Hidrokuinon - Menyerang Sel Darah Merah

Oleh: Prof. Madya Mohamed Isa Abd. Majid
          Dewan Kosmik
         Januari 2001

Kulit berubah mengikut umur seseorang. Walaupun proses penuaan tidak dapat dielakkan, pemahaman tentang proses penuaan yang berlaku pada kulit amat penting sekiranya kita mahukan rupa kulit yang kelihatan awet muda. Juga pendedahan kepada cahaya matahari dipercayai akan mempercepatkan perubahan kulit yang berlaku. Di antara perubahan yang ketara termasuklah:

  • Ketebalan kulit berubah dengan bahagian dermis kulit berkurang sebanyak 20% di samping lapisan tersebut menjadi lebih tegar dan kurang elastik. Hasil perubahan ini akan menyebabkan kulit menjadi kendur dan lebih nipis.

  • Kadar pertukaran sel pada bahagian epidermis menyusut sebanyak 30% hingga 50% di antara umur 30 hingga 80. Perubahan ini menyebabkan permukaan kulit mengambil masa yang lama untuk diperbaharui. Sekiranya terjadi sebarang kecederaan pada kulit, kadar penyembuhan akan memakan masa yang lama.

  • Bilangan sel yang terlibat di dalam melawan jangkitan kulit akan menyusut sehingga 50% dan menyebabkan fungsi ketahanan melawan penyakit menurun dan jangkitan kuman senang berlaku pada kulit. Tambahan pula, ketebalan kulit yang semakin menipis juga memudahkan jangkitan terjadi.

  • Sel melanosit yang mengeluarkan melanin juga berkurang sebanyak 10 hingga 20% untuk menyebabkan kulit tidak berupaya untuk melindungi bahaya pendedahan sinar ultra ungu matahari.

  • Kulit menjadi lebih kering disebabkan pengeluaran sebum mengurangkan sebanyak 60%. Apabila ini terjadi, kulit tidak berupaya untuk menahan kelembapan semula jadi dan kulit yang kering akan menyebabkan orang-orang tua cenderung mengalami masalah kegatalan kulit.

  • Apabila usia meningkat, kulit akan menghasilkan banyak tompok kecil berwarna merah pada keseluruhan badan. Ini merupakan perubahan semula jadi apabila usia meningkat dan tiada kaitan langsung dengan barah kulit.

Di samping itu, perlu diingatkan  bahawa pendedahan kepada cahaya matahari untuk tempoh yang lama mengikut usia yang meningkat akan memburukkan lagi proses penuaan kulit.

  Memahami Isu Produk Pencegahan Penuaan Kulit  

Salah satu sebab yang menyebabkan penuaan kulit adalah pendedahan kepada cahaya terik matahari. Dengan itu, satu cara bagi mengekalkan kulit yang kelihatan awet muda ialah melindungi kulit dengan pelindung kulit ketika berada di luar rumah. Namun demikian, terdapat juga banyak produk kosmetik di pasaran yang dikatakan dapat mengekalkan kulit agar kelihatan lebih muda. Dalam hal ini, salah satu krim tersebut ialah krim hidrokuinon yang heboh diperkatakan suatu ketika dahulu. Produk ini diperkenalkan di pasaran berdasarkan kepada tanggapan golongan wanita yang memakainya akan kelihatan awet muda jika memiliki kulit yang licin, gebu dan cerah. Golongan wanita dalam mendapatkan kulit ini akan mencuba pelbagai jenama krim muka yang menjanjikan kulit menjadi lembut dan licin serta menanggalkan bintik hitam, jagat, tompokan hitam, jerawat dan kedut. Walhal golongan tersebut juga tidak sedar bahawa krim pembersih dan pemutih muka yang digunakan sebenarnya boleh merosakkan kulit akibat terdapatnya bahan aktif berbahaya seperti hidrokuinon ini.

Menyedari tentang bahayanya kepada pengguna, Kementerian Kesihatan telah menarik balik semua krim pembersih dan pemutih muka yang mengandungi hidrokuinon yang tidak berdaftar daripada pasaran negara ini. Ini berikutan beberapa aduan daripada orang ramai bahawa mereka mengalami radang kulit dan kesan terbakar selepas menggunakan beberapa jenama pembersih dan pencuci muka. Hasil daripada siasatan mendapati krim tersebut mengandungi hidrokuinon pada kepekatan yang tinggi dan ia dijual tanpa kelulusan dan pengawasan daripada doktor perubatan. Sekiranya tindakan tidak diambil, sudah tentu barangan tersebut dijual secara berleluasa kepada pengguna. Yang pasti, pengeluar barangan berkenaan meraih keuntungan tanpa memperdulikan kesannya kepada pengguna.

Secara amnya, terdapat pelbagai jenama krim pembersih dan pemutih muka di pasaran. Krim-krim tersebut pula mengandungi pelbagai jenis bahan aktif yang digunakan, antaranya hidrokuinon, raksa, asid askorbik dan peroksida. Namun kebanyakan bahan aktif tersebut digunakan secara terhad sahaja disebabkan kesan sampingannya. Krim yang mengandungi bahan aktif hidrokuinon memang amat berkesan sekali bagi menghilangkan tompokan hitam. Namun kesannya, berbeza-beza kepada pengguna. Dalam satu kajian yang telah dijalankan di Amerika Syarikat, krim yang mengandungi dua dan lima peratus hidrokuinon telah diuji ke atas 56 subjek yang mempunyai masalah tompokan hitam pada kulit. Sebanyak 12 peratus daripada jumlah subjek kajian adalah penduduk berketurunan kulit hitam. Ia disapu dua kali sehari selama tiga bulan. Hasil kajian mendapati ia berkesan menghilangkan tompokan hitam pada 44 orang daripada 56 subjek kajian. Krim yang mengandungi lima peratus hidrokuinon pula telah dilaporkan memberi kesan sampingan (rengsa pada kulit). Manakala krim berkepekatan dua peratus hidrokuinon didapati pesakit terbabit mengadu hanya mempunyai sedikit rengsa kulit. Krim ini hanya sesuai untuk pengguna berkulit cerah dan tompokan yang sedikit. Ia amat berkesan utnuk rawatan bagi peringkat awal pembentukan bintik hitam. Daripada kajian ini kesan hidrokuinon dicapai melalui sekatan pengeluaran melanin oleh melanost di dalam epidermis. Ia juga berupaya menembusi kulit dan menyebabkan penebalan gentian kolagen.

Dalam penggunaan krim pemutih kulit yang mengandungi hidrokuinon, kesan sampingan hidrokuinon adalah sedikit sahaja jika digunakan pada kepekatan yang rendah tetapi kesan kulit terbakar boleh berlaku jika krim tersebut digunakan pada kepekatan yang tinggi. Sekiranya digunakan dalam tempoh masa yang panjang digabungkan pula dengan pendedahan kepada cahaya matahari ia boleh mengakibatkan penghasilan tompokan dan bonjolan kekuningan pada kulit yang juga dikenali sebagai okronosis. Kerosakan ini akan berkekalan pada kulit kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk mengembalikan semula proses ini.

Hidrokuinon bukan sahaja berbahaya jika digunakan pada kulit malahan jika termakan ia boleh menyebabkan keracunan yang serius. Sekiranya termakan dalam jumlah lima hingga 15 gram, bahan tersebut boleh mengakibatkan gelugut dan kerosakan sel darah merah (anemia hemolitik).

  Kesan Retin-A dan AHA  

Retin-A merupakan nama dagangan bagi tretinoin yang akan menghakis lapisan kulit secara sedikit demi sedikit sama seperti hidrokuinon. Ubat ini juga digunakan sebagai ubat jerawat. Semasa bahan ini digunakan, kulit akan kelihatan merah, rasa pedih, kering dan gatal-gatal. Juga kulit akan lebih sensitif kepada sinar matahari yang menyebabkan pengguna krim dinasihatkan supaya mengelakkan daripada terkena sinar terik matahari. Isotretinoin juga mempunyai kesan yang sama dengan retinoin di dalam mengatasi masalah jerawat serta mendapatkan kulit yang putih dan lembut.  Kedua-dua bahan ini tidak disyorkan untuk ibu mengandung kerana terdapat bukti bahawa isotretinoin boleh menyebabkan kecacatan janin.

Asid hiroksi alfa (AHA) pula digunakan untuk mendatangkan kesan penanggalan kulit muka agar kulit baru yang lembut dan licin dapat menggantikan lapisan kulit atas yang tertanggal sama seperti yang dihasilkan oleh isotretinoin di atas. Kumpulan asid ini terdiri daripada asid laktik (yang diperoleh daripada susu), asid sitrik (daripada buah-buahan), asid glikolik, asid tartarik, kulit merah, rasa pedih, kering dan gatal-gatal. Sama seperti retinoin dan isotertinoin, elakkan daripada terkena cahaya matahari semasa menggunakan produk sedemikian.

  Fakta Kulit  

  1. Kulit merupakan organ terbesar dan terberat sekali di dalam badan manusia.

  2. Fungsi utama kulit:

    • Melindungi bakteria, cahaya UV, bahan kimia dan kecederaan

    • Mengawal suhu badan

    • Organ deria

    • Menghasilkan vitamin D

  1. Purata berat ialah 4.8 kilogram untuk lelaki dan 3.2 kilogram untuk wanita

  2. Sel-sel baru dihasilkan semula setiap 28 hari

  3. Purata ketebalan empat milimeter

  4. Kandungan peluh terdiri daripada

    • 98% air

    • 1.98% garam

    • 0.02% bahan-bahan seperti urea, gula, asid laktik dan albumin

  1. Permukaan kulit mempunyai pH 4.5 - 5.5 dan dikatakan pada pH berasid lemah.

  2. Sebum yang dikeluarkan oleh kelenjar sebum terdiri daripada asid lemak bebas, trigliserida, kolesterol, lilin dan vitamin terlarut lemak. Sebum yang menyebabkan permukaan kulit berminyak dengan minyak yang terhasil berfungsi sebagai pelincir permukaan kulit.

  3. Bahan semula jadi yang terdapat di atas kulit termasuklah: 

    • Air

    • Urea

    • Asid amino

    • Asid urik

    • Kreatinin

    • Kolina

    • Ammonia

    • Garam

    • Kalium

    • Zat besi

    • Asid laktik

    • Glukosa

    • Lelemak

    • Asid lemak

    • Trigliserida

    • Kolesterol

    • Vitamin A, B, C, D dan E

  Struktur Kulit    

Kulit terdiri daripada tiga lapisan utama

  1. Epidermis

Terdiri daripada sel-sel berlapis. Sel-selnya sentiasa mengalami proses pertukaran melalui penggantian dan pembuangan sel-sel mati. Apabila sel-sel di permukaan kulit dibuang, sel-sel daripada bahagian dasar akan dianjakkan ke permukaan secara semula jadi. Sel-sel yang pada mulanya hidup akan mati untuk membentuk lapisan luar kulit. Semasa perubahan ini, sel-sel kulit ini akan mengandungi jumlah keratin yang lebih banyak semasa berubah daripada sel-sel hidup kepada sel-sel mati sehingga sel kulit pada lapisan paling luar menjadi keras. Sel-sel ini tidak telap air dan bertindak sebagai lapisan pelindung kepada cahaya matahari dan bahan kimia. Selain daripada keratin, sel-sel melanosit juga penting pada lapisan untuk menghasilkan melanin yang menyebabkan timbulnya warna kulit.

  1. Dermis

Terdiri daripada sel-sel hidup bersama-sama dengan saluran darah yang nyata daripada tisu-tisu pelekat. Pada lapisan ini, fiber kolagen banyak dibentuk yang akan berfungsi di dalam mengekalkan keanjalan kulit. Apabila usia meningkat, fiber kolagen akan menyusut untuk menyebabkan kulit menjadi kendur dan berkedut. Struktur saluan darah dan sel-sel pelindung seperti fibroblas dan sel mast banyak terdapat pada lapisan dermis. Juga, liang-liang bagi kelenjar peluh, kelenjar sebum dan folikel rambut akan kelihatan begitu ketara pada lapisan ini. Liang-liang ini mudah tersumbat sekiranya terdapat kotoran yang menutup permukaan liang. Saluran darah pada lapisan dermis akan terlibat di dalam mengekalkan suhu badan. Apabila suhu persekitaran menjadi panas saluran darah akan mengembang supaya banyak darah dibawa ke permukaan kulit untuk mengurangkan suhu badan. Dengan demikian, kulit akan kelihatan kemerah-merahan disebabkan oleh pengembangan saluran darah. Dalam keadaan sejuk, saluran darah akan mengecut sehingga menyebabkan kemasukan darah ke kulit berkurang dan menyebabkan kulit menjadi pucat.

  1. Subkutin

Terdiri daripada sel-sel lelemak dan sel pelekat yang longgar yang bertindak sebagai penebat suhu badan, simpanan tenaga dan penyerap hentakan.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location