Masalah Keracunan Di kalangan Kanak-kanak

Oleh: Prof. Madya Mohamed Isa Abd. Majid
          Dewan Kosmik
          September 2001

Seorang kanak-kanak akan belajar melalui proses cuba dan tahu. Pengalaman berguna akan diperoleh melalui penerokaan ke atas sebarang bahan yang terdapat di sekeliling kanak-kanak tersebut. Dalam membolehkan perolehan pengalaman yang berguna kepada kanak-kanak, proses penerokaan pengalaman perlu dilakukan pada persekitaran dengan tahap bahaya yang minimum. Sekiranya ibu bapa dan penjaga kanak-kanak tidak memberikan tumpuan kepada persekitaran yang selamat, maka kebiasaanya kanak-kanak akan terdedah kepada kecelakaan atau kemalangan seperti yang kerap berlaku dalam kes-kes keracunan. Oleh itu, tidak hairanlah jika rata-rata perangkaan menunjukkan bahawa golongan kanak-kanak lebih banyak mengalami keracunan atau kecederaan akibat menggunakan barangan tersebut. Bukan sahaja kerana barangan itu tidak selamat, tetapi kerana cara penggunaanya yang tidak selamat. Ini ada kaitan dengan amalan serta tabiat ibu bapa kanak-kanak seharian apabila menggunakan barang-barang tersebut. Lazimnya kita cuai dan kurang berhati-hati sehingga kanak-kanak sendiri sering terdedah kepada bahaya yang tidak menentu.

Di antara barangan yang didapati selalu mendatangkan kemudaratan termasuklah barang-barang yang tersimpan di rumah seperti bahan-bahan pencuci dan ubat-ubatan. Barang permainan dan perhiasan juga boleh menjadi sumber bahaya kepada kanak-kanak, walaupun dalam banyak hal, mutu  barangan tersebut terjamin. Apa lagi jika barangan itu sendiri tidak selamat dari segi kualiti dan pembuatannya.

Amnya ramai yang beranggapan bahawa ubat-ubatan adalah selamat belaka. Maksudnya ramai yang menjangkakan bahawa bahan ubat-ubatan tidak akan mendatangkan sebarang kemudaratan, malah pastinya berkhasiat belaka. Ini adalah satu anggapan yang kurang tepat malah boleh menyebabkan banyak keadaan yang tidak diingini, memandangkan bahawa ubat-ubatan kebanyakannya terdiri daripada bahan kimia. Dan jika tidak digunakan dengan betul, seperti mengambil ubat secara berlebihan, ataupun tidak mengikut aturan yang telah ditetapkan, banyak kesan bahaya boleh berlaku. Ubat juga boleh membahayakan apabila penggunannya ditukar ganti kepada sesiapa sahaja, walaupun ubat itu adalah kepunyaan orang lain. Tabiat menggunakan ubat seperti ini amat menyalahi tata cara penggunaan ubat.

Kita juga sering mendengar tentang kes keracunan parasetamol (ubat yang digunakan untuk meredakan demam) yang mengakibatkan kematian kanak-kanak menunjukkan bahawa penggunaan ubat-ubatan di kalangan masyarakat  masih memerlukan pengurusan yang rapi daripada semua pihak. Ubat-ubatan seperti parasetamol yang banyak diiklankan di pelbagai media di negara ini merupakan salah satu ubat yang paling laris dijual di merata tempat. Ini termasuklah di kedai-kedai runcit, warung-warung mahupun di pasaraya sebagai salah satu daripada bahan yang diniagakan oleh pihak berkenaan. Hal yang demikian sudah tentu mendedahkan lagi para pengguna, khususnya kanak-kanak kepada risiko penyalahgunaan ubat, lantas boleh mengakibatkan keracunan kepada diri mereka. Tambahan pula jika ubat-ubatan ini tidak diiringi dengan maklumat-maklumat yang mudah difahami pengguna walaupun diperoleh daripada klinik-klinik perubatan sekalipun.

Kes-kes keracunan di bawah 12 tahun yang dilaporkan kepada Pusat Racun Negara, USM dari tahun 1995 hingga Mac 2001

 Mengikut bangsa (jumlah kes: 306)

 Hindu

26%

 Melayu

30%

 Cina

13%

 Bangsa tidak dapat dipastikan

21%

 

 Mengikut kategori bahan yang terlibat dengan kes keracunan

 Racun makhluk perosak

29%

 Ubat

29%

 Barangan kegunaan rumahtangga

26%

 Bahan kimia

10%

 Haiwan dan reptilia

2%

 Tumbuh-tumbuhan beracun

2%

 Tidak dapat dipastikan

2%

 

Tambahan pula, dalam suatu kajian yang dijalankan oleh Persatuan Pusat Kawalan Keracunan di Amerika Syarikat pada tahun 1989, kumpulan umur kanak-kanak yang sering terlibat dengan keracunan merupakan peringkat umur satu hingga lima tahun. Sebab-sebab kenapa kumpulan ini sering terlibat dengan kes-kes keracunan adalah kerana tabiat semula jadi mereka yang sering ingin mencuba dan mempelajari sesuatu dengan menggunakan deria rasa serta tidak berupaya untuk membaca label amaran yang terdapat pada bekas bahan-bahan beracun. Misalnya, label amaran yang tertera dalam bahasa Inggeris adalah seperti berikut WARNING: POISON, pada seorang kanak-kanak pula, label ini akan kelihatan seperti berikut WARGINN: POSINO yang tidak memberikan gambaran bahayanya sesuatu produk atau bahan. Di samping itu, kanak-kanak di peringkat umur ini juga amat mudah tertarik dengan bahan-bahan berwarna yang dibiarkan bersepah-sepah di atas lantai dan naluri semula jadi mereka ialah apabila dapat mencapai bahan-bahan ini dari lantai akan memasukkannya ke dalam mulut. Inilah sebabnya mengapa kanak-kanak merupakan golongan yang sering mengalami keracunan di rumah.

Bagi tempat-tempat di rumah yang sering berlaku kes-kes keracunan, hasil kajian yang diperoleh juga telah menunjukkan bahawa keracunan kanak-kanak sering berlaku di dapur (50%), bilik air (20%) dan bilik tidur (10%). Juga seringkali dilaporkan bahawa kanak-kanak mengalami keracunan semasa ibu bapa sedang sibuk dengan tugas seharian seperti memasak atau menyediakan persiapan jamuan makan atau kenduri perkahwinan.

Satu lagi sebab yang membuatkan kes keracunan cenderung berlaku pada kanak-kanak adalah keupayaan badan kanak-kanak yang lebih sensitif kepada bahan racun berbanding dengan orang dewasa. Untuk ini, jika kita mempertimbangkan fungsi hati kanak-kanak yang merupakan organ menghilangkan bisa racun atau menukarkan racun kepada bahan lain yang tidak aktif tidak berkembang sepenuhnya sama seperti orang dewasa. Oleh itu, bahan racun tidak ditukarkan sepenuhnya kepada bentuk tidak berbahaya dan menyebabkan berlakunya kesan keracunan di dalam badan kanak-kanak. Bagi organ buah pinggang pula, sebarang bahan yang diambil akan dikeluarkan melalui air kencing. Bagi kanak-kanak, fungsi buah pinggang juga belum berkembang sepenuhnya dan bahan beracun yang lambat dikeluarkan daripada badan kanak-kanak akan menyebabkan kesan keracunan yang lebih hebat berbanding dengan orang dewasa.

    Bagaimana mengetahui keracunan telah berlaku pada kanak-kanak?  

  1. Kanak-kanak tersebut pernah mengalami keracunan sebelum ini.

  2. Kanak-kanak yang berusia satu hingga lima tahun. Kumpulan umur ini merupakan kumpulan yang berisiko tinggi disebabkan oleh kecenderungan untuk mengutip bahan lalu menelannya.

  3. Kanak-kanak tiba-tiba jatuh sakit atau menunjukkan tanda-tanda berikut: Muntah-muntah, sawan tiba-tiba dan tidak sedarkan diri tanpa sebarang rekod penyakit.

  4. Tanda-tanda masalah yang berlaku pada keseluruhan atau sebahagian besar tubuh badan.

  5. Nafas kanak-kanak berbau dan wujudnya tanda-tanda kemerahan dan pecah pada bahagian mulut.

   Bagaimanakah mengelakkan kes keracunan berlaku di rumah anda?  

Keracunan kanak-kanak berlaku apabila bahan kimia terutamanya produk-produk isi rumah dan ubat-ubatan digunakan oleh kanak-kanak tanpa sebarang pengawasan atau berpunca daripada kelalaian.

  1. Kunci semua bahan-bahan merbahaya di tempat yang selamat dan letakkan pada paras yang tinggi jauh daripada jangkauan kanak-kanak. Ini termasuklah bahan-bahan pencuci, racun-racun makhluk perosak dan juga produk-produk seperti semburan nyamuk dan sebagainya.

  2. Simpan semua ubat dalam bekas tertutup, sebaiknya yang mempunyai penutup keselamatan yang sukar untuk dibuka oleh kanak-kanak. Sekiranya ubat perlu disimpan dalam peti sejuk, tentukan tempatnya tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak dan tidak juga diletakkan bersama barang-barang makanan seharian. Tentukan juga setiap ubat mempunyai label yang jelas dan mudah dibaca.

  3. Segala bekas-bekas kosong yang mengandungi racun dan ubat perlu dibuang. Sekiranya masih mangandungi bahan-bahan berbahaya, tentukan kandungan bekas tersebut dikosongkan terlebih dahulu. Buang semua bahan-bahan racun di tempat yang selamat ataupun tempat-tempat khas yang disediakan untuk tujuan tersebut.

  4. Sekiranya menggunakan bahan-bahan kimia kawalan makhluk perosak seperti pembunuh serangga, tentukan setiap bahan ini disorokkan jauh daripada penglihatan dan jangkauan kanak-kanak. Ini termasuklah ubat gegat, racun tikus dan semburan serangga.

  5. Apabila membeli bahan kawalan makluk perosak, pilihlah jenama yang tidak menyerupai bahan-bahan makanan terutama sekali seperti gula-gula ataupun yang mempunyai bau-bauan dan rasa yang menyerupai makanan. Ini boleh mengelirukan kanak-kanak.

  6. Tentukan semua tumbuh-tumbuhan yang diletakkan di dalam rumah atau di sekelilingnya adalah daripada jenis yang tidak mengandungi racun sama ada apabila dimakan mahupun apabila disentuh. Bagi tumbuh-tumbuhan lain, tentukan bahan-bahan baja atau racun tanam-tanaman yang digunakan tidak terdedah kepada kanak-kanak. Letakkan tumbuh-tumbuhan ini jauh daripada tempat aktiviti seharian kanak-kanak.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location