Mual dan Muntah - Bagaimana mengatasinya? (Bahagian 1)

Oleh: Dr. Mohmed Izham Mohamed Ibrahim
          Dewan Kosmik
         Jun 2000

Bahagian I

Rasa mual (loya) dan muntah (emesis) merupakan suatu keadaan yang sangat tidak menyenangkan. Namun dalam situasi tertentu, misalnya keracunan, muntah merupakan tindakan tubuh sebagai kaedah pertahanan terhadap masalah tersebut. Dalam keadaan yang lain, contohnya menaiki kenderaan atau kehamilan, mual dan muntah boleh menyebabkan individu berasa amat gelisah atau terganggu.

Mual dan muntah juga turut membawa kepada implikasi yang lain seperti gangguan keseimbangan metabolik, kegagalan penjagaan diri sendiri dan keupayaan untuk melakukan sesuatu, pengurangan nutrisi atau zat makanan, kurang atau tiada selera makan (anoreksia), gangguan ke atas status metal, jahitan dedah dan luka mudah terbuka, saluran esofagus luka, dan kegagalan rawatan dalam penyakit tertentu seperti kanser.

Ringkasnya, mual dan muntah boleh mengganggu kualiti hidup pesakit.

  Penyebabkan Mual dan Muntah 

Mual dan muntah merupakan tanda-tanda dan gejala yang lazim dialami apabila sakit. Kebanyakan kejadian mual dan muntah adalah disebabkan oleh beberapa situasi seperti mabuk laut, mabuk kereta, mabuk apabila bergerak (dalam kenderaan), mabuk hamil atau disebabkan terhidu bau yang sangat busuk dan tidak menyenangkan.

Selain itu, keadaan mual dan muntah juga disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan seperti masalah  bendalir dan elektrolit dalam badan, kepekatan kalsium yang tinggi dalam darah, kehilangan bendalir badan dalam jumlah yang banyak, keracunan (jumlah air dalam badan yang terlalu banyak), keracunan makanan, gangguan pada bahagian kelenjar adrenal, gangguan metabolik, ubat, seperti antikanser, kumpulan opiod, antibiotik, ubat untuk penyakit jantung kumpulan glikosida, bronkodilator (agen untuk memperluaskan saluran pernafasan).

Mual dan muntah turut disebabkan halangan pada saluran penghadaman (gastrousus), peningkatan tekanan intrakanial di bahagian sistem saraf pusat, radangan pada bahagian perut, metastasis otak, meninges dan hati, uremia (kandungan urea iaitu bahan beracun dalam darah), jangkitan setempat dan kehadiran kuman dalam darah (septisemia), rawatan radiasi terutamanya pada bahagian abdomen, radangan yang teruk pada bahagian mukosa, resah dan gelisah, sakit kepala (migrain), pening dan rasa berpusing (vertigo), hamil, penyakit batu karang, radang pada bahagian pankreas, hati atau apendik, ulser, kecederaan pada bahagian kepala.

Jika masalah mual dan muntah diiringi dengan pening dan demam, ini menunjukkan individu mungkin mengalami penyakit yang serius dan perlu merujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut.

  Bagaimana Mual dan Muntah Terjadi? 

Muntah merupakan satu proses yang kompleks yang membabitkan bahagian otak dan sistem gastrousus manusia. Muntah terjadi melalui rangsangan yang dikawal oleh bahagian otak. Impuls aferen akan menghantar rangsangan ke bahagian pusat muntah yang terletak di bahagian otak melalui zon pencetus kemoreseptor (CTZ), farink, saluran gastrousus dan korteks serebral. Muntah berlaku apabila impuls inferen dari pusat muntah di hantar ke bahagian pusat peliuran, otot abdominal, pusat pernafasan dan saraf kranial.

Bahagian CTZ, pusat muntah dan saluran gastrousus mempunyai banyak reseptor neurotransmiter. Jika reseptor ini diaktifkan oleh bahan kimia yang tertentu, proses muntah akan berlaku. Di antara neuroreseptor yang terlibat dalam respons muntah termasuklah serotonin, asetikolin, kortikosterol, histamin, kanabonoid, opiod dan reseptor NK 1.

Agen-agen anti muntah boleh mencegah muntah dengan menghalang aliran impuls pada beberapa laluan saraf. Terdapat agen-agen antimuntah yang bertindak secara sinergestik (kerjasama) dengan agen-agen yang lain untuk meningkatkan kesan antimuntah. Oleh kerana setiap agen antimuntah bertindak ke atas reseptor yang tertentu, maka dalam keadaan yang tertentu,  seperti dalam rawatan kanser tidak ada agen yang boleh mencegah sepenuhnya proses muntah. Satu keadaan di mana individu akan mengalami masalah mual dan muntah yang teruk ialah semasa individu menerima rawatan untuk penyakit kanser. Insiden dan keterukan mual atau muntah di kalangan pesakit yang menerima rawatan kanser bergantung kepada beberapa  faktor seperti agen antikanser yang digunakan, jumlah agen antikanser yang diberikan, waktu administrasi dan kekerapan pemberian, saluran pemberian dan perbezaan tahap penerimaan individu.

Adalah dianggarkan sebanyak 70% hingga 80% pesakit-pesakit kanser yang menerima agen antikanser mengalami rasa mual dan muntah. Manakala 10% hingga 44% pesakit dijangka akan mengalami mual atau muntah.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location