Kesan Bisa Sengatan Serangga Himenoptera - Lebah

Oleh: Rosman Ahmad
          Dewan Kosmik
          Ogos 1996

HAIWAN dan tumbuh-tumbuhan biasanya mempunyai cara semulajadi bagi melindungi diri daripada serangan pemangsa lain. Contohnya ada sesetengah haiwan yang boleh mengubah warna badannya menyerupai warna sekelilingnya, ada pula yang mempunyai keupayaan berlari dengan pantas, memanjat pokok dan sebagainya. Tumbuhan pula mempunyai cara yang berbeza untuk mempertahankan diri. Ada yang mempunyai batang dan daun yang keras, bergetah, berduri, mempunyai racun serangga semulajadi dan ada sesetengahnya pula mempunyai rasa dan bau yang busuk. Kebanyakkan serangga juga mempunyai keistimewaan tersendiri untuk mempertahankan diri mereka. Ada yang menggigit, mengeluarkan bau busuk malah terdapat satu kumpulan serangga yang mempunyai sistem pertahanan diri yang membuatkan mereka digeruni oleh pemangsa atau haiwan lain iaitu SENGAT.

Serangga jenis ini tergolong dalam kumpulan Himenoptera terdiri daripada lebah, angkut-angkut, tebuan, peringat, penyengat, kerenggaa dan semut. Kecuali semut dan kerengga, semua serangga dari kumpulan ini mempunyai sengat di bahagian hujung nadannya yang bersambung kepada satu pundi racun melalui satu duktus (sejenis saluran). Di Amerika Syarikat dianggarkan antara 40-50 kematian berpunca daripada alahan terhadap bisa sengatan himenoptera berlaku setiap tahun. Jumlah yang sebenarnya mungkin berkali ganda jumlah ini, memandangkan dalam sesetengah kejadian, sebab kematian telah disalah anggap sebagai serangan jantung.

Lebah hidup dalam satu koloni yang biasanya mempunyai ahli di antara 50,000 - 70,000 bagi spesies lebah hutan dan antara 2,000 - 16,000 ahli bagi spesies yang diternak. Tiap-tiap satu koloni lebah diketuai oleh permaisuri lebah. Dalam satu koloni, semua tugas mencari makanan ataupun mempertahankan sarang dilakukan oleh lebah betina yang merupakan dua pertiga daripada keseluruhan ahli koloni tersebut.

Kebiasaannya, lebah hanya menyengat apabila sarangnya diganggu terutamanya selepas telur-telurnya menetas menjadi larva. Apabila menyengat, sengat lebah yang berdiru berserta dengan pundi bisa akan melekat pada tubuh mangsa. Lebah hanya berupaya menyengat sekali sahaja kerana selepas menyengat ia akan mengalami luka besar pada badannya dan seterusnya menyebabkan kematian. Walaupun telah tertanggal daripada badan lebah, otot pada pundi racun tersebut masih lagi berdenyut. Ini membolehkan lebih banyak bisa disuntikkan ke tubuh mangsa. Sengat dan pundi bisa tersebut perlu dibuang dengan segera, untuk mengurangkan kesan bisa sengatan. Ini kerana pundi bisa mengambil masa di antara 2 - 3 minit untuk menyuntikkan kesemua bisa ke tubuh mangsa. Sebaik-baiknya cara untuk membuang sengat lebah ini ialah dengan mengikisnya menggunakan mata pisau, kuku atau benda tajam yang lain. Jangan sekali-kali gunakan tweezer (penyepit) untuk mencabut sengat tersebut kerana dengan memicit pundi bisa tersebut, lebih banyak bisa akan disuntik ke tubuh mangsa dengan sekaligus.

Selain daripada bisa, serangga jenis ini juga akan meninggalkan sejenis bahan kimia lain, dipanggil ptremone pada tubuh mangsanya. Bahan kimia ini menghasilkan bau yang bertindak sebagai amaran kepada lebah-lebah lain tentang kehadiran musuh ataupun sebagai tanda sasaran serangan kepada lebah-lebah di dalam kumpulan tersebut.

Komplikasi yang biasa dialami berikutan sengatan himenoptera adalah alahan. Kesan dan jangka masa tindakbalas alahan adalah berbeza-beza di antara seseorang individu dengan individu yang lain kerana ia bergantung kepada tahap alahan seseorang individu itu. Malah kesannya terhadap seseorang individu itu juga berbeza bergantung kepada bilangan sengatan pada tubuhnya. Sekiranya mangsa tersebut hanya disengat oleh seekor lebah, dia hanya akan mengalami gangguan pernafasan. Kesan reaksi setempat akan terjadi dalam masa beberapa minit selepas disengat. Mangsa akan mengalami bedan, rasa gatal, sakit, ruam seluruh badan dan bengkak kemerahan pada tapak sengatan dan kawasan sekelilingnya. Kesan ini akan hilang dalam masa beberapa jam hingga ke beberapa hari selepas sengatan.

Alahan terhadap sengatan himenoptera berbeza dengan alahan jenis lain kerana ia mampu menyebabkan gangguan pernafasan dan sistem peredaran darah dalam badan. Keadaan ini dikenali sebagai kejutan anafilaksi. Reaksi sistemik ini merupakan tindakbalas umum yang terjadi beberapa minit selepas terkena sengata. Di antara tanda-tanda awalnya ialah kulit menjadi kemerahan diikuti dengan ruam gatal dan dalam kes yang serius mangsa mungkin mengalami kesukaran bernafas, mual, muntah-muntah, sakit pada bahagian perut, dengupan jantung menjadi pantas dan pitam. Sekiranya tindakbalas alahan berlaku dengan pantas, ini menunjukkan bahawa kes tersebut adalah serius dan mangsa memerlukan rawatan pakar perubatan dengan segera. Dr. Henry Riches dalam ulasannya yang bertajuk Hipersensitivity of Bee Venom yang diterbitkan dalam majalah Bee World, Vol. 63, Number 1, pp 7 - 72 mencadangkan penggunaan ubat adrenalin dalam kes sengatan himenoptera. Namun begitu ia bergantung kepada tahap keparahan mangsa tersebut. Mangsa yang mengalami kesan kejutan anafilaksi akan mendapat manfaat daripada suntikan adrenalin secara intra-otot.

Kesan anafilaksi biasanya berlaku dalam masa beberapa saat atau minit selepas terkena sengatan. Gejala yang biasa adalah kesukaran bernafas, rasa mual, muntah-muntah dan tekanan darah menurun yang boleh mengakibatkan kematian. Pada kebiasaannya ia berlaku apabila badan menjadi pedih (sensitisasi) setelah sedikit bahan alergen yang terkandung di dalam bisa memasuki tubuh melalui sengatan lebah buat kali pertama. Sistem pertahanan badan pada ketika itu akan bertindakbalas dengan mengeluarkan antibodi bagi bertindakbalas menyerang bahan alergen tersebut. Ini akan menyebabkan sistem pertahanan badan menjadi lebih peka (hipersensitif) kepada bahan tersebut. Jika didedahkan semula kepada bisa tersebut, bisa yang memasuki sistem tubuh akan bergabung dengan antibodi yang terhasil daripada sengatan terdahulu. Ini akan menyebabkan siri reaksi dalam tubuh yang akan mengakibatkan alahan yang teruk.

Kebiasannya, sengatan sensitisasi ini tidak disedari oleh mangsa kerana tiada kesan alahan yang teruk berlaku pada sengatan pertama. Mangsa hanya akan mengalami reaksi setempat sahaja. Keupayaa hipersensitisasi terhasil daripada sengatan sensitisasi ini mampu bertahan untuk beberapa bulan hinggalah kepada beberapa tahun. Sekiranya mangsa disengat lebah dalam tempoh ini besar kemungkinan mangsa akan mengalami kejutan anafilaksi.

Mangsa yang pernah disengat oleh serangga himenoptera mempunyai 60% kemungkinan mengalami kesan kejutan anafilaksi sekiranya disengat sekali lagi. Ini berbeza dengan mangsa yang diserang oleh sekumpulan lebah. Sengatan lebah pertama merupakan sengatan sensitisasi. Sengatan lebah kedua dan seterusnya pula merupakan pendedahan semula mangsa terhadap bisa lebah yang mana besar kemungkinan akan menyebabkan mangsa mengalami kejutan anafilaksi.

 

Petua mudah bagi mengelakkan diri daripada terkena sengat
  • Pakailah pakaian berwarna lembut kerana pakaian berwarna terang ataupun bercorak bunga-bunga akan menarik perhatian lebah. Sentiasa memakai baju berlengan panjang dan juga seluar panjang apabila berkebun ataupun memasuki kawasan semak.
  • Elakkan daripada memakai barang kemas yang berkilau.
  • Pakailah topi dan kasut (bukan skandal).
  • Elakkan daripada memakai sebarang bahan dandanan rambut, pewangi, bedak dan sebagainya yang boleh menarik perhatian lebah atau tebuan.
  • Pakailah pakaian yang bersih. Bau peluh sering menyebabkan serangga penyengat marah.
  • Tutup seluruh badan seboleh mungkin.
  • Sentiasa berjaga-jaga ketiak berada di taman bunga.
  • Sekiranya anda makan di luar rumah, sentiasa tutup makanan dengan kemas terutamanya buah-buahan masak ataupun minuman ringan.
  • Kutip lebihan makanan di tempat perkelahan, buangkan ke dalam tong sampah dan tutup dengan kemas.
  • Jika anda diserang oleh serangga penyengat, masuklah ke dalam rumah, kawasan yang teduh ataupun terjun ke dalam air. Jangan berlari secara mengejut sebaliknya berjalan perlahan-lahan kerana pergerakan yang mengejut akan menarik perhatian serangga tersebut.
  • Sekiranya anda sensitif terhadap sengatan lebah, tangkap, simpan dan kenalpasti serangga yang telah menyengat anda. Ini penting unutk tujuan pengenalpastian serangga tersebut dan ubat yang sesuai untuk merawat anda sekiranya timbul kerumitan.

Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location