Hiroshima Dalam Ingatan Pilu Haji Abdul Razak

Sumber: Mastika, 1 November 1989
   Oleh: -

Ketika saya mengunjungi Haji Abdul Razak bin Abdul Hamid di pejabatnya yang bertempat di Wisma Belia dia sedang berdiri di tingkap sambil merenung jauh ke arah jalan raya yang dipenuhi kereta. Jam belum masuk pukul 2. Hari panas terik, suasana sibuk tetapi tetap tenang dan aman. Suasana yang serupa tidak bisa dinikmatinya pada 6hb. Ogos 1945.

Kepada seorang pencipta kemanusiaan tarikh itu akan dikenang dan disambut seluruh dunia dengan berbekal harapan agar manusia itu sendiri tidak lagi melakukan kesilapan yang serupa.

Hari itu dipanggil Hari Hiroshima. Di Hiroshima sendiri manusia akan membanjiri sebuah tugu yang telah dibina khas bagi memperingati ulang tahun gugurnya bom atom.

Haji Abdul Razak ialah satu-satunya mangsa pengeboman bom atom di Hiroshima pada penghujung Perang Dunia Kedua. Semasa tragedi itu dia sedang menuntut di Universiti Hiroshima yang berada dalam lingkungan 1.5 kilometer dari tempat gugurnya bom atom.

"Bangunan tempat jatuhnya HIROSHIMA NO GENBAKU (bom atom di Hiroshima) masih dikekalkan dalam bentuknya yang telah punah itu. Mungkin ia ditinggalkan begitu agar menjadi cermin yang akan menyedarkan manusia," kata Haji Abdul Razak.

Hari ini Haji Abdul Razak memikul tugas sebagai pensyarah yang mengajarkan bahasa Jepun kepada pegawai-pegawai kerajaan. Dia telah beristeri dan mempunyai tiga orang anak serta tujuh orang cucu.

Peristiwa Hiroshima telah berlalu begitu lama, namun sekiranya kita bertanya, dia bercerita seolah-olah bagai memberikan ulasan selari terhadap peristiwa yang berlaku di hadapan matanya.

Ketika Jepun menduduki Tanah Melayu pada tahun 1942, Haji Abdul Razak ialah salah seorang yang dikerah untuk mengikuti kursus bahasa Jepun. Bermula di Kuala Lumpur, kemudian dihantar ke Durian Daun Melaka dan akhirnya telah dihantar ke Jepun.

Pada mulanya dia dihantar menjalani kursus pra universiti di Tokyo kemudian dihantar ke Universiti Hiroshima untuk mengambil kursus Sarjana Muda Pendidikan.

Di Tokyo memang setiap hari tepat pukul 3 petang, kapal terbang pejuang Amerika B-29 datang mengebom bandaraya tersebut, tetapi di Hiroshima sendiri suasana biasanya agak aman."

"Walaupun mulai Mei tahun 1945 itu apabila Amerika telah berjaya menawan Okinawa, makanan telah agak berkurangan namun kami tetap meneruskan pengajian kami seperti biasa sehinggalah pada pagi 6hb. Ogos itu."

Pada pagi itu sebagaimana biasa, Haji Abul Razak dan seorang kawannya dari Brunei, Pengiran Yusof sedang belajar matematik bersama-sama pensyarah mereka Profesor Toda, dalam kuliah yang dibuat dari kayu.

Pada waktu-waktu begini selalunya mereka akan mendengar bunyi semboyan kecemasan. Dengan sekelip mata mereka akan berpindah-randah menuju ke tempat khas (shelter) yang disediakan sekiranya berlaku serangan udara. Kemudian mereka kembali semula ke dalam bilik kuliah.

"Tidak berapa lama selepas itu, ketika kami sedang sibuk menyelesaikan satu formula, saya nampak kilat putih melintas di luar tingkap. `Sop! Kilat! teriak saya. Sekelip mata itu juga bunyi gegaran bagai bunyi bangunan ranap dengan kuat telah kedengaran."

"Entah berapa lama saya tidak sedarkan diri, saya tidak ingat, entah berapa lama saya berada dalam runtuhan itu, tidak mampu saya kenang kembali. Hanya apabila ada orang berteriak barulah saya sedar dan tidak lama kemudian kami nampak cahaya merangkak-rangkak dalam runtuhan itu. Dengan mengikut cahaya inilah kami bertiga keluar dari runtuhan itu."

"Bila kami keluar kami dapati badan kami berlumuran darah, tetapi kami sendiri tidak merasa sakit di mana-mana. Selepas kami selidik kami dapati kepala kami yang cedera terkena runtuhan itu agaknya."

"Tetapi di luar keadaan telah berubah dengan tiba-tiba. Seluruh kawasan menjadi terang benderang seperti padang jarak. Yang saya ingat semasa di Tokyo saya pernah melihat tempat jatuhnya bom yang mana hanya kawasan yang terlibat sahaja musnah, tetapi bom yang jatuh di Hiroshima ini lain pula. "

"Profesor Toda menyuruh kami pulang ke asrama untuk mencari kawan-kawan kami. Tetapi saya sendiri apabila saya kenangkan semula entah bagaimana saya mencari arah pulang ke asrama itu saya sendiri tidak tahu. Mungkin hanya naluri rasa (instinct) sahaja yang membawa kaki kami ke arah asrama melalui dan merentas runtuhan-runtuhan bangunan universiti itu."

"Di tempat yang kami agakkan asrama itu kami terdengar bunyi orang memanggil, tetapi suara itu jauh kedengaran dari dalam timbunan runtuhan-runtuhan tersebut. Kami menyangkakan itu suara ibu asrama kami, lalu kami terus mengali runtuhan tersebut, tetapi bukan dia melainkan kerani sebuah kelab yang berhampiran dengan asrama kami. Kerani memakai cermin mata, tetapi cermin matanya pecah dan matanya berlumuran darah. Lalu kami menarik ia keluar dari runtuhan tersebut."

Tidak berapa lama kemudian, terdengar suara seorang rakan kami Nik Yusof bin Nik Ali, berasal dari Kelantan berteriak mengatakan dia sihat dan meminta kami pergi ke asrama menolong rakan-rakan kami yang lain. Kami nampak Nik Yusof berlari ke bandar bersama warden asrama. Tidak saya sedari itulah kali terakhir saya berjumpa dengan Nik Yusof.

Dalam masa kami menolong orang-orang itu kami lihat berbagai-bagai keadaan yang menyayatkan hati. Ada rakan-rakan kami dari Sumatera yang telah tanggal rambutnya. Ada yang cedera di kepala dan patah anggota terkena runtuhan. Ada pula yang maut terkena bahana bom itu sendiri. Yang terkena bahan bom itu kulitnya melecur dan tanggal dari tulang. Sekiranya ada yang memakai baju, corak kain dari baju itu melekat pada kulit mereka. Tidak kurang juga mayat yang rentung hangus menjadi arang.

Kami sedang sibuk menolong rakan-rakan kami yang cedera itu saya lihat dari seberang sana sungai, gelombang api yang berbentuk macam angin puting beliung (cyclone) berputar menyambar bangunan-bangunan seberang sana sungai. Kami nampak orang-orang Jepun berlari ke arah sungai dan berpaut pada tebing sungai. Tetapi malang dalam gelombang dan putaran api yang berpusing itu mereka hangus disambar oleh bahangnya.

Saya sendiri tahu api yang besar itu akan datang ke tempat kami kerana saya lihat api yang merangkak itu dapat menyambar jambatan dan perlahan-lahan menuju ke kawasan kami.

Dalam kami mencari akal untuk menyelamatkan diri, ditakdirkan Tuhan, kami ternampak sebuah rakit tertambat di sungai. Kami pun bertungkus-lumus mengangkat kawan-kawan kami dan beberapa orang Jepun yang tercedera itu masuk ke dalam rakit. Sembilan orang kami dari Sumatera dan Tanah Melayu, termasuk berserta tiga empat orang Jepun.

Apa yang masih terkilan di hati saya sehingga hari ini ialah kami tidak berdaya menyelamatkan ibu asrama kami yang terperangkap dalam runtuhan. Dia kelihatan sihat dalam runtuhan yang berbentuk gua itu tetapi kami tidak dapat mengeluarkan dia kerana timbunan yang berat. Kami cuba juga mengorek batu-batu untuk membuat lubang yang lebih besar tetapi malangnya api telah dekat. Dia pula ketika itu sibuk menyuruh kami mencarikan anaknya yang sedang bekerja di bangunan itu. Akhirnya kerana api semakin mara itu terpaksa kami tinggalkan dia tanpa memberitahu tentang keadaan ribut api itu.

Semasa berada di dalam rakit yang mengalir ke hilir sungai itu gelombang api itu sempat juga menyambar barang-barang yang kami selamatkan. Tetapi kami sempat menyelamatkan diri dari sambaran api dengan terjun ke dalam sungai dan berpaut pada rakit tersebut apabila api menyambar. Semua pelajar asing yang di dalam rakit itu terselamat malangnya orang-orang Jepun yang telah sememangnya tercedera hanyut dibawa air.

Pada pukul empat petang barulah ribut api yang berputar macam puting beliung itu berhenti dan kami membuat tempat persinggahan di atas sebuah jambatan.

Pengiran Yusof sibuk mencari makanan dan pulang semula ke universiti mencari beras. Beras yang ditemuinya itu penuh bercampur kaca terpaksa pula kami memilihnya. Dalam pada itu lalu pula sekor ayam telah dapat kami menangkapnya, tetapi tiada pula berjumpa pisau untuk menyembelih ayam itu. Kami gunakan paku, untuk membunuhnya tetapi malang tak mahu pula ia mati. Akhirnya kami tambat ayam itu dan biarkan dia di situ.

Dalam kesibukan itu sayup-sayup terdengar suara orang menyahut "MIZU KUDASAII" - "minta air!". Kami mengambil air sungai dan kami pergi memberi mereka minum. Malangnya sebaik sahaja kami beri mereka minum, mereka pun mati. Kemudian diberi pada orang lain begitu juga, rebah mati. Mulanya kami ingatkan air itu berkuman kerana mayat-mayat yang bergelimpangan dalam sungai tetapi selepas kami didihkan air itu, dan kami beri kepada mereka yang meminta air, mereka juga turut mati. Selepas itu saya enggan memberikan air-air kepada orang lain, tetapi orang-orang meminta air itu memujuk kami, biarlah mati dapat minum dari mati kehausan. Rupanya dari penyelidikan yang dilakukan, orang-orang yang terkena radioaktif itu merasa begitu hangat. Apa yang tidak kami sedari juga, air dan bahan-bahan yang kami makan itu juga telah terkena radioaktif.

Pada pukul 10 malam tersebut barulah orang-orang palang merah datang memberi kami bantuan. Pada waktu itu juga ibu bapa dari kawasan di luar Hiroshima datang melaung-laung memanggil nama anak mereka. Rupanya masa perang itu pelajar lelaki dihantar ke luar negeri untuk berperang. Pelajar perempuan pula dikerahkan supaya melakukan kerja-kerja membersihkan jalan dan bangunan di merata negara Jepun. Pada pagi 6hb. itu sekumpulan pelajar perempuan dari luar Hiroshima datang ke universiti membersihkan kawasan universiti. Mereka inilah yang dicari oleh ibu- ibu mereka pada malam itu.

Keesokan harinya apabila kami bangun, orang-orang Jepun yang datang menumpang bersama kami semuanya telah meninggal, hanya pelajar-pelajar asing yang bersama kami sahaja yang selamat. Salah seorang lagi rakan saya dari Tanah Melayu, Syed Omar Al-Saffoff, ipar kepada Profesor Ungku Aziz, juga terselamat. Ayam yang tertambat semalam juga mati.

Pagi itu saya mulalah mencari kawan kami Nik Yusof yang telah pergi ke bandar bersama warden kami. Saya mencarinya di hospital tetapi apa yang saya temui di hospital ialah di tempat itulah paling banyak mayat yang bergelimpangan. Saya dapat mengenali mayat warden kami Mr. Nagahara, kerana saya kenalkan tali pinggangnya tetapi saya tidak dapat bertemu dengan Nik Yusof.

Akhirnya saya balik semula ke tempat perkhemahan dan duduklah kami di kawasan universiti itu selama seminggu. Beberapa orang Jepun yang terselamat memberi kami makan yang telah dikambuskan dalam tanah. Rupanya memang adat orang Jepun apabila pada zaman darurat mereka akan menyimpan bahan-bahan makanan mereka terdiri dari ubi-ubi dan beras dengan membuat lubang di dalam tanah. Kami sedar yang kami tidak boleh lagi makan bahan makanan yang telah terdedah dengan radioaktif itu.

Selepas seminggu itu kerana tiada juga bantuan dari Tokyo datang akhirnya, seorang Jepun mempelawa kami tinggal di rumahnya kira-kira 30 kilometer dari Hiroshima.

Semasa itu Syed Omar telah mula demam dan dalam perjalanan ke Tokyo pula dia telah semakin teruk. Akhirnya kami membuat keputusan untuk menigggalkan dia di Kyoto kerana di sana ada asrama dan doktor yang boleh membantunya.

Saya balik ke Tokyo dan diarahkan supaya pergi ke hospital untuk rawatan. Saya didapati kekurangan sel darah putih dan setiap hari saya diberi suntikan untuk menambahkan sel darah putih dan setiap hari saya diberi suntikan untuk menambahkan sel darah putih yang kekurangan. Rupanya salah satu bahana radioaktif ini ialah kekurangan sel darah putih.

Sebulan kemudian kami mendengar berita yang rakan kami Syed Omar telah meninggal dunia.

Selepas perang tamat, kami balik ke Malaysia.

Pada tahun 1984 dan 1987 ketika saya melawat Jepun saya pergi menziarahi kubur Syed Omar dan juga Nik Yusof. Dari cerita seorang profesor dari Universiti Hiroshima yang terselamat, katanya mereka telah menemui satu bungkusan tulang tercatat nama Nik Yusof dari Malaya yang diletakkan di sebuah kuil. Bungkusan tulang ini telah dikebumikan dan dicatatkan nama Nik Yusof. Menurut sami yang menjaga kuil tersebut, segala mayat-mayat yang ditemui di hospital tersebut telah dihantar ke kuil tersebut untuk dibakar dan salah satu mayat itu tercatat nama Nik Yusof.

Syed Omar yang nampak sihat ketika bersama-sama kami dahulu rupanya menerima akibat dari bahan radioaktif itu tanpa kami sedari. Menurut doktor yang menjaganya di Kyoto, lima hari dia sakit, dagingnya pecah dan merekah. Mereka cuba menyelamatkannya dengan memberi darah mereka sendiri tetapi tidak berjaya.

Semasa menonton pertujukan video dokudrama yang dihasilkan oleh NHK, korporat Penyiaran Jepun, ada ditunjukkan babak yang menggambarkan Haji Abdul Razak mengunjungi kubur Allahyarham Syed Omar. Sebuah puisi ciptaan seorang penyajak Jepun telah dicatatkan pada batu nisannya. Satu barisnya ada mencatatkan, "Syed Omar, anda gugur kerana kami".


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location