Mual dan Muntah - Bagaimana mengatasinya? (Bahagian 2)

Oleh: Dr. Mohmed Izham Mohamed Ibrahim
          Dewan Kosmik
          Julai 2000

 

    Jenis-jenis muntah       

Rasa mual dan masalah muntah seringkali dikategorikan sebagai keadaan;

  1. akut (berlaku dengan tiba-tiba)

  2. lambat

  3. boleh dijangkakan

  4. breaktrough

  5. sukar dikawal

Masa berlaku rasa mual dan muntah yang akut selalunya bermula dalam tempoh beberapa minit hingga beberapa jam selepas pemberian ubat dan mula reda dalam tempoh 24 jam. Kejadian masalah muntah boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti:

  • umur

  • jantina

  • persekitaran semasa menerima rawatan ubat antikanser

  • sejarah masalah alkoholisme (ketagihan alkohol)

  • mabuk kenderaan

  • episod mual dan muntah yang sebelumnya

  • jumlah agen (yang diambil) yang boleh menyebabkan muntah

  • keberkesanan agen antimuntah yang diambil

Masalah muntah dikatakan lambat berlaku jika ia dialami lebih daripada 24 jam selepas pemberian ubat antikanser. Di antara jenis ubat antikanser dalam kategori ini ialah cisplatin, karboplatin, siklofosfamida dan doksorubisin.

Mual dan muntah dalam kategori 'anticipatory' (boleh dijangkakan) berlaku sebelum pesakit menerima agen antikanser yang seterusnya. Masalah muntah hanya akan berlaku jika pesakit mengalami masalah muntah semasa menerima rawatan  antikanser sebelum itu (pengalaman yang lepas). Insiden dalam kategori ini ialah dalam lingkungan 18% hingga 57% dan kejadian mual adalah lebih biasa dialami pesakit berbanding dengan muntah. Pesakit-pesakit yang muda pula lebih mudah mengalami keadaan ini kerana menerima rawatan antikanser yang lebih agresif dan secara amnya sukar mengawal masalah mual dan muntah berbanding golongan tua.

Masalah  muntah dalam kategori breaktrough biasanya dikaitkan dengan muntah yang berlaku walaupun diberi rawatan profilaktik (untuk mencegah muntah) dan memerlukan rawatan untuk merawat muntah.

Muntah refraktori sukar dikawal dan dikaitkan dengan muntah yang berlaku semasa rawatan antikanser susulan, apabila rawatan profilaktik antimuntah dan rawatan merawat muntah gagal semasa rawatan kanser yang awal.

Muntah refraktori sukar dikawal dan dikaitkan dengan muntah yang berlaku semasa rawatan antikanser susulan, apabila rawatan profilaktik antimuntah dan rawatan merawat muntah gagal semasa rawatan kanser yang awal.

   Agen Antimuntah   

Secara umum, terapi antimuntah untuk pesakit kanser harus dimulakan sebelum rawatan antikanser dan disambung sepanjang tempoh rawatan penyakit kanser. Ia bertujuan untuk memastikan pencegahan atau perlindungan yang maksimum terhadap masalah muntah. Agen-agen antimuntah boleh diberikan melalui mulut, dubur, saluran vena (intravena) atau saluran otot (intraotot). Antara agen-agen antimuntah yang digunakan dalam perubatan lain:

1. Agen-agen yang lama

  • fenotiazin

  • benzamida

  • antihistamin

  • butirofenon

  • kortikosteroid

  • benzodiazepin

  • kanabinoid

2. Agen yang baru 

  • ondansetron

  • granisetron

  • dolasetron mesilat

Perhatian: Adalah diingatkan kepada orang ramai bahawa agen antimuntah yang digunakan dalam rawatan penyakit kanser harus dipreskripsikan oleh doktor dan pesakit mesti mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan.

   Matlamat Rawatan  

Matlamat rawatan dalam keadaan ini ialah mengurangkan ketidakselesaan disebabkan oleh mual dan muntah, mencegah dehidrasi (kehilangan air dan garam galian) dan mengenal pasti serta merawatan punca kejadian mual serta muntah. Masalah mabuk perjalanan apabila menggunakan kenderaan seperti kapal terbang, kereta ataupun bot/kapal boleh diatasi dengan memperbetulkan kedudukan semasa berada di dalam kenderaan tersebut. Selain itu, pastikan individu menghirup udara segar sepanjang perjalanan.

Untuk merawat muntah, ada beberapa garis panduan yang harus diikuti:

  • Elakkan memakan makanan pejal, susu, kopi dan jus sitrus.

  • Minum minuman bergas, jus buah-buahan dan berais sedikit demi sedikit.

  • Makan makanan dengan kerap dalam jumlah yang sedikit sepanjang hari.

  • Elakkan mengambil makanan yang pedas.

  • Kerap mandi dan minum untuk mengelakkan kekeringan tubuh.

  • Elakkan makanan yang berminyak dan berlemak.

Terdapat banyak jenis rawatan untuk mual dan muntah tetapi rawatan yang tepat bergantung kepada faktor penyebab kejadian mual dan muntah. Masalah mabuk apabila bergerak seperti mabuk laut, mabuk kereta dan sebagainya boleh berlaku pada semua peringkat umur tetapi ia kerap berlaku pada kanak-kanak yang berumur bawah tujuh tahun.

Gangguan atau sakit perut kerapkali menyebabkan  mual dan muntah. Jika masalah ini dihadapi bersama sakit yang teruk, demam kuat, pembengkakan atau pening, pemeriksaan yang terperinci oleh doktor perlu dilakukan dengan segera. Individu tersebut mungkin mengalami masalah batu karang, radang pankreas, radang hati, ulser atau ketumbuhan.

Diantara ubat-ubat yang boleh digunakan untuk merawat masalah mual dan muntah ialah:

  • Dimenhidrinat

  • Dolasetron Mesilat

  • Dronabinol

  • Granisetron Hidroklorida

  • Meklizin hidroklorida

  • Metoklopramida Hidroklorida

  • Prokloperazin Maleat

  • Prometazin Hidroklorida

  • Trimetabenzamida Hidroklorida

Masalah mual dan muntah juga boleh bertindak sebagai pelindung kepada tubuh badan seperti apabila terhidu bau makanan yang sudah basi atau termakan makanan yang telah dikontaminasi oleh kuman. Dalam keadaan seperti di atas, individu akan mengelak daripada memakan makanan tersebut kerana berasa loya atau tubuh akan bertindak untuk memuntahkan kembali makanan yang telah tercemar setelah di dimakan.

Sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan sampingan mual dan muntah. Masalah ini  juga bergantung kepada sensitiviti individu terhadap ubat tersebut. Sejarah masa lalu individu dapat membantu doktor untuk mempreskripsi ubat yang sesuai untuk individu tersebut. Jika individu mengalami kesan sampingan mual dan muntah apabila memakan ubat-ubat tertentu, individu tersebut dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.

   Pilihan Rawatan   

Rawatan untuk masalah mual dan muntah yang berkaitan dengan mabuk perjalanan dan masalah keseimbangan perlu diambil sebelum mengalami simtom tersebut (aktiviti pencegahan). Di antara ubat yang boleh digunakan ialah meklizin, dimenhidrinat dan skopolamin.

Ubat-ubat yang digunakan untuk merawat mual dan muntah yang berkait dengan kesan sampingan ubat antikanser, terapi radiasi, ubat bius dan migrain ialah metoklopramid, prometazin, ondan-sentron dan granisetron.

Wanita yang hamil sering mengalami masalah mabuk hamil dan akan kerap berasa mual dan muntah. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa dalam sehari, biasanya dalam awal tempoh hamil dan akan reda mulai bulan ketiga. Individu dinasihatkan supaya memakan makanan dalam jumlah yang sedikit tetapi kerap, elakkan makanan yang pedas dan banyak meminum air serta mandi dengan kerap.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location