Keracunan Logam Berat Plumbum (Bahagian 2)

Oleh: Razak Hj. Lajis
         Dewan Kosmik
        Oktober 1996

Tanda-tanda Keracunan Plumbum

KEHADIRAN plumbum akan menyebabkan kesan toksik kepada beberapa organ dalaman tubuh. Apabila plumbum diserapkan ke dalam sistem tubuh, ia mempunyai kebolehan untuk menghalang fungsi-fungsi biasa organ di dalam badan.

Pendedahan terhadap plumbum secara berulang-ulang akan meningkatkan lagi kandungannya di dalam tubuh. Tubuh tidak mempunyai cara yang berkesan untuk membuang plumbum. Dengan itu, kebanyakan plumbum akan tersimpan di dalam tubuh terutama di dalam tulang dan buah pinggang. Kesan toksik plumbum selalunya timbul selepas pendedahan yang panjang terjadi.

Tanda-tanda keracunan plumbum di dalam semua peringkat umur adalah tidak spesifik dan sering berlaku tanpa disedari. Gejala keracunan yang lebih jelas hanya ditunjukkan apabila terdapat kandungan plumbum yang tinggi dalam darah. Pada paras kepekatan di bawah 25 mikrogram/100 ml, tiada gejala yang khusus dapat diperhatikan walaupun terdapat kajian yang mengaitkan kepekatan ini dengan kelakuan aneh serta penurunan tahap (IQ) pada kanak-kanak. Pada kepekatan di antara 25 hingga 50 mikrogram/100 ml pula, gangguan buah pinggang dilapurkan berlaku. Ia juga berupaya melembabkan halaju konduksi saraf. Gejala-gejala seperti kekurangan darah, gangguan usus seperti sembelit dan koliks sering berlaku apabila kepekatan plumbum dalam darah meningkat hingga 70 mikrogram/100 ml. Keracunan yang serius berlaku apabila kepekatan plumbum dalam darah melebihi 70 mikrogram/100 ml. Kebanyakan kes ensefalopati (sejenis penyakit otak) terjadi apabila kepekatan plumbum darah meningkat sehingga 100 mikrogram/100 ml.

Pelbagai kajian telah dibuat tentang jumlah kepekatan plumbum yang dibenarkan berada di dalam darah tanpa menimbulkan masalah yang serius terhadap seseorang itu. Sehingga tahun 1991, kepekatan sehingga 30 mikrogram/100 ml darah adalah dianggap selamat dan boleh diterima. Walau bagaimanapun beberapa gangguan di dalam fungsi-fungsi biokimia telah dilapurkan berlaku pada kepekatan yang lebih rendah. Akhir-akhir ini, terdapat beberapa kajian yang turut membincangkan kaitan penyakit darah tinggi dan sakit buah pinggang pada paras kepekatan plumbum yang lebih rendah. Selain daripada itu, terdapat juga lapuran yang menyatakan bahawa kepekatan plumbum di antara 10 hingga 15 mikrogram/100 ml dan selebihnya boleh menganggu dan melemahkan perkembangan psikomotor bagi kanak-kanak.

Para penyelidik bersependapat bahawa kanak-kanak adalah golongan yang lebih terdedah kepada bahaya keracunan plumbum. Salah satu sebabnya ialah plumbum mudah diserap oleh tubuh yang sedang berkembang. Di dalam tubuh kanak-kanak dianggarkan lebih kurang 50% plumbum yang termakan dapat diserap berbanding hanya 10% di dalam tubuh orang dewasa. Oleh itu, seseorang kanak-kanak yang terdedah kepada plumbum pada sukatan yang sama seperti orang dewasa akan mengalami kesan yang lebih teruk berbanding dengan dewasa. Kadar penyerapan ini meningkat sekiranya seorang kanak-kanak itu mengalami kekurangan zat makanan terutamanya zat besi, kalsium dan zink.

Pendedahan yang berterusan terhadap plumbum walaupun di dalam jumlah yang kecil kepada kanak-kanak boleh mengakibatkan kerosakan yang cuma kelihatan ketika kanak-kanak tersebut mula menunjukkan keupayaan belajar. Pada kepekatan yang rendah, bagi kanak-kanak yang berumur dari satu hingga lima tahun, tanda-tanda awal yang ditunjukkan ialah rasa kurang selera makan. Masalah lain yang mungkin dihadapi ialah rasa gelisah, kerap muntah dan tidak minat bermain. Kesan yang lebih serius termasuk muntah-muntah yang berlarutan, rasa lemah urat saraf, sawan dan koma.

Keracunan plumbum boleh menyebabkan seseorang kanak-kanak tersebut mengalami kerosakan sistem saraf pusat dan otak. Ini akan menjejaskan perlakuannya di samping berupaya menimbulkan masalah dalam proses pembelajarannya. Perkembangan fizikal juga akan turut terencat. Kesan keracunan plumbum ini juga sering dikaitkan dengan masalah pendengaran dan kerosakan buah pinggang terhadap mangsanya. Di dalam kandungan yang tinggi, plumbum boleh menyebabkan buta, kerosakan otak dan boleh membawa maut.

Pendedahan kanak-kanak terhadap plumbum juga boleh berlaku secara tidak langsung. Menurut beberapa lapuran, wanita mengandung yang mempunyai kadar plumbum dalam darah sebanyak 25 mikrogram/100 ml dapat mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal janin. Sekiranya seseorang wanita terdedah kepada kandungan plumbum yang tinggi semasa mengandung, perkembangan janin akan terganggu. Seorang perempuan mengandung yang telah terdedah kepada plumbum akan mempunyai simpanan kandungan plumbum yang tinggi di dalam tulangnya. Perubahan-perubahan metabolik yang berlaku di dalam tubuh semasa mengandung boleh menyebabkan simpana plumbum itu tadi dibebaskan ke dalam darah dan juga janin. Ini akan menyebabkab janin terdedah kepada kandungan plumbum yang tinggi. Pada tahap perkembangan janin yang lebih peka kepada plumbum berbanding orang dewasa, kandungan plumbum yang dianggap selamat dan boleh diterima oleh wanita mengandung dicadangkan agar tidak melebihi 10 mikrogram/100 ml.

Memahami keadaan ini, cadangan telah dibuat untuk mengkaji semula kepekatan yang dianggap selamat kepada semua peringkat umur. Selama ini kepekatan yang dianggap selamat untuk orang dewasa adalah lebih tinggi daripada kanak-kanak. Kini paras kepekatan ini mula diragui. Ini berikutan satu kajian yang dilakukan di Kolej Perubatan Harvard yang mendapati bahawa peningkatan plumbum dalam darah walaupun pada kepekatan yang dianggap kecil berupaya mengganggu fungsi buah pinggang. Satu kepekatan yang lebih tinggi dijangkakan akan meningkatkan lagi risiko kerosakan buah pinggang. Ada yang mencadangkan kepekatan itu diturunkan sehingga 7 mikrogram/100 ml.

Cara Pencegahan Dan Rawatan

Penentuan kandungan plumbum dalam tubuh boleh dilakukan dengan pelbagai cara yang melibatkan beberapa bentuk sampel untuk dianalisis. Antara sampel yang pernah digunakan untuk menganalisis kandungan plumbum dalam tubuh ialah rambut, kuku, urin dan darah. Sesetengahnya adalah lebih peka daripada yang lain. Setakat ini penentuan dengan cara menggunakan darah merupakan salah satu tatacara yang berkesan untuk menentukan sekiranya terdapat pengumpulan plumbum dalam tubuh. Cuma satu kelemahan utamanya yang telah dikenalpasti ialah ia mungkin memberikan satu bacaan yang tinggi sekiranya sampel darah diambil sebaik sahaja pendedahan berlaku. Ini disebabkan perseimbangan dengan tisu-tisu dalam badan belum berlaku. Terdapat satu teknik terbaru yang diperkenalkan untuk mengukur kandungan plumbum dalam badan yang diberitakan dapat memberikan kandungan plumbum yang lebih tepat lagi. Cara ini melibatkan pengukuran kandungan plumbum di dalam tulang kering dengan menggunakan tekanik sinar-X yang amat peka.

 

KumpulanKepekatan plumbum dalam darah (mikrogram/100 ml)Langkah-langkah perlu diambil
A kurang dari 10 Tidak dianggap mengalami keracunan plumbum. Tiada rawatan yang diperlukan untuk kumpulan ini.
B 10 - 14 Kumpulan ini perlu diberi perhatian. Penjejasan tahap kecerdasan boleh berlaku, walaupun kanak-kanak ini tidak menunjukkan sebarang tanda keracunan.
C 15 - 19 Kanak-kanak di dalam kumpulan ini perlu diberi tindakan khas seperti makanan seimbang dan program pendidikan untuk mengurangkan kepekatan plumbum. Ujian susulan diperlukan. Walaupun rawatan mungkin tidak diperlukan, namun kanak-kanak hendaklah diasingkan dari punca plumbum.
D 20 - 44 Kanak-kanak dalam kumpulan ini memerlukan penilaian perubatan dan perlu diasingkan dari punca pendedahan.
E 45 - 69 Kanak-kanak dalam kumpulan ini memerlukan pemerhatian perubatan termasuklah rawatan penawar dan penilaian persekitaran bagi menentukan punca plumbum
F melebihi 70 Kepekatan plumbum pada tahap bahaya. Rawatan perubatan dan pengasingan punca plumbum diperlukan segera.

Sumber: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat, 1991

Dari segi rawatan, terdapat beberapa jenis agen pengkelatan yang sering digunakan dalam menangani masalah keracunan ini. Agen-agen yang dimaksudkan ialah dimerkaprol (atau nama lain BAL), kalsium disodium versenat, penisilamin serta asid dimerkaptopurik. Walau bagaimanapun rawatan mestilah dijalankan dengan berhati-hati kerana agen-agen ini sendiri mempunyai kesan sampingan yang serius kalau pemberiannya tidak diawasi dengan teliti. Tahap kepekatan plumbum diperiksa dengan teliti sebelum sebarang bentuk rawatan perubatan diberikan. Selalunya pada peringkat awal, pengawalan dibuat dengan cuma mengenalpasti sumber plumbum dan mengasingkannya daripada mangsa. Program-program pendidikan diberikan sebagai salah satu usaha untuk mengawal agar pendedahan plumbum dapat dikurangkan. Kajian susulan yang lebih terperinci diperlukan sekiranya mangsa menunjukkan kepekatan plumbum yang tinggi dalam tubuhnya.

Memandangkan kanak-kanak merupakan golongan lebih terdedah kepada bahaya keracunan plumbum ini, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (Centres for Diseases Control and Prevention - CDC) yang bertempat di Amerika Syarikat telah mengeluarkan satu garis panduan sebagai langkah pendidikan, pencegahan dan rawatan ke arah menangani kes keracunan tersebut.

Usaha-usaha mestilah terus dijalankan untuk mengawal dan seterusnya mengurangkan kes keracunan plumbum terutamanya di kalangan kanak-kanak. Secara amnya, kita mestilah berusaha untuk mengenalpasti sumber-sumber plumbum yang berada di sekeliling kita dan menjauhkannya daripada terus terdedah kepada kanak-kanak. Sekiranya jika ia dapat dilakukan, sebahagian daripada masalah akan dapat diatasi. Walau bagaimanapun ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Komitmen dari semua peringkat adalah perlu.

Bagi kanak-kanak tumpuan mungkin boleh diberikan kepada kanak-kanak yang mungkin mengalami masalah kekurangan zat makanan dan persekitaran yang tercemar. Untuk orang dewasa, peraturan mengawalselia serta mengawasi tahap pendedahan yang mungkin mereka hadapi dalam tugas seharian mereka adalah mustahak. Tahap kesedaran masyarakat harus dipertingkatkan lagi. Sumber-sumber plumbum di persekitaran hendaklah dikenalpasti dan penjelasan tentangnya diperluaskan. Pendidikan berterusan mengenai sumber-sumber lain yang terdapat di persekitaran adalah langkah yang baik dalam menganjurkan penjagaan kesihatan dalam masyarakat. Pihak kerajaan dan bukan kerajaan seharusnya berganding tangan dalam mewujudkan satu usaha yang menyeluruh untuk mengurangkan sumber-sumber plumbum. Kita harus belajar daripada pengalaman. Satu perkara yang jelas ialah pencegahan adalah lebih murah daripada mengubati.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location