Mendekati Promosi Kesihatan

Oleh: Dr. Mohmed Izham Mohamed Ibrahim
          Dewan Kosmik
          Julai 1998

Definisi kesihatan yang diutarakan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah: Kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya.

Takrifan ini sebenarnya melibatkan dua aspek penting dalam kesihatan iaitu aspek negatif (berpenyakit, tidak sihat, cedera, cacat atau tidak berdaya/lemah) dan aspek positif (kesejahteraan dari segi fizikal, mental dan sosial). Dalam kehidupan sehari-hari, individu, masyarakat atau ahli profesional sering menekankan aspek negatif dan mengabaikan aspek positif. Begitu juga dari aspek promosi kesihatan, kita sering menekankan aspek pencegahan penyakit dan kurang mempromosikan dimensi kesihatan yang positif dan menjurus ke arah kesejahteraan hidup.

Perbezaan di antara kedua-dua aspek kesihatan ini amat penting kerana ia dapat memastikan aktiviti promosi kesihatan adalah berkesan dan mencapai matlamatnya. Aktiviti promosi kesihatan seharusnya cuba mencegah penyakit atau keadaan tidak sihat dan pada masa yang sama ia harus mampu menggalakkan kesihatan yang positif pada individu atau masyarakat. Matlamat keseluruhan promosi kesihatan ialah mencapai keseimbangan di antara penggalak kesejahteraan dan pencegahan keadaan tidak sihat dari segi fizikal, mental dan sosial.

Promosi Kesihatan

Aspek promosi kesihatan telah mula diperkatakan sejak dua abad lalu tetapi hanya mendapat perhatian yang serius mulai tahun 1980an. Ia merupakan satu proses atau gerakan radikal yang menekankan kepada aspek sosial dan ekonomi. Aspek promosi kesihatan telah menonjolkan aspek kesejahteran kehidupan individu sebagai perkara asas dalam kesihatan masyarakat. Setiap individu, para profesional dan bukan profesional serta bukan agensi kerajaan atau kerajaan mempunyai peranan masing-masing dalam aktiviti promosi kesihatan.

Selain itu, dalam promosi kesihatan perlu menekankan aspek kesihatan yang positif. Kebanyakan individu masa kini mengambil tindakan positif untuk menjaga kesihatan dan bukan semata-mata hanya memberi respon terhadap tanda penyakit yang mereka alami.

Promosi kesihatan turut melibatkan pelbagai kaedah yang memudahkan individu mengekal dan menjaga kesihatan. Promosi kesihatan boleh didefinisikan sebagai tindakan yang menjurus kepada pembaikan atau perlindungan kesihatan menerusi perubahan tingkah laku, biologi, sosio-ekonomi dan persekitaran. Promosi kesihatan juga melibatkan bukan sahaja aktiviti penyebaran maklumat tetapi juga membabitkan perubahan untuk mempengaruhi aktiviti-aktiviti individu, kumpulan, masyarakat, pihak majikan dan pihak berkuasa tempatan.

Pendidikan Kesihatan

Aspek promosi kesihatan adalah berasal dari aspek pendidikan kesihatan. Bagi menentukan aktiviti promosi kesihatan tersebut berjaya dan mencapai matlamatnya, individu atau ahli profesional perubatan yang bertindak sebagai pendorong kesihatan (health promotion) harus memahami prinsip-prinsip serta konsep pendidikan kesihatan. Pendidikan kesihatan akan menggalakkan kesihatan positif dan mencegah keadaan tidak sihat atau penyakit melalui pengaruhnya terhadap kepercayaan, pengaruh, dan tingkah laku individu, kumpulan atau masyarakat. Oleh itu, peranan media massa dalam aspek pendidikan kesihatan amat berharga. Pendidikan kesihatan yang menumpukan kepada aktiviti-aktiviti di peringkat kumpulan atau masyarakat adalah sangat penting. Kaedah pendidikan kesihatan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:

Kaedah tradisional:
Lebih menekankan kepada aspek pencegahan dan kurang menekankan kepada aspek kesihatan positif
Kaedah peralihan:
Menggunakan imej atau gambar yang menakutkan individu atau masyarakat supaya individu atau masyarakat berkelakuan lebih rasional. Contoh: poster anti merokok atau anti dadah
Kaedah moden:
Menekankan kepada kedua-dua aspek; menggalakkan kesihatan yang positif dan mencegah kesihatan yang negatif. Kaedah ini menggunakan teori dan praktikal pendidikan moden

Aspek Pencegahan

Terdapat tiga tahap atau dimensi dalam aspek pencegahan:

  1. Pencegahan primer
  2. Pencegahan sekunder
  3. Pencegahan tertier

Pencegahan primer melibatkan tindakan individu untuk mencegah dari berlakunya penyakit atau ketidakupayaan atau kecacatan. Di antara contoh tindakan ialah imunisasi dan vaksinasi. Pencegahan sekunder pula melibatkan pengenalpastian di peringkat awal keadaan kesihatan seseorang individu. Di antara contoh yang sering dilakukan oleh individu ialah pemeriksaan perubatan dan fizikal untuk menentukan sama ada seseorang itu mengalami penyakit seperti diabetis (kencing manis), hipertensi (darah tinggi), atau kegagalan jantung. Individu juga sering melakukan pemeriksaan gigi atau mata untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Aspek pencegahan tertier pula membabitkan tindakan yang diambil untuk mengurangkan tahap ketidakupayaan individu akibat daripada penyakit yang sedang dialami olehnya. Contohnya, pesakit akan mengawal keadaan penyakit diabetisnya dengan mengambil ubat sebagaimana yang diarahkan oleh doktor serta mengawal diet (pemakanan) supaya individu itu tidak mengalami masalah retinopati (kerosakan mata), neuropati (kerosakan sistem saraf) ataupun nefropati (kerosakan buah pinggang) akibat daripada keadaan diabetis yang tidak terkawal.

Strategi-Strategi Ke Arah Promosi Kesihatan

  1. Dasar Kesihatan di Bawah Rancangan Malaysia ke-7

    Objektif kesihatan, strategi dan program di bawah Rancangan Malaysia 7 (RM7) akan memberi penekanan dari sudut promosi kesihatan, pencegahan penyakit, rawatan serta pemulihan dan pengekalan sistem kesihatan yang efisen dan adil. Kerajaan akan mempromosi cara hidup sihat di kalangan masyarakat. Sistem kesihatan di kawasan luar bandar akan dipermajukan. Sistem bekalan air dan sanitasi, program nutrisi dan imunisasi akan diperluaskan dan lebih ramai individu dijangka akan mendapat kemudahan tersebut. Lebih banyak hospital dan kemudahan kesihatan akan dibina. Kerajaan juga menggalakkan sektor kesihatan swasta berganding bahu dengan kerajaan untuk mencapai matlamat RM7. Usaha akan terus ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan menguatkan program kesihatan dan rawatan dengan memperbanyakkan perkhidmatan sokongan.

  2. Cara Pemakanan yang Sihat

    Statistik negara menunjukkan peningkatan kes-kes penyakit yang berkait rapat dengan corak pemakanan yang tidak sihat. Oleh itu, penekanan promosi kesihatan harus diberikan kepada tabiat dan cara hidup yang tidak sihat. Penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan darah tinggi masih menjadi punca utama (penyebab) kematian (15.5 peratus) di hospital-hospital kerajaan. Selain itu, sebanyak enam peratus daripada kematian pula disebabkan oleh penyakit diabetis (kencing manis). Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa lapan peratus daripada orang dewasa di negara ini mengalami masalah obesiti manakala 1/3 hingga 1/4 daripada masyarakat di negara ini pula mengalami masalah berat badan berlebihan. Sehubungan dengan aspek pemakanan yang sihat, kerajaan telah melancarkan kempen "Pemakanan yang Sihat" pada tahun 1997. Beberapa kaedah telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kempen tersebut berjalan lancar serta berkesan. Di antaranya ialah kerjasama di antara agensi kerajaaan dan bukan kerajaan serta badan profesional, menggunakan media massa untuk mendidik masyarakat, pengiklanan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah dan mempertingkatkan komunikasi interpersonal sama ada di klinik atau di peringkat komuniti.

  3. Konsep Teleperubatan

    Negara kita sedang menuju ke arah sistem penjagaan kesihatan yang bersepadu dan berintergrasi yang memberi tumpuan kepada promosi kesihatan, pencegahan penyakit dan penjagaan primer. Visi teleperubatan akan membantu mengubah perkhidmatan penjagaan kesihatan dan industri kesihatan ke arah globalisi untuk perkhidmatan, produk dan pendidikan kesihatan. Teleperubatan ini akan digunakan sebagai alat untuk menggalakkan serta tanggungjawab yang lain dari aspek penjagaan kesihatan diri sendiri.

  4. Aspek-Aspek Lain

    Kerajaan dalam usahanya mempromosi kesihatan banyak menekankan kepada amalan cara hidup sihat di kalangan masyarakat melalui kempen anti merokok, anti alkohol dan anti dadah. Di samping itu, kerajaan juga mengenakan penalti yang berat terhadap individu yang terlibat di dalam pergaulan atau aktiviti seks rambang. Masyarakat juga digalakkan hidup di dalam suasana aman dan harmoni dan menghindari daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan ketegangan mental. Sememangnya masalah-masalah yang telah diterangkan itu boleh menyebabkan kanser, AIDS dan tekanan jiwa.

    Aktiviti promosi kesihatan di kalangan masyarakat negara membangun seperti Malaysia perlu dipergiatkan terutamanya apabila kos penjagaan kesihatan semakin meningkat dan negara sedang mengalami masalah kegawatan ekonomi.

 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location