Penjagaan kesihatan Primer Lebih Popular

Oleh: Dr. Mohmed Izham Mohamed Ibrahim
          Dewan Kosmik
          Mac 1998

Sistem penjagaan kesihatan di negara ini sememangnya sedang mengalami perubahan yang drastik. Kes-kes kejadian penyakit berjangkit seperti malaria, denggi, kolera, tifoid, tuberkulosis, dan poliomielitis telah berkurangan dan terkawal manakala kes-kes penyakit kronik contohnya penyakit jantung, diabetis, hipertensi, asma dan kanser pula semakin meningkat. 

Perubahan cara hidup dan faktor perpindahan tempat tinggal serta kemasukan pendatang asing telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada status kesihatan di negara kita. 

Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan sektor kesihatan. Misalnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan sistem kesihatan di kawasan luar bandar supaya rakyat tidak bertumpu hanya kepada hospital-hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan serta perkhidmatan kesihatan yang lain. Ia juga bertujuan supaya setiap individu berpeluang mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Sebab itu sistem kesihatan primer jika dibandingkan dengan sistem sekunder di hospital dan sistem tertiar menerusi khidmat pakar adalah penting bagi negara kita. 

Menurut World Health Organisation (WHO), penjagaan primer boleh dikaitkan sebagai penjagaan kesihatan yang awal bagi individu mahupun keluarga sebelum mendapatkan rawatan lanjut di hospital atau berjumpa dengan doktor pakar. 

Pembangunan bidang farmasi klinikal dan sosial dalam profesion farmasi telah memberi peluang yang luas kepada ahli farmasi komuniti untuk mempergunakan ilmu dalam bidang-bidang tersebut dalam praktis mereka. Mereka boleh menumpukan skop aktiviti kepada penjagaan kesihatan primer dan mengamalkan konsep penjagaan farmasi. 

Selain daripada peningkatan kes-kes penyakit kronik, peningkatan bilangan golongan warga tua juga menyebabkan sistem penjagaan kesihatan primer menjadi amat penting. Golongan warga tua didapati mengalami penyakit kronik dan memerlukan banyak ubat-ubatan. Sebahagian daripada harga ubat-ubatan ini amat mahal manakala kos untuk mengubati penyakit ini juga tinggi. Inilah yang membuatkan masyarakat negara ini lebih gemar mengamalkan penjagaan kesihatan primer. Selain dapat mempraktiskan apa yang diketahui, ahli keluarga terdekat juga dapat mengeratkan struktur kekeluargaan kerana sifat ambil berat dan prihatin ahli keluarga yang lain kepada si pesakit. Kaedah ini juga secara psikologinya dikatakan mampu merawat pesakit. 

Status Kesihatan

Selain daripada itu, penunjuk-penunjuk kesihatan negara kita seperti statistik penting (vital statistics), menunjukkan kita masih perlu memperbaiki status kesihatan rakyat Malaysia. Maklumat-maklumat ini harus digunakan oleh ahli farmasi komuniti untuk memikirkan cara yang terbaik serta inovatif dalam menyumbangkan kepakaran mereka dalam menangani masalah kesihatan masyarakat di peringkat primer.

Sebagai ahli profesional kesihatan yang mempunyai tanggung jawab penting dalam menyumbang kepada penjagaan kesihatan primer, ahli farmasi komuniti harus menumpukan praktis farmasi berlandaskan perkara-perkara berikut:

Fokus kepada keperluan kesihatan individu dan keluarga

  1. Hubungan awal untuk penjagaan kesihatan
  2. Membekalkan sekurang-kurangnya 80 peratus penjagaan kesihatan yang perlu
  3. Menjadi penghubung kepada sumber penjagaan kesihatan sekunder dan tertiar
  4. Mudah dihubungi dan praktisnya boleh diterima dan disenangi oleh masyarakat sekeliling
  5. Aktif dalam aktiviti promosi kesihatan dan pencegahan penyakit

Oleh kerana, mereka mempunyai kepakaran dalam bidang ubat-ubatan, ahli farmasi komuniti mempunyai peranan yang penting dalam penjagaan kesihatan primer kerana peningkatan jumlah ubat yang poten serta mempunyai indeks terapeutik yang sempit, terapi ubat moden yang kompleks dan kejadian penyakit iatrogenik. Seorang ahli farmasi juga boleh membuat penilaian masalah ke atas pesakit dan membekalkan ubat ataupun bahan bukan ubat yang sesuai kepada ke atas pesakit berkenaan. Selain itu, ahli farmasi juga boleh menggalakkan aktiviti penjagaan kesihatan dan pengubatan diri sendiri di kalangan pesakit atau penghidap penyakit-penyakit yang ringan.

Farmasi penjagaan kesihatan primer merupakan peluang yang terbaik untuk ahli farmasi menonjolkan imej profesion serta memperlihatkan sumbangannya kepada rakyat dan negara. Perkara ini adalah realistik dan praktikal kerana masalah peningkatan kos penjagaan kesihatan, masalah peningkatan kes-kes penyakit kronik dan jumlah penduduk yang masih mendiami kawasan luar bandar (dianggarkan antara 40-60 peratus) adalah ketara. Oleh itu, ahli farmasi komuniti perlu menumpukan kepada aktiviti yang berkonsepkan penjagaan farmasi. Mereka perlu bersedia untuk memikul tanggungjawab mereka sejajar dengan perancangan dan pembangunan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia bagi mencapai "Health for All in the Year 2000" sebagai yang tercatat dalam Deklarasi Alma Ata.

 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location