Pemberian Ubat Kepada Kanak-kanak

Oleh: Prof. Madya Mohamed Isa Abd. Majid
          Dewan Kosmik
          Ogos 2001

Pengguna ubat seperti yang disyorkan oleh pengamal perubatan adalah "pengambilan ubat pada masa yang tepat dengan dos yang betul". Bagi orang dewasa, tiada masalah dijangka akan berlaku kerana biasanya maklumat ubat diberikan secara langsung kepada pengguna ubat itu dan maklumat yang diberikan boleh dipastikan sama ada difahami atau tidak oleh pengguna dewasa.

Untuk kanak-kanak pula, pengambilan ubat biasanya disampaikan kepada penjaga atau ibu bapa kanak-kanak dan kebiasaannya perhatian khusus perlu diberikan dalam memberi ubat kepada anak. Panduan tambahan yang perlu diamalkan bagi pemberian ubat kepada kanak-kanak adalah meneliti sama ada kanak-kanak menunjuk gerak balas yang tidak diingini serta bertanyakan kepada para pengamal perubatan tentang keraguan yang mungkin timbul dalam pemberian ubat tersebut. Jika ini tidak dibuat, pemberian ubat dengan cara yang tidak betul kepada kanak-kanak akan menyebabkan ubat tersebut tidak berkesan atau boleh memudaratkan kesihatan kanak-kanak.

Beberapa panduan penting yang perlu diketahui oleh ibu bapa atau penjaga kanak-kanak di dalam menjamin penggunaan ubat yang selamat adalah seperti berikut:

1. Membaca label

Apabila sesuatu ubat diberikan kepada seseorang kanak-kanak, ibu bapa kanak-kanak digesa supaya bertanyakan kepada para pengamal perubatan tentang perkara-perkara berikut yang berkaitan dengan penggunaan ubat yang selamat:

  • Apakah ubat yang diberikan kepada kanak-kanak dan tujuan penggunaannya?

  • Bolehkah masalah timbul jika kanak-kanak mengambil ubat lain serentak dengan ubat yang baru diterima?

  • Berapa lama kekerapan penggunaan ubat yang diterima?

  • Apa yang perlu dilakukan jika terlupa memberi satu dos ubat yang diterima?

  • Apakah kesan sampingan yang dilaporkan untuk ubat yang diterima dan berapa lama kesan ubat dijangka akan diperoleh selepas diambil oleh kanak-kanak?

 Satu cara untuk mendapatkan maklumat asas tentang ubat yang diterima adalah dengan merujuk kepada label yang terdapat pada botol ubat. Pastikan ubat yang diterima sesuai untuk kegunaan kanak-kanak mengikut umur serta jumlah dos yang disyorkan mengikut kumpulan umur yang tertera di atas label. Baca label amaran yang biasanya dilekatkan diatas bekas ubat yang diterima. Jika ibu bapa masih ragu-ragu dengan maklumat yang terdapat pada label, rujuk kepada ahli farmasi atau doktor anda untuk kepastian cara penggunaan ubat yang betul dan selamat.

Jika ibu bapa membeli ubat secara langsung daripada ahli farmasi bagi kelas ubat di atas kaunter (OTC), pastikan bahawa ubat yang diambil tidak diusik langsung kandungan. Ini boleh diperhatikan daripada tudung atau balutan keselamatan yang belum di buka langsung.

Pengawasan tentang cara penggunaan ubat yang selamat amat penting kerana kanak-kanak didapati lebih sensitif kepada ubat daripada orang dewasa. ubat anti-selsema seperti antihistamin boleh mendatangkan banyak kesan buruk kepada kanak-kanak dengan menyebabkan kesan mengantuk atau rangsangan yang berlebihan. Ubat seperti aspirin pula boleh menyebabkan masalah Sindrom Reye yang boleh berakhir dengan kematian pada kanak-kanak yang diserang demam campak atau selsema.

2. Umur kanak-kanak

Jika umur kanak-kanak di bawah dua tahun, pemberian ubat yang dibeli daripada kaunter farmasi tidak disyorkan tanpa merujuk terlebih dahulu kepada seseorang doktor. Tambahan pula, ada sesetengah ubat yang menunjukkan kesan yang berlawanan sama sekali berbanding dengan kesan kepada orang dewasa. Ubat seperti barbiturat yang hanya boleh diberikan oleh seorang doktor boleh mengakibatkan seorang kanak-kanak menjadi hiperaktif sedangkan pada seorang dewasa, ubat ini akan menyebabkan kesan mengantuk. Seelok-eloknya apabila ubat diberikan kepada seorang kanak-kanak perhatikan kesan buruk yang mungkin timbul jika ada.

3. .

Bagi menjamin penggunaan ubat yang selamat, langkah pertama adalah memberi dos yang betul pada masa yang disyorkan.

Ubat yang diterima daripada seorang doktor biasanya diambil dengan arahan yang diberikan di atas label tersebut. Bagi kanak-kanak, ubat yang disediakan biasanya merupakan ubat cecair yang memerlukan sukatan ubat yang betul pada setiap kali pengambilan. Untuk memastikan pengambilan dos yang tepat di kalangan kanak-kanak, goncangkan botol ubat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan ubat daripada bekasnya. Kebiasaannya ubat cecair kanak-kanak diberikan dengan penyukat tersendiri seperti picagari tanpa jarum suntikan, penitis atau sudu penyukat. Jika ini diberikan, maka gunakan penyukat ini serta simpan penyukat untuk kegunaan lain jika ubat yang di terima telah kehabisan. Perlu diterangkan bahawa terdapat kekeliruan dari segi penggunaan sudu biasa di dalam memberikan ubat kepada kanak-kanak. Untuk ini, jika penyukat tidak diberikan maka panduan pemberian ubat  menggunakan sudu biasa adalah seperti berikut: setiap sudu teh adalah bersamaan dengan lima milileter isipadu ubat manakala setiap sudu makan pula adalah bersamaan dengan 15ml isipadu ubat. 

4. Dos ubat yang terlupa

Jika ubat terlupa diberikan kepada kanak-kanak, maka dos berikutnya hendaklah diberikan pada masa yang disesuaikan mengikut dos yang tertinggal tadi. Ibu bapa perlu ingat bahawa dos yang tertinggal tidak perlu digandakan atau ditambah kepada dos yang berikutnya. Misalnya, suatu ubat diberikan pada setiap lapan jam dengan masa pemberian lapan pagi, empat petang dan 12 tengah malam. Jika ubat itu terlupa diberikan pada masa lapan pagi, maka dos berikutnya pada jam empat petang diteruskan tanpa ditambah dengan dos ubat yang tertinggal pada jam lapan pagi tadi.

Bagi picagari pula, panduan penyampaian ubat pada kanak-kanak di tunjukkan dalam gambar rajah berikut:

Kaedah A: Ubat disedut ke dalam picagari dengan menarik laras picagari. Sesuaikan dos ubat mengikut isipadu yang tertera di atas picagari.

Kaedah B: Laras picagari dikeluarkan dan hujung picagari ditutup. Ubat dimasukkan ke dalam picagari sehingga isipadu yang dikehendaki. Laras picagari dimasukkan ke dalam picagari. Penutup diasingkan daripada picagari.

      

Setelah ubat diisi ke dalam picagari melalui kaedah A atau B, ubat akan ditolak ke dalam mulut kanak-kanak dengan menekan laras picagari.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location