Syed Omar Akhirnya Pergi Jua

Sumber: Bacaria, 23 Januari 1999
  
Oleh:Sharifah Salwa

Keadaan tidak mampu diselamatkan lagi. Ramai penduduk sekitar yang tercedera dan terkorban. Keadaan ini mengharukan Cikgu Razak dan rakan-rakannya dan sedaya upaya bantu menyelamatkan mangsa tetapi kekurangan ubat dan makanan membataskan usaha tersebut. Selama seminggu mereka tinggal di pusat sementara akhirnya seorang penduduk Jepun menawarkan rumahnya untuk mereka berlindung. Tawaran itu betul-betul kena pada tempatnya. Dua minggu mereka di rumah tersebut, akhirnya bantuan daripada Tokyo telah tiba. Mereka mengambil keputusan ke Tokyo tetapi malang menimpa Syed Omar. - Pengarang

Dengan tiba-tiba keadaan Syed Omar membimbangkan. Waktu itu mereka dalam perjalanan ke Tokyo setelah bantuan keselamatan tiba di Hiroshima. Melihatkan keadaan Syed Omar Cikgu Razak mencadangkan agar dia ditinggalkan di Kuito bersama Yusof Abdul Kadir, pelajar Jurusan Undang-Undang.

"Saya bimbang melihat keadaan Syed Omar. Jika diteruskan perjalanan, sudah tentulah keadaan sebaliknya berlaku. Bukannya kita menidakkan takdir Allah, tapi perjalanan ke Tokyo memakan masa yang lama, sedangkan Syed Omar bergelut dengan kesakitan.

"Kami terpaksa tinggalkan dia di sana. Mungkin ketika di Kuito nanti, Syed Omar akan mendapat pengawasan yang teliti dari doktor. Dan setelah diperiksa, doktor itu menyatakan keadaan Syed Omar agak tenat dan akibat dari bahang radioaktif. Sel darah merahnya mulai berkurangan, kerana radioaktif yang aktif dalam tubuhnya," katanya selepas sebulan diberi rawatan Syed Omar telah meninggalkan dunia. Berita itu telah disampaikan kepada Cikgu Razak oleh doktor yang merawat Syed Omar.

"Sepanjang sebulan Syed Omar berada dalam pengawasan doktor tersebut, dia diberi layanan yang sempurna. Disebabkan Syed Omar kekuarangan darah merah, maka doktor tersebut terpaksa memasukkan darahnya sendiri bagi menampung kekurangan darah dalam diri Syed Omar. Bila saya tanya mengapa dia melakukannya, doktor itu menjelaskan, dia terlalu kasihan melihat Syed Omar dan mungkin disebabkan peperangan yang berlaku dalam negaranya maka kami mendapat musibah.

"Sebelum meninggal dunia, Syed Omar bertegas tidak mahu pulang ke negara asal (Malaya) walaupun diberi tawaran oleh doktor berkenaan. Kata Syed Omar, dia telah menganggap doktor tersebut saudara sendiri kerana sudah terlalu banyak darah doktor itu mengalir dalam tubuhnya. Sebab itulah seboleh-bolehnya dia mahu mati di sisi doktor yang banyak berjasa kepadanya," jelas Cikgu Razak bersimpati dengan nasib yang menimpa dua rakan senegaranya.

Selepas itu jelasnya dia dan Pengiran Yusof telah berangkat dari Kuito menuju ke Tokyo. Sepanjang perjalanan Cikgu Razak banyak berfikir. Mengenai Syed Omar dan juga Nik Yusof. Mereka datang berempat dan tiga diletakkan di satu universiti, tetapi hanya dia saja yang terselamat dan kemungkinan berpeluang pulang ke tanahair.

"Hati mana yang tidak sedih. Nik Yusof tidak tahu kuburnya dan Syed Omar pula sedang bergelut dengan maut. Hanya yang sihat di kala itu adalah saya dan juga Pengiran Yusof. Tapi Pengiran Yusof orang Brunei.

"Nampak gayanya hanya saya keseorangan balik ke Malaya. Waktu itu punyalah sedih, tapi semua itu ada hikmah disebaliknya. Sememangnya saya bersyukur kerana terselamat dari tragedi tersebut. Perasaan ingin balik makin meluap apabila saja kami sampai di Tokyo. Tidak sabar rasanya ingin menatap wajah ibu dan yang paling penting, sudah tentulah ibu akan menangis melihat saya masih hidup," katanya.

Setiba mereka di bandar Tokyo, mereka telah disambut dengan penuh kemeriahan. Ada juga di antara penduduk setempat mengalirkan air mata, melihatnya dan Pengiran Yusof terselamat dari tragedi tersebut.

"Kebanyakan daripada mereka menyatakan kekesalan masing-masing kerana kami turut terbabit dengan kemelut yang melanda negara mereka. Ada di antara mereka memohon maaf dan banyak juga yang menghulurkan simpati," katanya dalam tiga hari saja segalanya menjadi musnah. Bom dijatuhkan pada 6 Ogos 1945 dan Jepun menyerah kalah tiga hari kemudian.

"Segalanya bagaikan mimpi buat saya dan Pengiran Yusof. Selama tiga hari kami bertungkus lumus membantu mangsa yang terbabit. Segala yang tenang menjadi huru-hara. Ibu bapa kehilangan anak-anak dan rumah tangga dalam sekelip mata. Kalau difikirkan membuatkan saya tidak mempercayai apa yang berlaku.

"Apabila melihat ketiadaan Nik Yusof dan Syed Omar, barulah saya terasa kebenaran yang terpampang di hadapan saya," katanya selepas tinggal beberapa minggu di Tokyo, Kerajaan Jepun telah menawarkan kepada kami supaya meninggalkan Negara Jepun dan kembali ke tanahair.

"Saranan itu saya sambut dengan penuh kesyukuran. Peristiwa yang berlaku benar-benar menggugat semangat saya dan diharap ketika di tanahair kenangan itu akan dapat dilupakan, biarpun saya tahu memang sukar berbuat demikian.

Kadangkala saya berterima kasih kerana diberi pengalaman yagn berharaga ini. Mana ada yang berpeluang untuk melalui detik-detik cemas dan saya akan simpan ia sebagai nostalgia negara Jepun. Sebelum mereka menyerah kalah, salah seorang daripada askar berkenaan berkata, negara Jepun akan membangun kembali. Tunggu dan lihat. Dan rasanya kata-kata tersebut telah menjadi kenyataan kini.

"Lihatlah pembangunan negara Jepun dulu telah menjadi kenyataan. Tidak sampai beberapa dekad, Jepun kembali maju. Tetapi yang pasti, negara Jepun khususnya penduduk negara itu tidak akan melupakan apa yang telah berlaku kepada negara mereka suatu ketika dulu," katanya.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location