Kaedah Melegakan Rasa Sakit (Bahagian 1)

Oleh: Razak Hj. Lajis
          Dewan Kosmik
          Mac 1999

KEWUJUDAN deria rasa sakit dalam tubuh ialah bagi menyediakan satu tanda amaran kemungkinan berlakunya kecederaan. Ia juga merupakan satu bentuk mekanisme perlindungan dan peringatan kepada seseorang supaya tidak membuat atau mengulangi sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kecederaan. Ketahanan seseorang terhadap rasa sakit adalah berbeza antara individu walaupun terdedah pada situasi yang hampir sama. Bagi mereka yang tidak langsung mempunyai deria sakit, mungkin akan menghadapi situasi yang membahayakan.

Tanpa petunjuk ini, sesorang itu tidak mungkin mengetahui sama ada anggota tubuh atau organ mereka mengalami sebarang kecederaan dan memerlukan rawatan. Mereka tidak peka terhadap apa yang terjadi pada diri sehinggalah keadaan menjadi lebih teruk.

Dalam keadaan biasa, sakit terhasil daripada reseptor pinggiran yang dirangsang, menyalurkan isyarat-isyarat melalui sistem sarag ke otak.

Apabila kecederaan terjadi, isyarat-isyarat tersebut disalurkan melalui saraf yang berkaitan ke otak dan seseorang itu akan menderita kesakitan. Sekiranya laluan ini dihalang atau penghantar isyarat tersebut di halang pengeluarannya, rasa sakit akan turut terhalang. Malah pendekatan umum untuk merawat atau melegakan sakit ialah dengan mengetahui sebab sakit terjadi lalu membuangnya atau dengan menimbulkan suasana di mana isyarat sakit tersebut dapat dihalang daripada sampai ke otak.

Terdapat beberapa pendekatan yang digunakan untuk merawat sakit. Ini bergantung kepada jangka masa sakit yang dihadapi, tempat yang sakit, teruk atau tidak dan bagaimana sakit itu terjadi. Selain daripada rawatan yang berasingan, gabungan beberapa cara rawatan dikenalpasti mampu meningkatkan keberkesanan rawatan. Walaupun rawatan dengan menggunakan ubat merupakan kaedah yang kerap diamalkan, tetapi kaedah lain seperti kaedah terapi psikologi, tingkah laku dan fizikal terutamanya terapi-fisio juga dapat meringankan rasa sakit. Misalnya, terapi-fisio yang merangkumi rawatan secara mengurut dan penggunaan suhu panas serta sejuk dapat memberikan keselesaan terhadap mangsa.

Pelbagai jenis ubat atau kumpulan ubat juga turut digunakan untuk melegakan sakit. Pilihan ubat untuk tujuan ini bergantung kepada gejala-gejala yang berlaku. Ubat untuk merawat sakit dikenali sebagai ubat penahan sakit atau analgesik. Terdapat dua kategori ubat analgesik iaitu narkotik dan bukan narkotik. Analgesik bukan narkotik serta asetaminofen, asid asetilsalicilik dan ubat anti-inflamatori bukan steroid kerap digunakan dan berkesan untuk merawat sakit kepala, sakit gigi, sakit-sakit otot dan sebagainya. Manakala untuk sakit yang lebih teruk, kombinasi ubat analgesik bukan narkotik dan narkotik yang kurang kuat tindakannya boleh digunakan. Namun analgesik narkotik hanya akan digunakan sekiranya sediaan-sediaan lain tidak berkesan untuk menahan sakit yang dialami.

Prostaglandin Punca Sakit

Apabila terdapat bahagian-bahagian tubuh atau tisu tubuh yang mengalami kerosakan, sama ada disebabkan oleh kecederaan, inflamasi mahupun jangkitan, tempat-tempat yang terlibat akan mengeluarkan sejenis bahan yang dikenali sebagai prostaglandin. bahan kimia ini akan merangsang pemindahan tanda atau isyarat ke otak. Analgesik bukan narkotik kecuali asetaminofen bertindak dengan cara menghalang pengeluaran prostaglandin ini. Tindakan ini menghalang stimulasi hujung saraf yang mungkin disebabkan oleh prostaglandin itu tadi.

Oleh itu, tiada isyarat sakit dapat dihantar ke otak. Manakala asetaminofen pula bertindak secara terus menahan atau menghalang impuls deria sakit di otak. Ini menyebabkan persepsi rasa sakit ke otak terhalang. Dalam keadaan biasa, syarat sakit disalurkan antara sel-sel otak, tetapi apabila bahan narkotik diambil sebagai ubat penahan sakit, ia akan bergabung dengan tapak atau reseptor opiat di otak untuk menghalang isyarat tersebut dari sampai ke otak seterusnya menyebabkan rasa sakit tersebut akan dihalang.

Analgesik Bukan Narkotik

Aspirin (asid asetilsalisilik) merupakan antara analgesik bukan narkotik yang mula-mula disintesis selepas penemuan salicin. Salicin ialah sejenis glikosida daripada pokok Salix alba yang digunakan sebagai ubat penahan sakit (analgesik). Ia ditemui pada tahun 1927. Aspirin mula diperkenalkan pada tahun 1899 dan semenjak itu digunakan bagi menggantikan salicin sebagai agen analgesik kerana harganya yang lebih murah. Aspirin mempunyai sifat-sifat sebagai analgesik, anti inflamatori dan anti demam yang mampu merencat pengeluaran prostaglandin di tapak berlakunya kecederaan atau inflamasi.

Aspirin digunakan untuk merawat sakit ringan dan sederhana seperti sakit kepala, sakit gigi, sakit otot dan semasa haid. Selain itu, ia juga digunakan untuk merawat gangguan inflamatori lain seperti dalam kes artritis. Kesan sampingan yang sering dikaitkan dengan penggunaan aspirin ialah gangguan usus seperti loya, muntah dan pendarahan. Tetapi kesan ini dapat dikurangkan sekiranya kita mengambil aspirin dengan makanan lain. Mereka yang alergik kepada aspirin, akan timbul rasa gatal pada kulit.

Aspirin juga tidak digalakkan kepada kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan sejenis penyakit yang dipanggil sindrom Reyes. Terdapat juga sediaan luaran yang menggunakan salasilat untuk merawat sakit seperti sakit-sakit otot dan sendi. Biasanya disediakan dalam bentuk minyak urut dan salap. Bahan yang sering digunakan ialah metil salasilat. 

 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location