gangguan pernafasan.
   2. Batuk tanpa kahak disertai dengan gangguan pernafasan.
   3. Batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan.

Batuk jenis (1) dan (2) berkemungkinan juga tanda-tanda penyakit lelah yang tidak berterusan di mana tanda-tanda ini wujud semasa jangkitan virus pada saluran pernafasan.

Batuk yang berlebihan terutama jenis (3) batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan, tidak hanya menyebabkan seseorang tidak selesa malah kekal kesakitan apabila batuk.

Ini disebabkan tekanan pembuangan udara ketika batuk yang menyakitkan kerongkong dan selaput tekak. Merujuk kepada ketiga-tiga jenis batuk di atas ahli farmasi atau doktor akan dapat menentukan jenis ubat yang harus dan selamat digunakan.

Pada amnya, pengubatan sendiri untuk batuk dipilih oleh sesetengah individu dengan membeli ubat di kedai runcit ataupun kedai ubat. Walaupun tanpa mengetahui jenis batuk serta jenis ubat yang sepatutnya diambil. Berikut adalah jenis-jenis drug di dalam ubat-ubat yang digunakan mengikut jenis batuk:
a. Drug-drug di dalam ubat gangguan pernafasan ialah efedrin, fenilefrin, nafazolin, oksilometazolin, fenilpropanolamin, pseudoefedrin dan zilometazoline. Kumpulan drug ini akan bertindakbalas dengan otot saluran tenggorok dan akan mengembangkan saluran tersebut.

b. Drug-drug dalam ubat mengeluarkan kahak ialah ammonium klorida, guaifenesin, kalium guaiakolsulfonat, sirap ipekak, terpin hidrat dan `beechwood creosote'. Kumpulan drug ini akan bertindakbalas dan mencairkan kahak serta merangsangkan batuk bagi mengeluarkan kahak.

c. Drug-drug di dalam ubat meredakan batuk ialah kodein, dekstromethorphan, difenhidramin hidroklorid dan noskapine hidroklorid. Kumpulan drug ini berfungsi bagi mengurangkan kekerapan batuk, terutamanya bagi batuk tanpa kahak dan tiada gangguan pernafasan.

Setiap drug utama di atas dirumus dengan kuantiti tertentu dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti pemanis, pewarna, pengawet, perasa dan penstabil. Walau bagaimanapun, terdapat juga lebih dari satu drug di rumuskan dalam satu sediaan jenis ubat bagi menyesuaikan dengan jenis batuk dan penyakit.

Berdasarkan kepada fungsi ubat dan jenis batuk di atas, sebelum seseorang meminum ubat batuk adalah disarankan supaya terlebih dahulu mendapat nasihat daripada doktor ataupun ahli farmasi. Oleh itu peraturan seperti `Ubat yang betul untuk penyakit yang betul dalam dos yang betul melalui saluran yang betul pada masa yang betul' perlu diikuti.

Penyalahgunaan Ubat Batuk
Ubat batuk yang mengandungi drug kodein adalah jenis yang popular di kalangan penyalah guna. Ubat batuk jenis ini jika diminum berlebihan akan memberikan kesan narkotik.

Drug jenis ini disenarai dalam Akta Racun 1957 dan penjual ubat harus mempunyai lesen dan pesakit perlu mendapat preskripsi doktor terlebih dahulu sebelum mengambilnya. Walau bagaimanapun, terdapat penjualan secara haram kepada penyalah guna dan penagih ubat batuk tersebut.

Selain harganya yang murah, warna sediaan ubat ini juga merupakan ciri utama yang tidak dapat dibezakan dengan warna minuman ringan yang terdapat di pasaran.

Warna perang gelap ubat ini serupa dengan warna kopi `O' atau minuman cola. Kebanyakan ubat batuk yang dijual secara haram biasanya dimasukan ke dalam peket plastik minuman biasa, bekas-bekas atau botol minuman ringan berkarbonat.

Golongan yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan ubat batuk terdiri daripada remaja yang bermasalah (pelajar merokok, yang pernah menghisap ganja dan pernah menghidu gam), individu yang tertekan, bekas penagih dan penagih yang tidak mendapat bekalan dadah.

Kebiasaannya, penyalah guna ubat batuk meminum lebih daripada dos yang disyorkan untuk mendapatkan kesan serta merta drug kodein.

Bahaya Ubat Batuk Mengandungi Kodeine
Kodein adalah sejenis drug penahan sakit. Ia lebih berkesan apabila berubah menjadi morfin di dalam tubuh. Kombinasi kodein dan aspirin atau asetaminofen menghasilkan kesan yang lebih hebat.

Bagaimanapun, pengambilan ubat batuk mengandungi kodein berlebihan akan memberi kesan mengantuk serta mengurangkan tahap aktiviti mental, rasa pening, mual dan seterusnya muntah.

Apabila ia diambil berulang kali, ia boleh menyebabkan seseorang itu bergantung kepadanya dan memerlukannya setiap hari. Kesan pergantungan ini dipanggil tolerans. Sukatan drug terpaksa ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan kesan seperti yang pernah dialaminya. Lama-kelamaan lebih banyak drug diperlukan setiap kali. Ini membuatkan seseorang terikat kepada drug tersebut dan menjadi ketagih.

Pengambilan berterusan dengan kuantiti yang berlebihan sesuatu drug akan memberi kesan sampingan yang berbahaya. Kesan pengambilan drug berlebihan melalui mulut akan menunjukkan kesan ketagih dalam bentuk pergantungan fizikal, mental dan emosi. Penagih akan mengalami kerosakan paru-paru, hati, sistem penghadaman (zat makanan tidak mencukupi) dan buah pinggang.

Otot-otot badan mengecut (badan lesu dan tidak bermaya) dan berat badan menurun. Penagih selalunya akan sentiasa berada dalam keadaan lalai, lali dan hanya berminat untuk tidur. Ramai di antara mereka menemui ajal semasa tidur.

Kesimpulannya, penyalahgunaan ubat batuk yang mengandungi kodein boleh menjadi penagih dan akan menghadapi risiko yang besar. Oleh itu, pesakit harus berhati- hati apabila mengambil ubat dan ikut peraturan sepertimana yang disarankan. Cegah sebelum parah kerana kecuaian boleh membawa padah.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location