Swapengubatan dalam Penjagaan Kesihatan

Oleh: Prof. Dzulkifli Abdul Razak
          Dewan Kosmik
          September 1998

Salah satu daripada langkah untuk memelihara kesihatan adalah dengan menggunakan ubat-ubatan. Malah perubatan moden banyak bergantung kepada ubat-ubatan sebagai salah satu daripada strategi penting untuk merawat selain daripada menjaga kesihatan. Namun, penggunaan ubat-ubatan tidaklah semudah yang dijangkakan. Ini memandangkan ubat-ubatan mempunyai risikonya yang tersendiri dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh orang ramai tanpa mendapatkan nasihat tertentu. Apalagi sekiranya ubat berkenaan boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan yang amat merbahaya kepada si pengguna.

Walaupun demikian, terdapat juga beberapa jenis ubat yang boleh dikendalikan oleh pengguna sendiri tanpa perlu merujuk kepada pakar-pakar perubatan. Kumpulan ubat-ubatan ini dikenali sebagai OTC (over the counter). Pendekatan seumpama ini dikenali sebagai swapengubatan ataupun self-medication. Ini berlaku kerana ubat-ubat OTC mempunyai jurang keselamatan yang amat luas, yakni tidak mempunyai risiko yang tinggi jika digunakan dengan betul. Dalam keadaan ini peranan pengguna akan menjadi lebih aktif sebagai orang yang bertangunggjawab untuk menentukan apakah jenis ubat yang mereka perlukan dan sekaligus dapat membeli ubat-ubat tersebut di tempat yang bertauliah.

Kaedah swapengubatan ini bukanlah satu perkara yang baru. Ia diamalkan sejak turun-temurun dalam hampir semua budaya dan bangsa terutama apabila manusia berdamping rapat dengan alam semulajadi. Malah persekitaran mereka merupakan suatu warisan yang banyak mengandungi bahan ubat-ubatan semulajadi dalam bentuk tumbuh-tumbuhan mahupun haiwan serta sumber-sumber alam yang lain. 

Permulaan dari fenomena inilah wujudnya satu kefahaman antara manusia dengan alam tentang khazanah yang boleh digunakan untuk tujuan rawatan dan permeliharaan kesihatan. Lama-kelamaan ini menjadi satu cara hidup dan budaya yang dikenali sebagai perubatan tradisional. Budaya ini masih diamalkan dalam banyak lapisan masyarakat kita dan dikatakan mempunyai pengikut yang agak ramai. 

Namun demikian, aspek swapengubatan dari segi perubatan moden tidak mempunyai asas budaya dan amalan yang kukuh dalam masyarakat kita. Ini disebabkan beberapa faktor yang mendorong masyarakat kita lebih mudah menerima perubatan tradisional berbanding perubatan moden. Salah satu di antaranya adalah kerana ubat-ubatan moden tidak banyak difahami oleh rakyat jelata walaupun penggunaanya.

Perubatan Moden Kurang Mendapat Tempat

Ini sememangnya mempunyai kaitan yang kuat dengan cara bagaimana perubatan moden itu sendiri diperkenalkan kepada masyarakat kita. Keadaannya ternyata amat berbeza dengan pendekatan yang menggunakan ubat tradisional. Perubatan moden dianggap asing dan `tidak diiktiraf' sepenuhnya sebagai suatu yang berguna sehinggalah beberapa lama ianya diamalkan oleh sesebuah masyarakat itu. Satu lagi sebab mengapa perubatan moden tidak banyak dimengertikan oleh orang ramai adalah kerana sifat monopolinya yang wujud di kalangan pengamal-pengamalnya sendiri. Umpamanya orang-orang yang dianggap tidak mempunyai ilmu perubatan moden tidak langsung diberi pengiktirafan. Justeru itu, swapengubatan tidak juga diterima sebagai satu amalan oleh ahli perubatan moden. 

Hanya baru-baru ini berlakunya perubahan sikap kerana negara dilanda masalah kegawatan ekonomi. Rakyat terpaksa memperuntukkan wang untuk membeli barang perlu dan meminimumkan kos sara hidup. Memandangkan kos perubatan yang melambung tinggi, swapengubatan mula dianggap sebagai sesuatu yang wajar dan lebih murah tetapi memberikan pulangan yang sama untuk merawat penyakit. 

Selain itu, perkembangan perubatan semasa telah banyak menghasilkan ubat-ubatan yang jauh lebih selamat daripada ubat dekad-dekad sebelumnya. Kedua-dua faktor inilah yang membolehkan amalan swapengubatan berkembang. Orang ramai diberi peranan yang lebih aktif untuk merawat dirinya sendiri melalui pendekatan tersebut mengikut ramalan sesetengah pihak, amalan swapengubatan ini akan terus meningkat dalam abad yang akan datang terutama sekali apabila lebih banyak ubat -ubatan yang diletakkan di bawah kawalan ahli perubatan dijual secara terbuka di pasaran. Adalah penting bagi orang ramai memahami apakah sebenarnya swa-pengubatan dan bagaimana mereka boleh bertanggungjawab untuk menggunakan pendekatan ini sebaik mungkin untuk menjaga kesihatan masing-masing. Dengan kata lain, swa-pengubatan hanya akan sekaligus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. 

Kajian yang dilakukan di Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Sweden menunjukkan rakyat di negara tersebut telah bersedia untuk lebih bertanggungjawab dalam memelihara taraf kesihatan masing-masing. Malah 75 peratus daripada masalah kesihatan yang mereka hadapi kini diuruskan tanpa banyak mendapat bantuan profesional. Di Amerika Syarikat khususnya, 60 peratus daripada ubat-ubatan yang dibeli oleh rakyat Amerika Syarikat dikatakan adalah ubat-ubatan tanpa preskripsi, iaitu kumpulan ubat yang tidak memerlukan pengawasan terperinci daripada golongan profesional. Walaupun begitu, menurut pakar-pakar perubatan sedunia, kecenderungan ini dianggap akan menjadi satu fenomena sejagat dalam abad-abad yang akan datang. Malah, Malaysia melalui aplikasi tele-perubatan yang dirancangkan sebagai salah satu projek di bawah Koridor Raya Multimedia(MSC) akan memungkinkan juga rakyat kita lebih berperanan dalam menguruskan kesihatan mereka khususnya berkaitan dengan swa-pengubatan. 

Sebagai tindakan pro-aktif, pesakit dan para pengguna khususnya golongan yang terbabit digalakkan bertanya sebanyak mungkin sehingga mereka betul-betul faham tentang ubat yang akan digunakan. Sebagai satu perbandingan, misalnya apabila seseorang itu hendak membeli sebuah jam tangan, lazimnya mereka akan menentukan terlebih dahulu bukan sahaja jenis dan jenama jam yang akan dibeli, tetapi cara-cara jam itu berfungsi dan apa sahaja perkara yang boleh merosakkan jam tersebut termasuk bagaimana penjagaannya. Sifat ingin tahu sedemikian rupa sebaik-baiknya diamalkan juga apabila seseorang itu mengamalkan swa-pengubatan. Ini bermakna sikap dan juga tabiat seharian mesti mula ditukar untuk membolehkan swa-pengubatan dilakukan dengan sempurna. Mereka sekurang-kurangnnya mesti faham tentang perkara-perkara berikut sebelum mengamalkan swa-pengubatan: 

  1. Jenis dan nama ubat yang diperlukan
  2. Bagaimanakah ubat itu bertindak untuk mengatasi masalah yang dihadapi
  3. Dalam bentuk apakah (seperti ubat pil, ubat sedut, ubat sapu) yang paling sesuai digunakan untuk masalah yang hendak dirawat?
  4. Dalam kekuatan apakah ataupun sukatan apakah yng sepatutnya digunakan dan berapa kali sehari ianya patut digunakan?
  5. Apakah akan berlaku sekiranya seseorang itu lupa menggunakan ubat tersebut dan apa pula langkah yang perlu diambil untuk mengatasi hal sedemikian?
  6. Apakah risiko-risiko yang sering dihadapi dan bagaimana cara untuk mengatasinya?
  7. Apakah yang perlu dilakukan apabila seseorang itu mengalami:
    1. Kehamilan
    2. Menyusukan bayi
    3. Berusia agak lanjut (65 tahun keatas)
    4. Menghadapi penyakit-penyakit lain
    5. Menggunakan ubat-ubat lain
  8. Berapakah harga ubat tersebut?
  9. Adakah ubat-ubat jenis lain boleh digunakan sebagai ganti sekiranya kosnya terlalu tinggi ataupun ubat tersebut didapati tidak serasi kepada penggunanya?
  10. Dimanakah pengguna boleh mendapat maklumat lanjut sekiranya mereka menghadapi sebarang kecemasan akibat penggunaan ubat itu? 

Hanya setelah soalan-soalan seumpama itu terjawab dan difahami sepenuhnya, barulah seseorang itu bersedia untuk mengamalkan swa-pengubatan. Jika tidak, kemungkinan besar amalan ini akan menimbulkan pelbagai gejala yang tidak diingini kerana maklumat yang diperolehi mengenai ubat yang diambil tidak mencukupi.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location