Kebaikan Berpuasa Dalam Menahan ketagihan Merokok dan Kesannya kepada Kesihatan

Oleh: Prof. Madya Mohd. Isa Abdul Majid
         Dewan Kosmik
         Februari 1997

SALAH satu cara untuk mengatasi ketagihan rokok seperti yang dibincangkan dalam buletin ini adalah dengan cara berpuasa. Berpuasa sangat digalakkan kerana dalam hal ini ia merupakan satu bentuk latihan keazaman serta kesungguhan di samping manjalani amalan berhenti merokok secara berperingkat-peringkat. Dari kajian mendalam dalam bidang perubatan, berpuasa dianggap sebagai suatu bentuk terapi semula jadi yang boleh mengatasi beberapa masalah akibat pemakanan tidak betul disebabkan lebihan makanan yang seringkali timbul di negara maju dan membangun. Di antara masalah ini termasuklah penggumpulan lemak di saluran darah (Atherosclerosis), tekanan darah meningkat (Hypertension) penyakit jantung alahan dan penyakit kencing manis (diabetes).

Merokok dapat disamakan sebagai proses memasukkan bahan beracun dengan cara hisapan ke dalam tubuh. Melalui menghisap sebatang rokok tidak kurang dari 3,800 jenis racun akan disedut ke dalam tubuh semasa seseorang itu merokok. Secara semulajadi, bahan racun yang dihisap masuk akan dikeluarkan dari tubuh melalui proses perkumuhan (ekskresi) air kencing, najis atau pernafasan.

Jika tabiat ini dilakukan secara berterusan setiap hari, maka jumlah racun yang dihisap akan melebihi jumlah yang berupaya dikeluarkan oleh badan. Ini akan menghasilkan penggumpulan bahan racun di dalam badan. Kalau kita mempertimbangkan cara kemasukan racun melalui saluran lain seperti makanan atau minuman maupun udara tercemar, maka pertambahan racun di dalam tubuh tidak dinafikan meningkat berkali ganda. Dalam mengurangkan beban bahan racun yang terkumpul dalam badan maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun melalui saluran pernafasan atau pemakanan. Oleh itu amalan berpuasa selain dari memenuhi tanggungjawab agama, bertujuan untuk mencegah kemasukan bahan racun. Selain itu membolehkan badan melakukan proses pembersihan racun yang sedia terkumpul dalam badan. Keadaan yang berlaku semasa berpuasa dapat diumpamakan sebagai memberi rehat kepada badan daripada bekerja pada maksimum dalam mengeluarkan bahan racun yang memasuki tubuh.

Dari sudut lain pula, salah satu aktiviti berpuasa mencegah diri daripada mengambil makanan selama hampir 14 jam yang membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar hempedu dan hati berehat dari aktiviti pencernaan makanan. Tambahan pula, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu dihadamkan akan berubah kepada lebih aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan.

Semasa berpuasa, bahan yang tersimpan di dalam badan akan disalurkan kepada bentuk yang lain yang digunakan oleh tubuh untuk mengekalkan fungsi badan. Sebagai contoh, semasa berpuasa, simpanan tenaga dalam bentuk glikogen di dalam badan akan ditukarkan kepada glukosa dan seterusnya dimetabolismakan untuk menghasilkan tenaga. Dalam hal ini, proses penggunaan bahan simpanan atau bahan yang sedia ada dalam tubuh dikenali juga sebagai proses asas pemulihan (detoxification).

Walaupun banyak kajian menunjukkan bahawa puasa dapat memulihkan sesetengah penyakit, terdapat juga keadaan penyakit yang boleh diburukkan dalam berpuasa. Dalam hal ini wajarlah pesakit tersebut mendapat perhatian dan pemeriksaan doktor sebelum memulakan puasa.

 Ibu mengandung
 Ibu yang masih menyusu anak
 Pesakit dengan kegagalan jantung Kongestif
 Pesakit Kanser
 Pesakit yang mempunyai ulser
 Pesakit yang menghadapi pembedahan

Jadual menunjukkan keadaan yang memerlukan pengesahan dari doktor sebelum melakukan puasa.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location