Disambut Meriah Ketika Di Jepun

Sumber: Bacaria, 6 Januari 1999
  
Oleh:Sharifah Salwa

Selepas kematian ayah, Cikgu Razak dan juga ibunya mengambil keputusan berpindah ke Kuala Lumpur. Di sana beliau tinggal bersama abangnya seorang peniaga di Kampung Baru. Selepas tamat persekolahan, Cikgu Razak telah menjadi guru sekolah Melayu. Disebabkan paksaan dari tentera Jepun itu juga Cikgu Razak mahir membaca dan bertutur bahasa Jepun setelah tiga bulan bertungkus lumus belajar. - Pengarang

Selama setahun Cikgu Razak berada di Marei Koa Kunrensho, (Institut Pendidikan Jepun) enam bulan sebagai pelajar dan enam bulan lagi sebagai penolong tenaga pengajar di tempat tersebut. Kebetulan di Marei Koa Kunrensho kekurangan tenaga pengajar dan Cikgu Razak telah diminta untuk membantu.

"Keputusan peperiksaan saya cemerlang dan melihatkan keadaan itu, pihak Jepun memberi arahan agar saya terus tinggal di sana untuk membantu guru di institut berkenaan. Saya terpaksa menerima. Kalau tidak terima lagi teruk dikerjakan. Selama enam bulan saya di sana, saya menjadi penolong kepada guru disana". Kebetulan cikgunya adalah tentera Jepun sendiri.

"Nasib baiklah mereka dapat menerima kehadiran saya dengan tangan terbuka. Mereka dapat menerima saya dan banyak membantu saya selama berada di sana," kata Cikgu Razak lagi.

Selepas tamat tempoh enam bulan, Cikgu Razak telah diarah kembali ke Kuala Lumpur dan dia kembali bertugas di Jabatan Pelajaran Jepun selama dua tahun bermula 1941 hingga 1942.

"Saya diberi amanah menjadi guru dan mengajar bahasa tersebut kepada sekolah- sekolah di Kuala Lumpur. Sekaligus saya juga bertanggungjawab membuat program- program berkaitan Bahasa Jepun untuk pelajar-pelajar sekolah sekitar Kuala Lumpur,"jelasnya lagi.

Dua tahun bergelumbang dengan buku-buku dan pelajar, akhirnya Cikgu Razak membuat keputusan nekad. Hasratnya untuk melanjutkan pelajaran mulai terbit di hatinya dan dia telah mengutarakan hasrat tersebut kepada tentera Jepun.

"Permohonan saya diterima, tetapi sebelum itu saya harus kembali ke Marei Koa Kunrensho di Melaka selama dua bulan untuk membuat persediaan sebelum ke Jepun.

"Bersama saya ada seramai 15 orang pelajar dan dengar ceritanya hanya yang terbaik akan dihantar ke Universiti Hiroshima, Jepun. Masa tu punyalah bimbang, manalah tahu sudah penat lelah belajar, tak dapat ke sana pula. Selepas pemilihan dibuat, saya bersama tiga lagi rakan terpilih untuk ke sana," kata Cikgu Razak bangga.

Jelasnya lagi, dia bersama tiga lagi rakannya telah ditempatkan di Kakusai Gakuyukai, Tokyo (Institut Pelajar Antarabangsa Tokyo) selama setahun. Di sana, bukan saja pelajar dari Malaya, tapi juga hampir seluruh dunia termasuk Indonesia, Filipina, Singapura dan Brunei berkampung di sana.

"Setelah setahun saya dan rakan-rakan ditempatkan di situ, akhirnya kami dibawa ke Hiroshima Bunri Daigaku, Japan (Universiti Hiroshima, Jepun pada 1944 hingga 1945.

"Hanya kami tiga orang saja pelajar Melayu, iaitu Nik Yusof dari Kelantan, Syed Omar Syed Mohamad Al-Saqqaf dan saya. Tapi ketika di sana ada seorang pelajar Melayu yang berasal dari Brunei iaitu Pengiran Yusof," jelasnya mengingatkan kenangan sewaktu berada di sana. Katanya lagi, pelajar-pelajar Melayu diletakkan di kelas khas tanpa bercampur dengan pelajar yang lain.

Bila sampai di Hiroshima, keadaannya aman dan mereka disambut dengan penuh adat oleh penduduk setempat. kebanyakan penduduk Jepun begitu ramah dan pandai menghormati tetamu. Tetapi berlainan dengan tentera Jepun yang berada di tanah air.

"Mereka ini pandai menghormati tetamu. Sikap mereka yang peramah itu membuatkan kami tidak merasa bimbang berada di bumi orang. Itu yang saya puji sebenarnya, keadaan hidup di Jepun amat berlainan dengan apa yang pernah dialami di Tanah Melayu.

"Askar-askar Jepun di Tanah sana tidak. Bila saya bertanya kepada mereka, mereka menjawab yang datang ke Tanah Melayu itu bukanlah seratus peratus tentera Jepun tapi kebanykannya tentera Korea dan Cina. Waktu itu barulah saya berfikir mengapa kami di sini disambut dan di hormati," kata Cikgu Razak.

Menurut Cikgu Razak, hampir setiap hari bumi Hiroshima dibom oleh tentera British. Katanya, pada 6 Ogos 1945 keadaan yang aman itu telah dicemari oleh bunyi letupan bom atom. Waktu itu katanya dia bersama dua lagi rakannya sedang belajar matematik di bangunan kayu dua tingkat.

"Hanya kami berdua saja pelajar di kelas tersebut bersama seorang professor Jepun yang bernama Tode. Ketika sedang belajar itulah kedengaran bunyi siren. Dengan pantas kami keluar dan masuk ke dalam lubang perlindungan yang telah disediakan. Sebenarnya kami telah dilatih untuk menghadapi situasi yang bakal menjelma secara tiba-tiba. Kami sudah tahu apa yang harus dilakukan.

"Kami tunggu juga takut-takut ada bahaya yang mendatang. 15 minit telah berlaku, tapi tiada apapun yang berlaku. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk pulang ke kelas dan menyambung pelajaran. Professor Tode juga turut masuk ke dalam kelas," jelas Cikgu Razak.

Tidak sampai beberapa minit selepas masuk ke kelas dan baru saja melabuhkan punggung ke kerusi, Cikgu Razak terlihat satu cahaya yang memancar di langit. Serentak dengan itu satu bunyi dentuman yang kuat dan terus meranapkan bangunan sekitar.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location